suria

Dulu broker kereta, sekarang edar filem... Zubir berdepan cabaran jual 'filem sakit'

Zubir akui cabaran dalam menjual filem.

BERBEKALKAN pengalaman sebagai penjual kereta, pemuda ini cuba terjun ke bidang lain dengan menceburkan diri dalam industri perfileman dan bekerja di bawah syarikat Metrowealth MIG sekitar 2006.

Siapa sangka, enam tahun berkhidmat dengan syarikat penerbitan filem itu sebagai pegawai perhubungan awam, ia telah membuka peluang untuk beliau memulakan bisnes pengedaran filem.

Menurut Zubir atau nama sebenar Mohamad Zubir Badarshair, 38, cabaran utama dalam mengendalikan bisnes mengedar dan mempromosi filem adalah bagaimana mahu berdepan dengan kehendak pelanggan.

Setiap filem berbeza strategi pemasarannya.

"Cabaran utama ialah berdepan kehendak klien yang berbagai ragam terutamanya dalam memastikan produk filem mereka mendapat sambutan.

"Selain itu, dalam zaman yang semakin berubah dengan arus media sosial, strategi pemasaran perlu lebih kreatif untuk memastikan ia menjadi.

"Namun begitu promosi secara tradisional seperti di media cetak dan elekronik masih perlu dilakukan,” katanya yang kini memegang jawatan pengarah urusan Empire Solution Sdn Bhd.

Zubir berkata, kuasa viral adalah salah satu strategi yang berkesan untuk menarik perhatian penonton ke panggung.

Katanya, strategi tersebut berjaya membuatkan filem terbitan Skop Production iaitu Munafik meraih kutipan RM17.04 juta pada 2016.

"Filem Munafik pada tahun 2016 menjadi perhatian selepas dua minggu ditayangkan iaitu selepas viral reaksi-reaksi penonton di dalam pawagam ketika menontonnya.

Zubir timba pengalaman di MIG sebelum buka bisnes sendiri.

"Ia betul-betul mendadak apabila ramai yang tertanya-tanya dan ingin tahu tentang cerita tersebut sehingga ia mendapat kutipan tertinggi ketika itu,” ujarnya yang turut mengedarkan filem Munafik 2 yang meraih kutipan RM40 juta.

"Dalam pada itu, Zubir yang menubuhkan syarikat berkenaan dengan dua rakannya turut mengakui berdepan dengan filem bermasalah atau dipanggil 'filem sakit'.

"Separuh daripada filem yang diterima memerlukan modal dan strategi pemasaran yang betul-betul mampu balik modal," katanya.

Empire Solutian setakat ini telah mengedarkan kira-kira 40 filem termasuk dari Indonesia, Thailand dan Hollywood.

Antara filem yang mencapai kutipan box office ialah Munafik 1, Munafik 2, Abang Long Fadil 1, Jwanita, Juvana 2 dan Juvana 3.

Artikel Lain