suria

Culas bayar sewa hingga terpaksa halau keluar... ‘Owner’ terkejut penyewa tinggalkan longgokan al-Quran wakaf - “Siap ada senarai nama”

Ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam menguruskan hal berkaitan wakaf al-Quran. -Gambar hiasan AI

PEMILIK hartanah yang menjadikan rumah sebagai sumber pendapatan pasti pernah berhadapan dengan pelbagai ragam penyewa.

Demikian juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita mengenai pengalamannya menyewakan kediaman kepada sebuah keluarga yang kemudian membuka matanya berkaitan sumbangan atau infaq.

Berkongsi kejadian yang berlaku tujuh tahun lalu, wanita tersebut berkata, dia terpaksa meminta keluarga berkenaan keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa.

Apa yang mengejutkan, ketika memeriksa rumah sewanya selepas itu, dia menemui kitab suci al-Quran yang ditinggalkan dengan jumlah yang agak banyak.

Ada segelintir pihak menjadikan sumbangan derma demi kepentingan peribadi. -Gambar hiasan AI

Ada segelintir pihak mengutip sumbangan atau derma demi kepentingan peribadi. -Gambar hiasan AI

"Aku jumpa longgokan al-Quran yang kononnya untuk diwakafkan. Siap ada senarai nama di al-Quran tersebut tapi ditinggalkan macam tu je.

"Maksudnya, duit dah kutip tapi amanah tak dilaksanakan. Sejak tu, aku jadi lebih berhati-hati. Ramai guna istilah infaq, tapi kita tak tahu ke mana duit tu pergi," katanya.

Menurutnya, insiden berkenaan bukan sahaja memberi pengajaran yang mendalam, malah menyedarkan dirinya tentang pentingnya ketelusan dan tanggungjawab dalam menguruskan sumbangan orang ramai, agar setiap amanah yang diberikan benar-benar sampai kepada tujuan yang sepatutnya.

ARTIKEL BERKAITAN:[V] Peminta derma naik angin permintaan tidak dilayan - “Cakap je tak ada duit”

ARTIKEL BERKAITAN:Ikut jejak ‘tok wan’, lelaki ini mahu derma darah hingga akhir hayat... Amalan boleh bantu badan kekal sihat

"Dulu ramai yang buat wakaf al-Quran RM20 untuk satu nama. Memang benda baik, aku tak nafikan.

"Sekarang pun masih ada rasanya. Tapi lepas kejadian ni, aku jadi agak berhati-hati," katanya.

Dia bagaimana pun tidak menuduh semua pihak bersikap sedemikian dan mengakui isu-isu semasa membuatkan orang ramai lebih berhati-hati.

"Beberapa hari ni kita dikejutkan cerita mengenai zakat. Isu macam ni sebenarnya buat ramai orang mula 'menapis' cara bersedekah.

"Jadi kita kena lebih teliti, lebih bijak supaya orang tidak salah guna sumber," katanya lagi.

  • Wanita temui longgokan al-Quran tak diagihkan selepas penyewa keluar.
  • Naskhah siap nama penyumbang, tapi ditinggalkan begitu sahaja.
  • Pengalaman itu ubah cara dia menyalur sumbangan.
  • Kini lebih teliti, pilih saluran dipercayai.
  • Netizen turut ragu kutipan infaq di media sosial.

Tambahnya, kini dia lebih cenderung untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada individu yang dikenal pasti sebagai golongan memerlukan, atau melalui tabung masjid.

Sementara itu, netizen turut memberikan pelbagai reaksi, dengan rata-rata bersetuju bahawa soal amanah dalam menguruskan sumbangan bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Malah sebahagian daripada mereka berpendapat kaedah infaq yang dijalankan melalui media sosial semakin menimbulkan keraguan, memandangkan ketidakpastian mengenai ke mana dan bagaimana sumbangan tersebut disalurkan.

"Biasanya iklan di Facebook berunsurkan wakaf atau apa saja tetap saja saya anggap sebagai scam. Pengiklan sanggup bayar pada Facebook.

"Kamu sebagai orang Islam sanggup bayar kos iklan kepada pihak menyokong zionis dengan alasan kebaikan. Gunalah cara lain," komen warga maya.

Artikel Lain