suria

4 tahun selepas ‘buang’ tangan palsu, si kudung CK garang di trek maraton, spartan

CK membuktikan dia juga boleh berjaya seperti orang lain walaupun hanya memiliki satu tangan. Foto kanan: Tey Eng Tiong

KEHIDUPANNYA dirasakan ‘terkongkong’ kerana memakai tangan palsu dan akhirnya pemuda ini memutuskan untuk menanggalkannya pada usia 18 tahun.

Dilahirkan dengan sebelah tangan bukan penghalang untuk anak muda ini menjadi seperti orang lain, atau melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh kebanyakan orang yang mempunyai anggota badan yang sempurna.

Rajin mengangkat berat di gim.

Sebut sahaja aktiviti kecergasan, dari maraton dan larian, berenang, kayak sehingga mendaki, malah mengangkat berat di gim juga dia pernah buat!

Begitulah minat Loh Chee Khoon, 30, sejak lebih sedekad lalu yang dahulu pernah mempunyai berat badan mencecah 80 kilogram (kg) kerana tidak mengawal pemakanan dan aktiviti kecergasannya membuatkan ia pernah turun sehingga 57 kg.

Anak jati Ipoh, Perak ini mengakui sebelum ini sukar untuk melakukan kebanyakan kerja tetapi bukan kerana mempunyai sebelah tangan, sebaliknya disebabkan memakai tangan palsu.

CK mahu melihat sejauh mana kemampuannya dengan menyertai aktiviti lasak seperti spartan.

“Saya memutuskan untuk tidak lagi memakai tangan palsu pada usia 18 tahun, dan mula berdikari. Saya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ibu bapa tetapi ia kemudian terbongkar beberapa minggu selepas itu selepas mereka terlihat gambar saya tanpa tangan palsu, di laman sosial.

“Ibu tanya kenapa tak pakai? Saya beri alasan panas sebab kena pakai lengan panjang kerana cuaca panas dan tangan palsu tu berat. 

“Masa mula-mula tanggalkan tangan palsu, saya takut (rendah diri) tengok orang. Jalan pun hanya padang bawah sahaja. Tapi lama-kelamaan mak ayah dapat menerima keputusan saya dan saya dapat menyesuaikan dengan keadaan baharu,” katanya kepada mStar Online.

CK memakai tangan palsu.

Anak bongsu daripada empat beradik berkata, dia mula aktif dalam aktiviti luar seperti maraton dan acara larian berhalangan spartan sejak beumur 22 tahun.

Lebih dikenali sebagai CK, dia sebenarnya tidak mahu dianggap pelik dan mahu orang lain menerima dia seadanya atas kekurangan itu.

Tidak dinafikan ibu bapa CK juga pada awalnya begitu bimbang dengan minatnya dalam larian kerana dianggap berisiko dari segi keselamatan dan keupayaan diri.

CK suka mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar.

“Tapi saya akur sudah dewasa dan mahu mencuba perkara yang tidak pernah saya lakukan selain mahu melihat sejauh mana kemampuan saya.

“Sebelum ini ada yang kata CK tak mungkin kamu boleh lari 10 kilometer. Tapi saya sudah buktikan saya mampu lari sejauh 100km dalam maraton di Hulu Langat pada Mac 2018,” katanya yang mengagumi Nick Vujicic, seorang warga Australia tanpa anggota badan sempurna yang juga penceramah motivasi popular di seluruh dunia.

Pada Disember lalu, CK yang juga dikenali sebagai ‘One Armed Runner’ (Pelari Satu Tangan) pernah menyertai misi mendaki Gunung Kinabalu di Sabah kerana mahu melakukan sesuatu yang mencabar selain larian.

Sebelum ini ada yang kata CK tak mungkin kamu boleh lari 10 kilometer. Tapi saya sudah buktikan saya mampu lari sejauh 100km.

Loh Chee Khoon

'One Armed Runner'

Sebahagian pingat acara spartan yang disertai CK.

Namun pereka perisian ini gagal ke puncak dan hanya dapat bertahan di Laban Rata, hanya beberapa kilometer saja lagi kerana mengalami penyakit akut gunung (AMS).

“Saya berasa kecewa kerana saya gagal melakukan cabaran itu. Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan kembali menawan puncak Kinabalu.

“Tetapi apabila waktunya tiba nanti, saya akan pastikan untuk lebih bersedia terutama menyesuaikan diri dengan keadaan di tanah tinggi,” tambahnya yang merupakan graduan ijazah sarjana muda multimedia bagi rekaan antaramuka dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Pengalaman CK dalam misi mendaki Gunung Kinabalu.

Berkongsi pengalaman manis, CK berkata, ketika itu dia menyertai maraton di luar negara buat pertama kali di Gold Coast, Australia pada musim sejuk 2013, dan ditemani bapanya memberi sokongan sepanjang berada di negara kangaroo itu.

CK akui bapanya merupakan seorang yang pendiam tetapi garang, meskipun tidak banyak bercakap mengenai minatnya tetapi masih menunjukkan sokongan yang padu.

“Saya berjaya menamatkan larian sejauh 42km dan saya tersentuh hati apabila melihat wajah bapa menanti saya di garisan penamat. Air mata saya tumpah

Pengalaman menyertai maraton di luar negara buat pertama kali yang turut ditemani bapa di Gold Coast, Australia.

“Cuaca sangat sejuk ketika itu dengan keadaan badan menggigil dan saya nyaris berputus asa tetapi ayah ada berpesan sebelum saya memulakan larian untuk melakukan perlahan-lahan dan cuba sehabis baik,” katanya sambil menambah melihatkan wajah bapa yang setia menantinya di garisan penamat merupakan satu hadiah paling bernilai dalam sukan itu.

Tahun ini, CK berazam untuk mencatatkan pencapaian baharu dengan melakukan aktiviti senaman menggunakan beban besar iaitu crossfit dan maraton sejauh 168km.

“Apa yang saya belajar adalah bukan setiap masa kita akan berjaya. Ada masa kita akan jatuh dan bangun tetapi apa yang lebih penting untuk tidak berputus asa dan terus mencuba sehingga berjaya,” ujarnya.

Artikel Lain