MENGORAK langkah dengan pembaharuan dalam kerjaya seninya, penyanyi Allan Andersn kembali menyapa peminat menerusi single terbaharu berjudul Senafas.
Tidak seperti kebiasaannya yang tampil dengan karya ciptaan sendiri, Allan kali ini memilih untuk bereksperimen dengan warna muzik baharu hasil sentuhan komposer dari Malaysia, Farouk Roman serta lirik oleh Senna.
Dilancarkan pada 5 Disember lalu, karya itu hadir sebagai percubaan berani Allan untuk menawarkan sisi berbeza dalam penghayatan vokalnya.
Senafas bukan sahaja menonjolkan kehalusan susunan melodi Farouk, tetapi turut memperlihatkan kemampuan Allan menjiwai karya yang sarat emosi hingga meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

Senafas percubaan pertama Allan bekerjasama dengan komposer dari Malaysia.
“Saya benar-benar teruja dapat bekerjasama dalam projek ini. Sebagai seorang singer-songwriter, ini kali pertama saya menyanyikan lagu ciptaan komposer serta penulis lirik Malaysia dan pengalaman ini sangat bermakna.
“Lebih istimewa lagi, saya diberi kepercayaan untuk membawakan karya Farouk Roman, seorang komposer yang dihormati ramai dan digelar Raja OST (runut bunyi) di Malaysia. Saya keluar daripada zon selesa dan menganggap jalinan kerjasama ini sebagai lembaran baharu dalam kamus muzik saya,” katanya.
Allan turut mengakui pengalaman merakamkan lagu terbitan SAAS Music Entertainment itu memberi banyak nilai baharu dalam perkembangan kerjaya seninya.
“Sepanjang rakaman, saya banyak belajar tentang cara Farouk membina melodi yang bukan sahaja indah, tetapi juga hidup dalam jiwa pendengar. Saya ambil pengalaman ini sebagai satu pelajaran baharu.
“Proses ini saya anggap sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana sebagai seorang pencipta lagu dan penyanyi, saya boleh beradaptasi dan mempelajari banyak perkara baharu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pujian buat hati tersentuh, Adibah Noor punca Allan Anderson kembali menyanyi
ARTIKEL BERKAITAN: “Lagu Malaysia tinggi macam KLCC!” – Allan Andersn gementar nyanyi karya komposer tempatan
Senafas mengisahkan perjalanan cinta penuh duga dan pengorbanan, memaparkan seseorang yang sanggup menanggung luka meskipun berkali-kali dihancurkan, namun tetap menyayangi sepenuh hati.
“Bagi saya, Senafas bukan sekadar lagu, tetapi sebuah kisah yang boleh menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Ia menceritakan tentang cinta, pengorbanan dan ketabahan, perkara yang universal dan dekat dengan semua orang.
“Untuk naskhah ini, SAAS Music Entertainment memberi kepercayaan kepada saya untuk terlibat dalam kerja kreatif. Walaupun kali ini saya tidak terlibat dalam penciptaan lagu, saya mengarahkan muzik video Senafas yang dibintangi oleh saya sendiri bersama Rendy Wicaksana,” katanya.

Senafas sudah boleh didengari di semua platform digital muzik.
Keistimewaan Senafas terus bertambah apabila ia dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama baharu di Astro Prima berjudul Setiaku Berdiri.
Drama bersiri terbitan Radius One Sdn Bhd ini mendapat sentuhan Rashid Sibir selaku pengarah, dan dijangka menarik perhatian menerusi lakonan Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina, Aidit Noh dan ramai lagi.
“Saya teruja kerana peluang kerjasama ini membuka peluang untuk karya nyanyian saya ditampilkan dalam naskhah istimewa berjudul Setiaku Berdiri. Sudah pasti, saya gementar menanti reaksi peminat, tetapi saya yakin lagu ini bakal meninggalkan kesan dalam hati mereka yang mendengar,” katanya.
Senafas boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Allan Andersn.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


