suria

Adam Corrie bantu urus mendiang ibu, pilih keranda… “Walaupun berlainan agama, saya tetap berada di sisi hingga ke akhirnya”

Ibu Adam meninggal dunia pada Sabtu.

ISTERI kepada pelakon Adam Corrie Lee, Fazima Fuad bersyukur apabila pengurusan mendiang ibu mentuanya yang meninggal dunia pagi Sabtu dipermudahkan walaupun berlainan agama. 

Menurut Fazima, mereka berbincang dengan baik bersama keluarga mentuanya mengenai pemilihan keranda serta persiapan lain sebelum upacara penghormatan terakhir dijalankan.

“Alhamdulillah selepas selesai urusan di bahagian forensik hospital, mendiang mak mentua saya dibersihkan dan dipakaikan dengan rapi.

Fazima mempunyai hubungan yang rapat dengan mendiang ibu mentuanya.

“Kami berbincang dengan penuh tertib tentang pemilihan keranda, tempoh berapa hari upacara serta hal-hal berkaitan,” katanya.

Tambah Fazima, sikap saling menghormati menjadi asas penting dalam keluarga mereka.

“Apabila berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa, nilai hormat-menghormati adalah sangat penting. Alhamdulillah, walaupun suami telah memeluk Islam, kami tetap menghormati agama dan kepercayaan keluarga.

“Berlainan agama tidak menghalang kami untuk terus berkasih sayang. Keluarga tetap keluarga. Cuma sebagai orang Islam, kami menjaga batas-batas yang ditetapkan syariat,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Adam Corrie imbas pengalaman ketika awal peluk Islam, tak lari berdepan kritikan... Ramai persoal gelaran mualaf

ARTIKEL BERKAITAN:  Patut lama tak nampak di TV, Adam Corrie mengaku tiada tawaran disangka sudah bergelar jutawan

Sementara itu Adam, 57, berkata sebagai anak, dia tetap menjalankan tanggungjawab terhadap ibunya hingga ke akhir hayat.

“Walaupun saya dan ibu berlainan agama, sebagai anak saya tetap berada di sisi hingga ke akhirnya… itulah tanda penghormatan dan kasih sayang.

“Sebagai seorang Muslim, saya menjaga batas agar tidak melanggar syariat kerana Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan. Tambahan pula, ini ibu yang melahirkan kita.

Momen keluarga Adam dan keluarga isteri berkumpul sekali.

“Pagi tadi (Ahad) selesai urusan di hospital, kini mendiang ibu dibawa ke kuil untuk sanak saudara memberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan pada hari Rabu ini,” katanya.

Untuk rekod, mendiang ibu Adam meninggal dunia pada usia 84 tahun pada Sabtu lalu.

Terdahulu, Adam pernah memaklumkan kepada media ibunya sudah beberapa tahun mengalami keuzuran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain