suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ghaib selepas dua hari! Wanita letak sabun, ‘make-up remover’ di masjid terkilan barang wakaf hilang

Segelintir individu gemar mewakafkan barang di tandas surau atau masjid supaya dapat digunakan jemaah lain. -Gambar hiasan AI

NIAT murni seorang wanita untuk memudahkan urusan jemaah lain bertukar menjadi tanda tanya apabila beberapa barang yang diwakafkan di sebuah tandas masjid hilang tanpa kesan.

Apa yang membuatkan dia lebih terkilan dan kecewa, barangan tersebut lesap dalam tempoh yang sangat singkat.

Meluahkan apa yang terbuku di hati, wanita itu memberitahu dia meletakkan sabun pencuci tangan dan pembersih solekan wajah (make-up remover) di ruangan tandas wanita untuk kegunaan bersama.

Bagaimanapun selang dua hari kemudian, dia mendapati kesemua barang yang ditinggalkannya itu sudah tiada lagi di situ.

Ramai yang mencari pahala melalui infaq dan wakaf barangan kepada masjid atau surau. -Gambar hiasan

Ramai yang mencari pahala melalui infaq dan wakaf barangan kepada masjid atau surau. -Gambar hiasan

"Memang ada ke masjid yang tak benarkan orang wakaf apa-apa barang seperti sabun pencuci tangan dan make-up remover?

"Bukan niat nak memburukkan mana-mana masjid atau bersikap riak, tapi saya beli kesemua barang tu lepas tengok tandas masjid kosong.

"Selepas dua hari, saya pergi semula dan dapati bahan pencuci tu sudah tiada... tak pasti sama ada dibersihkan atau dibuang," luahnya di Thread.

Mengakui terkilan dengan situasi yang berlaku, wanita ini menjelaskan bahawa tindakannya itu ikhlas untuk memudahkan jemaah wanita lain yang singgah di situ.

  • Wanita kecewa barang wakaf di tandas masjid hilang selepas dua hari.
  • Dia letakkan sabun pencuci tangan dan pembersih solekan untuk kegunaan jemaah.
  • Dakwa tandas masjid asalnya kosong tanpa kemudahan tersebut.
  • Turut terkilan kerana emel kepada pihak masjid tidak dibalas.
  • Netizen kata kebanyakan masjid ada SOP dan perlu dapatkan izin sebelum wakaf barang.

Malah katanya, idea tersebut timbul berdasarkan pengalamannya sendiri yang sememangnya terbiasa menggunakan sabun pencuci tangan setiap kali keluar dari tandas.

Demi mendapatkan penjelasan sebenar tentang apa yang berlaku kepada barang-barang tersebut, dia mengambil inisiatif untuk menghantar emel kepada pihak pengurusan masjid.

Namun malangnya, pertanyaan tersebut tidak dijawab oleh mana-mana pihak berkaitan.

"Saya emel pihak masjid untuk dapatkan maklum balas tapi sampai sekarang tiada respons daripada mereka," luahnya kecewa.

ARTIKEL BERKAITAN: Masuk waktu solat, lelaki di surau rajin basuh muka guna pencuci wakaf... Mahu beri pahala untuk individu berinfaq

ARTIKEL BERKAITAN: Culas bayar sewa hingga terpaksa halau keluar... ‘Owner’ terkejut penyewa tinggalkan longgokan al-Quran wakaf - “Siap ada senarai nama”

Menurut segelintir netizen, kebanyakan masjid mempunyai SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ketat mengenai barangan wakaf bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Malah, ada yang menasihati orang ramai agar merujuk atau meminta izin daripada pihak jawatankuasa (AJK) masjid terlebih dahulu sebelum meletakkan sebarang barang wakaf bagi mengelakkan pembaziran pada masa akan datang.

"Mungkin kena labelkan 'masjid' atau 'surau' pada botol supaya tiada siapa yang bawa balik.

"Saya pernah wakafkan telekung tapi mereka tak terima melainkan yang telah dicop, memang salah saya sendiri," demikian reaksi netizen.

Artikel Lain