Debaran status normal atau OKU... Pengajaran di sebalik kisah si comel Matin dan gajet.

Matin kini lebih ceria berbanding dua bulan lalu selepas ibunya, Tengku Nabilah menukar aktiviti hariannya daripada hanya tertumpu kepada gajet. - Foto Ihsan TENGKU NABILAH TENGKU ISMAIL

PENGGUNAAN gajet oleh kanak-kanak dibawah enam tahun sudah menjadi kebiasaan sebagai cara mudah untuk memujuk mereka yang adakalanya merengek dan menangis.

Ia juga sebagai salah satu cara untuk memberi hiburan kepada mereka terutamanya jika ibu bapa sibuk dan tidak mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama anak-anak di rumah.

Itulah yang terjadi kepada seorang ibu, Tengku Nabilah Tengku Ismail, 30, yang mengakui mula mendedahkan gajet kepada anak lelakinya sejak berusia enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan dibiarkan, ketahui simptom kanak-kanak elergi susu lembu

Katanya, Matin Mahadzir Muhamad Salleh yang kini berusia dua tahun akan menonton program di YouTube selama beberapa jam setiap hari.

"Sekiranya dia tidak menggunakan iPad atau telefon, dia akan menonton televisyen.

"Alasan saya membenarkan Matin menggunakan gajet, sebagai seorang ibu yang bekerja, saya tiada masa dan tenaga untuk melayannya selepas seharian sibuk bekerja," katanya kepada mStar.



Sebelum ini Matin lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet sehingga membuatkan dia menunjukkan simptom seperti mengasingkan diri, suka mengamuk dan hilang selera makan.

Matin lambat bercakap, suka mengamuk, menyendiri

Bercerita lanjut mengenai anak lelaki kesayangannya itu, Tengku Nabilah berkata, dia mula berasa bimbang dengan keadaan Matin apabila kanak-kanak itu tidak mampu berturut dalam ayat penuh meskipun sudah memasuki usia dua tahun.

Katanya, Matin lebih gemar menggunakan perkataan ringkas seperti 'wow' atau 'yeay' berbanding ayat penuh ketika berkomunikasi.

"Keadaan itu membuatkan saya sebagai ibu bimbang kerana kebanyakan kanak-kanak seusianya sudah mampu bercakap dalam ayat penuh.

"Dari sudut lain, Matin sepertai kanak-kanak normal lain, suka bermain, ketawa apabila diusik, merengek kalau lapar dan perengus jika dia mengantuk," jelasnya yang bimbang jika anak sulungnya akan meneruskan hidup dengan status orang kelainan upaya (OKU).

Melihat kepada situasi itu, Tengku Nabilah memberitahu dia mula membuat carian di Internet mengenai kanak-kanak dengan masalah lambat bercakap selain mendapatkan nasihat dan pendapat daripada keluarga dan rakan-rakan.

Doktor yang merawat Matin mengambil masa sejam untuk melihat tingkah lakunya dan memberitahu anaknya ada menunjukkan tanda-tanda autisme ringan (mild autism).

TENGKU NABILAH TENGKU ISMAIL

IBU

Jelasnya, dia mula bimbang sekiranya anak kesayangannya itu menghidap autisme.

"Ketakutan Matin menghidap autisme datang ketika saya sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua. Selepas membuat pelbagai bacaan mengenai autisme, saya dan suami mula nampak pelbagai tanda pada diri Matin.

"Matin mula buat perangai, mengamuk dan sukar dipujuk yang biasanya tanda dan ciri-ciri autisme tetapi apabila dikenangkan kembali, saya tidak pasti adakah itu cara Matin menarik perhatian saya kerana lebih banyak menghabiskan masa bersama adiknya," ujarnya.

Tengku Nabilah memberitahu, ketika itu juga, dia membiarkan Matin menghabiskan masa dengan gajet dan menonton program kegemarannya di YouTube sebagai cara membuatkan dia diam kerana sukar untuk menguruskan dua anak kecil pada satu masa.

"Tindakan saya untuk membuatkan Matin diam tanpa saya sedar telah membawa padah kepadanya. Waktu tidurnya juga mula berubah secara drastik. Kebanyakan masa dia hanya akan tidur pada pukul 5 pagi berbanding 11 malam sebelum ini.

"Selera makannya juga berubah dan badannya semakin kurus membuatkan saya bertambah bimbang," ceritanya.

Tengku Nabilah memberitahu, dia mula berasa panik apabila Matin tidak memberikan respons apabila namanya dipanggil dan dia lebih gemar membuat halnya sendiri - tanda jelas autisme.



