suria

‘Pakej’ kacak dan bijak! Anak Malaysia bakal menyinar di pentas global selepas muncul naib juara pertandingan model antarabangsa

Asyraf Dasley berharap dapat melebarkan kariernya di luar negara.

SELEPAS tujuh tahun melalui pelbagai dugaan dan cabaran sebagai seorang model, Asyraf Dasley mampu tersenyum puas apabila diumumkan sebagai naib juara bagi program pencarian model antarabangsa iaitu Models Culture's Next Top Model 2021 (MCNTM 2021) yang dianjurkan secara maya baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, setahun sebelumnya, Asyraf atau Muhammad Asyraf Mohd Dasli, 30, memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Face of Asia 2020 (FOA 2020) yang membangkitkan lagi semangatnya sebagai seorang peragawan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar pertaruhkan rupa, 3 ‘Bachelor of Malaysia’ ini ada misi harumkan nama negara di peringkat antarabangsa

"Kejayaan FOA 2020 dilihat membuka pintu yang luas untuk saya melebarkan sayap dalam bidang ini dan atas faktor itu, saya ditawarkan untuk menyertai MCNTM 2021 pada penghujung tahun lalu.

photo6273518331537501959

Asyraf Dasley satu-satunya wakil dari Asia dalam pertandingan itu.

"Setelah kesemua peserta dari seluruh negara mendaftarkan diri, saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa saya adalah satu-satunya model dari Malaysia yang berjaya meloloskan diri dalam acara tersebut," katanya kepada mStar.

Bercerita lanjut mengenai penyertaan dalam pertandingan itu, Asyraf Dasley memberitahu apa yang membuatkan dirinya lebih terkejut apabila mendapat tahu bahawa tiada wakil dalam kalangan peserta dari Asia.

Menyedari perkara itu, dia mula sedar pesaingnya adalah model-model dari benua lain, membuatkan perasaannya lebih gementar untuk berentap dalam pertandingan itu.

"Ini kerana, telah terbukti di pentas peragaan dan fesyen dunia, majoritinya wakil selain dari Asia berjaya mendominasi lapangan ini, apatah lagi dari Malaysia yang boleh dibilang dengan jari," katanya berbangga menyarung 'jersi' Malaysia.

photo6273518331537501960

Asyraf langsung tidak menyangka mendapat tempat kedua.

Pertandingan bertaraf global itu menyaksikan peragawati wanita dari Hungary, Eszter Egeto diangkat selaku juara, manakala tempat ketiga menjadi milik peragawan Poland, Soufiane Belghmi berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan pada 7 Januari lalu.

Habuan kemenangan, Asyraf membawa pulang hadiah berupa baucar beli belah tajaan gedung maya terkemuka dunia iaitu Amazon bernilai RM2,000 dan peluang menjadi penghias halaman belakang majalah fesyen terkenal antarabangsa, Culture Magazine.

Sementara itu, Asyraf Dasley berkata, kemenangan di pertandingan itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepadanya dalam bidang peragaan dan berharap dapat melebarkan sayapnya di pentas antarabangsa.

270220129_6695048143898721_9050249203078296838_n

Model ini terbuka mencuba bidang lain termasuk lakonan.

Dia juga melihat peluang menjadi penghias halaman belakang Culture Magazine sebagai platform untuk memperkenalkan dirinya kepada penggemar fesyen di luar negara selain turut mengintai peluang sebagai pelakon.

"Alhamdulillah saya ada mendapat peluang berlakon dalam drama terbitan A. Aida Production iaitu Kisah Cinta Kita... meskipun hanya watak pembantu tetapi ia peluang untuk saya belajar dan mencuba perkara baharu.

"Sudah tentu fokus utama saya dalam bidang peragaan tetapi tidak salah mencuba perkara baharu dan mengembangkan kerjaya saya," ujarnya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang keusahawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Bapa Qi Razali meninggal dunia