suria

Dulu nyanyi di gerai burger, kini Ary Hussin jadi penyanyi profesional... Tampil karya ciptaan Edrie Hashim

Luka Terpaling Dalam merupakan karya ciptaan sepenuhnya Edrie Hashim.

PERJALANAN seni Ary Hussin bermula secara sederhana, namun suara lantang yang sering menghiburkan orang ramai di sebuah gerai burger kini membawa dirinya melangkah ke pentas lebih besar. 

Tanpa disangka, rakaman nyanyiannya yang tular di media sosial membuka ruang baharu buat Muhammad Hadzri Hussin, 40, untuk melangkah masuk secara rasmi ke dunia hiburan.

Lebih manis, perjalanan Ary semakin kukuh dengan sokongan komposer Edrie Hashim yang menjadi tulang belakang penghasilan single sulung penyanyi itu berjudul Luka Terpaling Dalam. 

Kerjasama itu sekali gus mengangkat Ary ke fasa lebih matang sebagai penyanyi.

Ary tampil dengan single terbaharu ciptaan Edrie Hashim berjudul Luka Terpaling Dalam. 

Single Luka Terpaling Dalam menerima sentuhan penuh daripada Edrie selaku komposer dan penulis lirik.

“Luka Terpaling Dalam saya hasilkan mengikut ciri khas Ary Hussin iaitu kekuatan vokalnya yang cukup kaya dengan bunyian Melayu. Ada sedikit rasa ‘klasik’ tetapi tetap segar sesuai dengan cita rasa masa kini.

“Single ini berkisah tentang emosi dan patah hati menerusi liriknya tetapi ia menjadi sinematik dengan susunan permainan strings dan piano yang menjadikan Luka Terpaling Dalam bersifat kontemporari,” ujar Edrie Hashim.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedar pendatang baharu dalam bidang seni, Rezza Shah elak buat content tak berfaedah di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak lagi kejar populariti, Sharizan Borhan mahu terus perjuang karya... Sanggup mula dari bawah

Bagi Ary, peluang menghasilkan single sendiri dianggap rezeki besar, apatah lagi ia dicipta oleh sosok legenda yang cukup dihormatinya dalam industri. 

“Memiliki single sendiri berjudul Luka Terpaling Dalam adalah lembaran sejarah yang tidak pernah saya mimpi akan terjadi dalam hidup.

“Apa lagi ia dihasilkan oleh legenda yang sangat saya segani. Saya hilang kata-kata namun saya bersyukur kerana bakat dan suara saya dinilai sebagai berkualiti serta mampu diketengahkan dalam industri muzik kita.

“Besar harapan saya, Luka Terpaling Dalam mendapat tempat di hati peminat kerana ia merupakan sebuah single berkualiti, bukan hanya kerana saya sebagai penyanyi tetapi keseluruhan karya ini dikerjakan dengan sangat cermat demi memenuhi kehendak pasaran pada masa kini,” ujar Ary Hussin.

Ary Hussin kini melangkah masuk ke dunia hiburan secara profesional dengan single debutnya.

Single itu diedarkan oleh A7 Empire (A7E) dan kini boleh didengarkan di pelbagai stesen radio serta platform digital. 

Pelancarannya menjadi langkah pertama buat Ary menapak lebih kukuh dalam dunia seni.

Sempena pelancaran single perdananya, Ary turut melancarkan muzik video rasmi hasil arahan Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment. 

Artikel Lain