Cita-cita Nik Chan nak buka ‘shopping mall’, akhirnya bekas tukang masak ini bangga uruskan 18 restoran - Figura | mStar

Cita-cita Nik Chan nak buka ‘shopping mall’, akhirnya bekas tukang masak ini bangga uruskan 18 restoran

nik chan
Nik Chan, antara tiga beradik yang menyambung legasi perniagaan restoran berkonsepkan Cina Muslim yang diasaskan oleh bapanya. Foto SAM THAM

SEBELUM mengambil alih perniagaan restoran berkonsepkan makanan Cina Muslim daripada bapanya, pemuda ini pernah melalui kehidupan susah hingga terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan.

Malah anak bongsu kepada Datuk Mohd Chan Abdullah yang juga pengasas Restoran Mohd Chan ini pernah menjadi tukang masak di cawangan pertama mereka di Bukit Beruntung, Selangor.

Datuk Nik Chan yang berusia 34 tahun memberitahu, beliau mempunyai minat memasak sejak kecil dan mempelajari kemahiran itu daripada bapanya.

"Masa tu belum ada tukang masak, jadi saya bersama ayah yang masak. Bila perniagaan semakin maju dan pelanggan semakin ramai, barulah kami cari tukang masak tambahan.

"Masakan pertama saya di Restoran Mohd Chan adalah mi hokkien. Ketika itu, saya pernah masak sampai 50 pinggan mi hokkien sehari," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Chan dedah rahsia tak pernah tanggal kopiah lebih 10 tahun

Nik Chan (kanan) bersama bapanya, Mohd Chan.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkongsi mengenai seorang pelanggan yang sering berkunjung ke restoran keluargannya bagi menikmati hidangan, meskipun beliau bukan lagi tukang masak di premis itu.

"Dah 10 tahun dan sampai sekarang seorang pelanggan setia menyukai hidangan mi hokkien, dan pernah datang dua kali makan menu sama pada hari yang sama!

"Dia cakap itu menu istimewanya bila datang ke restoran kami, dan sukar untuk cari mi hokkien yang sedap dan halal di tempat lain," tambahnya.

Masakan pertama saya di Restoran Mohd Chan adalah mi hokkien. Saya pernah masak sampai 50 pinggan mi hokkien sehari

Datuk Nik Chan

Pengarah Mohd Chan Food Sdn Bhd

Sebelum menjadi tukang masak di Restoran Mohd Chan, beliau yang berasal dari Gombak ini pernah bekerja sebagai promoter menjual baju dan telefon bimbit.

"Saya habis belajar setakat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan lepas tu buat macam-macam kerja sehingga restoran dibuka. Selain jadi promoter jualan, saya  juga pernah lakukan kerja-kerja untuk pengubahsuaian rumah dan bangunan," katanya.

Nik Chan juga pakar memasak, malah pernah menjadi tukang masak sewaktu restoran Mohd Chan mula beroperasi, lebih sedekad lalu. Foto Facebook Rasa

Pengarah Mohd Chan Food Sdn Bhd ini pada mulanya tidak menyangka dirinya kini membabitkan diri dalam perniagaan makanan sehinggga mempunyai 18 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Ini kerana Nik Chan yang juga pakar memasak udang goreng mentega pernah menyimpan hasrat untuk membuka sebuah pusat membeli-belah suatu hari nanti.

Mengimbas kembali semasa di Tahun Empat di sekolah rendah, katanya, guru kelas meminta semua murid berkongsi mengenai cita-cita masing-masing apabila dewasa kelak.

"Saya cakap cita-cita nak jadi ahli perniagaan. Cikgu tanya nak jadi ahli perniagaan macam mana? Saya cakap nak ada satu pusat membeli-belah sendiri.

"Pada mulanya, cikgu salah faham menyangka saya mahu jual barang di pusat membeli-belah lalu bertanya lagi saya nak jual barang apa. Saya jawab bukan nak jual barang, tapi saya nak buka shopping mall," katanya secara berseloroh.

Restoran Mohd Chan kini mempunyai 18 cawangan di Lembah Klang.

Menurut Nik Chan, cita-cita tersebut berputik selepas kagum melihat bangunan besar, dilengkapi kemudahan penyaman udara dan dihias cantik untuk dikunjungi seisi keluarga.

"Tapi sekarang saya dah tak mahu buka pusat membeli-belah. Sebab sekarang terlalu banyak pusat membeli-belah, sana sini ada saja, semuanya berdekatan.

"Sekarang tumpuan saya nak masuk pusat membeli-belah untuk berniaga saja dan buka lebih banyak cawangan Restoran Mohd Chan," katanya yang suka masakan pedas dan mahir memasak masakan Melayu seperti ikan keli masak cili.

Nik Chan bersama anugerah yang mengiktiraf salah satu syarikat, Mohd Chan Signature Sdn Bhd, baru-baru ini. Foto Facebook Nik Chan

Justeru, beliau merancang untuk mempunyai 50 cawangan dalam tempoh tiga tahun akan datang di Lembah Klang, termasuk sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap negeri.

"Kita juga mahu mewujudkan restoran berkonsepkan gaya hidup, di mana pelanggan bukan saja datang untuk menikmati makanan tetapi juga bersantai dengan latar belakang muzik. 

"Semuanya dalam perancangan untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke restoran Mohd Chan, bukan sahaja pelanggan Muslim, tetapi  sesiapa saja," kata Nik Chan.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain