suria

Fairuz Ramdan telan ‘marshmallow’ belakang lorong sebelum jadi pereka fesyen popular

Fairuz Ramdan. Foto AZLINA ABDULLAH

SEBELUM bergelar pereka fesyen terkenal dengan pelbagai hasil kreativitinya yang sentiasa segar dan urban, siapa sangka pemuda ini pernah melalui hidup susah semasa zaman kanak-kanaknya.

Tanpa wang belanja ke sekolah, Fairuz Ramdan tabah meneruskan kehidupan bersama keluarganya di Scotland, ketika bapanya menyambung pengajian di sebuah universiti di negara itu.

"Saya bukan daripada keluarga senang. Saya dibesarkan tanpa duit belanja. Kami adik-beradik hanya bawa bekal makanan ke sekolah setiap hari.

"Ibu buat banyak kerja, di rumah kebajikan dan di kilang permainan. Bila balik rumah masih lagi menjahit baju kanak-kanak. Setiap Ahad pula kami akan menjual pakaian kanak-kanak itu di Pasar Ahad," kata pereka fesyen berusia 37 tahun ini kepada mStar Online ketika ditemui di butiknya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pemuda ini kreatif menghasilkan sesuatu untuk mempunyai wang poket sendiri.

Semasa di sekolah rendah, anak kelahiran Edinburgh, Scotland ini cuba menggunakan kain perca lebihan fabrik yang dijahit ibunya untuk membuat bingkai gambar.

Bingkai itu diperbuat daripada kotak yang digunakan bapanya untuk membawa buku-buku yang dipinjam daripada perpustakaan di universiti.

Saya kini memiliki lima kereta klasik dengan kebanyakannya model Mercedes. Fesyen sebati dalam jiwa saya, tetapi koleksi kereta lama masih menjadi minat saya sejak dulu. 

Fairuz Ramdan

Pereka Fesyen

"Ayah suruh saya buang kotak tu sebab dah lunyai, tapi saya senyap-senyap pakai untuk buat bingkai, dicantumkan dengan kain yang digabung kain-kain perca pelbagai fabrik.

"Bingkai gambar yang sudah siap dijual dengan cara pergi rumah ke rumah di kawasan kejiranan. Setiap pintu rumah saya ketuk, sepanjang perjalanan ke padang untuk bermain bola sepak bersama rakan-rakan," ujarnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kreatif Fairuz Ramdan Designs Sdn Bhd.

Minat dalam bidang jahitah sejak kecil membawa kepada perniagaan fesyen.

Cerita anak sulung daripada empat beradik ini, harga sekeping bingkai gambar dijual antara 20 pence (RM1.05) ke 40 pence (RM2.10). 

Disebabkan bisnes bingkai gambar dibuat tanpa pengetahuan ibu-bapanya, maka hasil jualan terpaksa dihabiskan kesemuanya sebelum pulang ke rumah.

"Waktu itu, sebiji gula-gula marshmallow berharga 1 pence (5 sen) atau 2 pence (10 sen). Jadi, hasil jualan seterusnya boleh beli sampai 100 biji. Saya tak bawa balik gula-gula tu ke rumah, ke padang bola pun tak. Saya duduk makan di lorong belakang rumah orang. 

"Saya makan seorang sampai perut kembung, tapi lepas tu sambung pergi main bola dengan kekenyangan. Sampai sekarang pun saya masih suka makan marshmallow. Satu benda yang kena ada dalam peti sejuk dan saya boleh makan begitu saja," katanya secara berseloroh.

Sebahagian pencapaian dan anugerah yang diraih Fairuz sebagai pereka fesyen.

Jualan bingkai gambar laris bak goreng pisang panas menyebabkan lebihan wang selepas dibelanjakan terpaksa disembunyikan di bawah pelapik dalam bekas penselnya.

"Suatu hari, ayah terbalikkan kotak pensel tu untuk bantu saya cari pensel yang masih boleh digunakan kerana kebanyakan mata sudah tumpul dan patah.

"Apabila diterbalikkan, semua alat tulis di dalamnya jatuh termasuk wang yang disorokkan. Habis terbongkar dan ayah tanya mana dapat duit sebanyak tu. Saya cerita perkara yang sebenar dan lega sebab ayah faham, cuma ibu saja yang bising," katanya.

Selepas pulang ke tanah air semasa usianya 14 tahun, Fairuz terus 'curi-curi' melakukan kerja lain demi mendapatkan wang poket sendiri.

Kini terdapat tujuh butik FR di seluruh negara.

Mesin jahit kepunyaan ibunya yang tidak digunakan lagi turut dibawa pulang, sekali gus mendorong untuk Fairuz membuka 'kedai jahit' secara rahsia.

"Masa di sekolah menengah selepas pulang ke Malaysia baru saya curi-curi guna mesin jahit, dan saya buat pengubahsuaian pada baju dan seluar pakaian seragam sekolah rakan-rakan.

"Masa tu zaman alternatif rock, jadi rakan-rakan nak ubah potongan seluar dan baju mereka, jadi saya ambil upah untuk buat ubah suai," katanya sambil menambah minat dalam bidang jahitan membawa Fairuz secara serius untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni reka fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Fairuz meminati koleksi kereta klasik.

Selain fesyen dan bola sepak, Fairuz turut mempunyai minat dalam bidang automotif terutama koleksi kereta klasik, dengan model pertama yang dipandunya adalah Datsun 1979.

"Saya kini memiliki lima kereta klasik dengan kebanyakannya model Mercedes. Fesyen sebati dalam jiwa saya, tetapi koleksi kereta lama masih menjadi minat saya sejak dulu. Saya juga turut terlibat dalam modifikasi dalaman kereta seperti enjin, teknologi dan keupayaan sebagaimana model-model baharu.

"Bagi saya, kereta adalah fesyen, satu gaya hidup, dalamannya juga fesyen. Macam mana saya custom baju, begitu juga saya custom kereta, cuma kereta lebih kompleks," kata pereka ini yang menerima pelbagai anugerah seperti Most Promising Designer of the Industry 2013 ketika di The Mercedez Benz, Stylo F1 Fashion Grand Prix.

Pada masa ini, terdapat tujuh cawangan butik dengan nama FR di Mutiara Damansara, Langkawi, Bangi, Kuala Lumpur (The Zone), Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.

Fairuz bersama kokeksi kereta lama model Merces.

"Kita ada lima label, dan jenama Fairuz Ramdan sudah pun menembusi pasaran antarabangsa sebelum ini. Jenama yang paling mendapat sambutan ketika ini adalah FR Blue Label, yang bermula pada 2014," ujar Fairuz dengan rekanannya dipakai selebriti tempatan.

Beliau berpendapat jenama FR Blue Label mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dan merancang untuk memasarkannya ke peringkat antarabangsa menjelang 2021.

"Saya mahu memperkukuhkan perniagaan dan mahu jenama ini lebih matang untuk penyampaian yang lebih baik apabila ia bersedia untuk dipasarkan di luar negara.

"Saya tidak mahu menghasilkan produk sekadar untuk memenuhi piawaian antarabangsa tetapi mahu menjadikan semua produk di bawah Fairuz Ramdan setanding jenama antarabangsa," katanya.

Fairuz Ramdan

Artikel Lain