suria

Butterfingers, Amir Jahari, The Lantis & FUGŌ janjikan persembahan luar biasa 24 Januari ini

Konsert LOKALOKO 2026 bakal menghimpunkan artis Malaysia dan Indonesia di satu pentas.

MENGANGKAT semangat muzik rentas negara, sebuah acara yang diberi nama Konsert LOKALOKO 2026 bakal menghimpunkan gabungan aliran Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas penuh warna di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Januari depan.

Penganjuran ini bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya membawa semangat penyatuan tanpa mengira genre, generasi atau sempadan.

LOKALOKO diraikan sebagai manifestasi muzik yang menyatukan pemuzik dan peminat dengan cara tersendiri.

Butterfingers, Amir Jahari, The Lantis dan FUGŌ bersedia memanaskan pentas Zepp KL Januari ini.

Konsert yang dibahagikan kepada dua sesi itu menawarkan vibe berbeza untuk dua kelompok peminat, bermula dengan persembahan petang dan diteruskan dengan segmen malam yang lebih energetik.

Segmen pertama bakal menampilkan legenda grunge tempatan, Butterfingers, yang kembali menggegarkan pentas selepas sekian lama. Dikenali dengan rangkaian lagu ikonik seperti The Chemistry (Between Us) dan Faculties of the Mind, kumpulan itu terus menjadi simbol era keemasan muzik alternatif tempatan pada era 90-an.

Lebih istimewa, sesi ini turut mempersembahkan penyanyi dan komposer berbakat besar, Amir Jahari yang terkenal dengan kelunakan vokal dan karya emosinya seperti Hasrat serta Tanpamu.

ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin umum ‘bertunang’ di Konsert Jiwa Kacau, Wali Band pula buat satu stadium berjoget

ARTIKEL BERKAITAN: 3 tahun Amir Jahari derita kemurungan melampau, wajah keluarga jadi penyelamat

Gabungan dua generasi itu dijangka memberikan pengalaman nostalgik dan penuh jiwa.

Menurut penganjur, kehadiran Amir Jahari dalam segmen Butterfingers menjadi penyatuan gaya muzik yang mampu membawa penonton menyelusuri perjalanan emosi yang unik serta menggabungkan energi rock dengan kelembutan akustik.

Sesi malam pula diteruskan dengan The Lantis, kumpulan pop retro Indonesia yang sedang mencuri perhatian peminat serantau. Dengan fenomena lagu viral seperti Lampu Merah dan Bunga Maaf, mereka menyerlah dengan sentuhan nostalgia era 70-an dan 80-an dalam pop moden yang digemari generasi baharu.

The Lantis antara artis yang bakal mengisi segmen malam konsert itu. 

The Lantis akan berkongsi pentas dengan band indie tempatan yang kian melebarkan pengaruh, FUGŌ yang membawa identiti nu-vintage melalui karya seperti Pentas Sandiwara dan 99. Gabungan ini dijangka memberi warna baharu kepada pentas LOKALOKO dengan muzik kreatif dan berjiwa global.

Milestone Entertainment selaku penganjur berkata, LOKALOKO diwujudkan sebagai platform untuk mendekatkan artis lama dan baharu, sekali gus mencipta ruang pertemuan antara dua generasi muzik yang berbeza.

Harga tiket bermula daripada RM148 dengan pilihan pakej bundle bagi tiket Standing yang menawarkan akses ke kedua-dua sesi pada harga istimewa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain