suria

“Tak pernah ‘fake’ kejutan demi kejutan suami” - Syafiqah Aina akui segalanya disembunyikan, anggap ia bonus

Nursyafiqah Aina Abdul Wahab. Foto FAIHAN GHANI

“ANAK ni Neelofa ke?,” tanya seorang wanita berusia lebih separuh abad yang secara tiba-tiba datang ke meja seorang gadis di sebuah kafe di Shah Alam, baru-baru ini.

Secara kebetulan, gadis ini sedang ditemuramah penulis dan secara kebetulan baru menyebut nama selebriti Neelofa dan seorang usahawan, Datin Vivy Yusof saat diajukan soalan mengenai individu yang dikaguminya.

“Saya bukan Neelofa, makcik,” jawab Nursyafiqa Aina Abdul Wahab, dengan sopan kepada wanita berkenaan dan rakan-rakannya, meskipun masih dalam keadaan terkejut.

Antara kejutan awal dengan menaiki limosin sempena hari ulang tahunnya. Foto Hafiz Mahamad

Mungkin tidak seiras Neelofa, tetapi pesona dan keanggunan wanita berusia 25 tahun ini setanding, mampu menawan hati sesiapa dan tidak hairanlah dia bergelar model.

Di laman sosial, Nursyafiqa yang lebih mesra dengan panggilan Aina cukup dikenali sebagai usahawan produk kecantikan dan pakaian di bawah jenamanya sendiri.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangannya, Aina dianggap sebagai wanita paling bertuah kerana mempunyai pasangan yang sering membuat kejutan demi kejutan untuk dirinya.

Bermula dirinya masih bergelar kekasih, tunang sehingga kini menjadi isteri kepada seorang instafamous, Hafiz Mahamad, si jelita ini dihujani pelbagai kejutan seperti menaiki limosin putih, menerima hadiah kereta Honda merah dan percutian mewah.

Selepas menaiki kereta limosin, Aina diberi kejutan hadiah sebuah kereta. Foto @thecreativecolours

Mengenai kejutan itu, anak jati Johor Bahru ini mengakui tidak pernah berharap dan hanya dapat menjangkakannya menjelang hari ulang tahunnya.

“Saya tidak tahu apa yang dirancangnya sebab dia pandai pelan senyap-senyap. Pura-pura terkejut? Saya tak pernah ‘fake’ terkejut sebab apa yang dia buat tak pernah nak jangka. 

“Saya tahu mesti ada kejutan, tapi saya tak tahu apa yang dia akan buat. Bila terkejut dan menangis tu memang saya ikhlas. 

“Bila dia nak buat sesuatu, dia akan sembunyikan segala-galanya daripada pengetahuan saya. Dan saya pula tidak mahu cuba membocorkan rancangan dia. Nanti usaha dia sia-sia,” katanya kepada mStar Online.

Masih sempat membuat kejutan buat isteri pada majlis perkahwinan, November 2017. Foto Hafiz Mahamad

Aina yang kini hamil anak pertama berkata, dia menganggap setiap kejutan itu sebagai bonus tetapi apa yang lebih penting adalah layanan suami terhadap dirinya sebagai isteri.

Tambahnya, setiap lelaki mempunyai cara yang berbeza untuk menghargai masing-masing meskipun tidak diberikan barang berharga atau kemewahan.

“Ini kerana kebahagiaan atau kegembiraan itu bukan bersandarkan harta-benda. Bukan cara kejutan tu yang boleh menggembirakan kita.

“Bagi saya, barang-barang mahal tu tak buat saya bahagia. Tapi sebab suami jenis suka membuat kejutan, jadi ia adalah bonus untuk saya,” katanya.

Lagi kejutan daripada suami di awal kehamilan. Foto Syafiqah Aina

Malah, dia bersyukur kerana suami menerima dirinya seadanya sejak enam tahun mereka berkenalan selamat habis sekolah, dari berbadan gempal dan muka berjerawat.

Diajukan soalan bagaimana sekiranya suami pula yang gemuk, Aina tidak melatah sebaliknya tersenyum dan menjawab ia sesekali tidak akan mengubah hatinya.

“Saya dah kenal hati budi dia. Tak kanlah sebab fizikal, saya nak tinggalkan dia. Dia nak gemuk, gemuklah. Biar tak ada orang lain nak kat dia,” katanya secara berseloroh.

Saya tak tahu apa yang dia akan buat. Bila terkejut dan menangis tu memang saya ikhlas. 

Nursyafiqah Aina Abdul Wahab

Model/Ahli perniagaan

Aina juga pernah membuat kejutan menaiki helikopter sempena hari ulang tahun suaminya pada 2018. Foto Hafiz Mahamad

Siapa sangka walaupun berbadan ramping, Aina sebenarnya gemar bereksplorasi dengan makanan, malah menyukai manisan seperti kek dan coklat.

“Saya memang kuat makan. Tapi saya usaha sendiri untuk menjadi kurus menerusi diet. Saya suka 'food hunting' dan sering ajak suami untuk makan sana sini. 

“Kami menetap di Cyberjaya, dan saya pernah ajak dia pergi sampai ke Shah Alam semata-mata nak rasa pisang goreng yang saya rasa sedap di situ. Malah, saya pernah ajak suami untuk terbang ke Pulau Pinang dan Bangkok hanya untuk makan saja,” katanya.

Apa yang lebih penting bagi Aina adalah layanan suami terhadap dirinya sebagai isteri. Foto FAIHAN GHANI

Bila berbadan kurus, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini cuba mendapatkan semangat dan keyakinan menerusi peragaan.

“Selepas terlibat dalam peragaan, saya mencabar diri pula untuk memulakan perniagaan. Walaupun usia masih muda, saya mahu memberi inspirasi kepada anak-anak muda lain supaya melakukan perubahan untuk diri sendiri, bukannya kerana orang lain.

“Harapan saya adalah mahu mendapat lebih banyak pendedahan mengenai bagaimana untuk bercakap di khalayak ramai dengan lebih berkeyakinan,” katanya sambil bersyukur kerana mempunyai suami yang begitu penyabar dan sentiasa belajar memahami dirinya.

Nursyafiqah Aina, Hafiz Mahamad

Artikel Lain