Sir Uzairi, guru Matematik glamor impi buka stesen TV

PENAMPILANNYA yang begitu bersahaja dan sempoi membuatkan ramai menganggapnya sebagai bintang muda dalam bidang pendidikan negara hinggakan kepakaran Uzairi Mohd Taib sebagai guru matematik tidak perlu dipertikaikan lagi.

Bukan sekadar lincah di dalam kelas, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu turut menempa nama sehingga mengumpul lebih 400,000 pengikut di laman Instagram.

Kishnya pernah tular beberapa kali sebelum ini, dia yang lebih mesra disapa sebagai Sir Uzairi bakal melebarkan sayap ke luar negara untuk berkongsi kepakaran dalam subjek yang diunggulinya - Matematik.

Menurut Uzairi, pihaknya sedang giat membuat persiapan untuk mengadakan seminar berkaitan subjek itu di beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Singapura tidak lama lagi.

Sir Uzairi mula mengajar sekitar tahun 2013.

"Saya memang ada idea untuk buat seminar dan ada pula pihak yang dekati untuk beri tawaran. Jadi, peluang itu datang lebih awal, Insya-Allah ia akan akan diadakan menjelang hujung tahun ini atau tahun depan.

"Saya memang rasa gembira, tapi risau pun ada sebab akan bawa nama Malaysia. Kita mengajar pun orang akan nilai.

"Dalam seminar tu saya akan kongsi cara untuk berfikir dan ubah psikologi pelajar. Saya juga nak tengok sistem mereka. Bagaimana mereka jadi maju dalam bidang pendidikan," katanya kepada mStar Online.

Uzairi sebelum ini turut aktif mengadakan seminar di sekolah-sekolah dalam negara termasuklah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.

Menurut Uzairi, dia menganggap murid-murid seperti kawannya supaya dapat lebih memahami pemikiran mereka.

Malahan, dia juga menanam hasrat untuk membuka stesen televisyen pendidikan sendiri, pada masa akan datang.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya nak bawa apa yang ada sekarang ke arah stesen tv pula.

"Antara impian lain termasuklah nak ubah sistem pendidikan negara. Misalnya pendekkan waktu belajar sebab fokus pelajar zaman sekarang tak panjang.

"Jadi biarlah kelas dalam tempoh pendek itu solid dan berkualiti, pada masa sama boleh kurangkan beban cikgu," katanya.

Uzairi juga menanam hasrat untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Mengulas hal itu, Uzairi berkata perubahan zaman turut memperlihatkan bagaimana pelajar masa kini lebih gemar sesuatu yang bersifat cepat dan semasa.

"Contohnya dulu tengok tv sejam, bila dah ada Youtube tengok video durasi pendek sikit, sekarang di Instagram, mereka tengok video seminit sahaja. Semua benda mereka nak cepat.

"Gaya hidup dan cara mereka berfikir pun saya kaji. Untuk tahu cara mereka berfikir, saya jadi kawan mereka dan cuba kaitkan dengan trend-trend baharu," katanya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Sir Uzairi mengakui tidak menggemari subjek Matematik sejak berada di bangku sekolah lagi.

Hal itu menyebabkan dia lebih memahami pelajar-pelajar yang tidak suka akan subjek berkenaan sekaligus memberi ilham untuknya memberi tunjuk ajar dalam cara yang lebih mudah dan efektif.

Siapa je yang minat matematik? Zaman sekolah dulu saya paling benci matematik. Kelas tuisyen pun saya ponteng.

 UZAIR MOHD TALIB

Guru Matematik

Malah, dia turut mengubah cara pengajaran yang mana dia menggantikan pengunaan terma-terma dan formula kepada perkataan yang lebih realistik agar mudah dihadam pelajar.

"Siapa je yang minat matematik? Zaman sekolah dulu saya paling benci matematik. Kelas tuisyen pun saya ponteng.

"Jadi saya tahu macam mana orang tak suka matematik berfikir sebab saya pernah ada di tempat mereka.

"Perkataan 'negatif' dan 'positif' misalnya, saya ubah kepada 'hutang' dan 'duit'. Saya tukar terma itu kepada benda sebenar supaya lebih senang faham," katanya.

Memiliki personaliti menarik dan mudah didekati, dia ternyata bijak memikat fokus murid-murid untuk mendalami subjek berat seperti matematik.

Mengimbas kenangan sepanjang bergelar guru sejak 2013, dia turut bercerita mengenai kisah seorang murid lelaki tahun tiga yang terkencing dalam seluar, sekitar lima tahun lalu.

Menurut Uzairi, sudah menjadi kebiasaan untuk dia tidak membenarkan pelajar keluar ke tandas sewaktu kelas kendaliannya diadakan.

Namun, peristiwa itu disifatkannya sebagai satu pengajaran yang memberi ilham untuk dia lebih memahami cara pelajar berfikir.

Uzairi gemar menyelitkan unsur-unsur jenaka dan trend terkini dalam kelasnya agar dia lebih dekat dengan murid-murid.

"Dia angkat tangan nak keluar ke tandas tapi saya tak bagi. Tak lama selepas itu dia senyap, saya tengok bawah dah basah.

"Terus saya tutup lampu, bawa dia untuk dibersihkan dan pakaikan kain pelikat. Selesai semuanya baru saya buka lampu balik.

"Memang budak-budak lain bising tapi saya tak nak dia malu. Peristiwa itu mengajar saya, bagaimana nak fahami cara pemikiran pelajar. Kalau pelajar sekolah menengah lain pula caranya," kata Uzairi lagi.

Uzairi Mohd Taib, Matematik, Guru

Artikel Berkaitan

Klik

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Artikel Lain