Ibu bapa harus mengawal penggunaan gajet terhadap anak-anak. - Gambar Sekadar Hiasan

Bawa jumpa doktor, ada kemungkinan autisme

Atas nasihat orang tua, Tengku Nabilah membawa Matin berjumpa dengan pakar kanak-kanak di sebuah hospital swasta pada 20 Mei lalu bagi mengetahui keadaan sebenar anak kesayangannya itu.

Doktor yang merawat Matin mengambil masa sejam untuk melihat tingkah lakunya dan memberitahu anaknya ada menunjukkan tanda-tanda autisme ringan (mild autism).

Jelasnya, ini termasuk tanda-tanda tidak menjawab ketika namanya dipanggil, lambat bercakap, mengamuk dan tiada kontak mata dengan orang sekelilingnya.

"Doktor nasihatkan kami untuk membuat ujian lanjut termasuk ujian pendengaran namun keputusannya normal," katanya.

Sebulan selepas itu, Matin menjalani ujian Jadual Pemerhatian Diagnostik Autisme (ADOS) namun sebelum itu, Tengku Nabilah memberitahu dia cuba mengubah aktiviti harian anaknya di rumah.

Ini termasuklah dengan mengurangkan jumlah masa menonton televisyen dan menggunakan gajet selain lebih kerap membawanya keluar dan melakukan aktiviti riadah.



Tindakan pantas menghantar Matin ke play school banyak membantu mengubah personaliti kanak-kanak berusia dua tahun itu.

"Saya dan suami lebih banyak berkomunikasi dengannya dan menghabiskan masa dengannya. Saya juga menggunakan khidmat LinDees Playland yang mengatur aktiviti dan permainan anak di rumah.

"Selepas beberapa sesi dengan mereka, perubahan dalam diri Matin dapat dilihat dengan jelas. Saya turut mendaftarkannya di sebuah play school dan ia sangat membantu.

"Pengetua sekolah berkenaan banyak menenangkan saya bahawa keadaan Matin berkemungkinan kerana tidak terdedah dengan kanak-kanak seusianya dan boleh jadi penyebab dia lambat bercakap," katanya.

Selepas sebulan dimasukkan ke sekolah itu, Tengku Nabilah berkata, dia nampak perubahan ketara Matin dan melihat perubahan dalam dirinya.

Katanya, Matin mula berubah apabila dia lebih banyak tersenyum kepada orang lain bahkan lebih mesra apabila orang tidak dikenali mendekatinya.

"Perbendaharaan kata Matin juga semakin meningkat ketika bercakap dan selera makannya juga bertambah," katanya.

Enggan berasa selesa dengan keadaan terkini anaknya, Tengku Nabilah membawa Matin bertemu pakar psikiatri kanak-kanak sebelum menjalani ujian ADOS.

Dia memberitahu berasa lega apabila doktor memberitahu Matin tidak menunjukkan gejala autisme tetapi menasihatkan agar meneruskan ADOS bagi mengesahkan sama ada anaknya autistik atau pun tidak.



Tengku Nabilah lega apabila doktor mengesahkan anaknya normal dan menjadikan kejadian sebelum ini sebagai pengajaran terbesar buatnya dan ibu bapa lain.

Syukur anak normal, pengajaran berharga

Ketika Matin menjalani ujian ADOS selama dua jam, Tengku Nabilah memberitahu ia penantian paling lama yang pernah dirasainya namun berasa lega apabila doktor mengesahkan anak lelaki kesayangannya normal.

"Bagaimanapun, Matin mengalami masalah lambat bercakap dan doktor menasihatkan agar kami meneruskan usaha yang dilakukan sebelum ini termasuk mengawal penggunaan gajet.

"Selain itu doktor menasihatkan agar kami meluangkan lebih masa dengannya selain melakukan aktiviti luar bersama kanak-kanak lain agar dapat meningkatkan kemahiran sosialnya," katanya.

Tengku Nabilah memberitahu, kini jika dia melihat ada ibu bapa yang memberikan telefon atau gajet kepada anak mereka, dia seperti ingin memberitahu mereka tentang apa telah terjadi kepada Matin.

"Saya sangat bersyukur kerana kami cepat tersedar dan mengambil tindakan segera sebelum terlambat.

"Buat ibu bapa muda di luar sana, ia mungkin memenatkan, menghiburkan dan menghabiskan masa bersama anak tetapi ibu bapa kita juga melakukan perkara sama tanpa sebarang gajet. Jadi kita juga boleh!," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Gajet, iPad, Telefon, Autisme, ADOS,

Artikel Berkaitan

Klik

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Artikel Lain