suria

Peniaga usah nak untung ‘atas angin’, pulangkan 5 sen! Islam larang ‘paksa’ pelanggan reda baki tak cukup

Isu berkaitan baki 5 sen menjadi tular baru-baru ini selepas pelanggan tidak berpuas hati dalam pembelian.

SEHARIAN, ada sahaja transaksi jual beli berlaku. Umum mengetahui bahawa muamalat adalah satu perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat tidak kira dalam apa jua bidang sama ada makanan, pakaian, minuman dan sebagainya.

Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “...Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama sendiri dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...” [Surah An-Nisa’: ayat 29]

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa pensyariatan jual beli dituntut dan hendaklah memenuhi syarat-syaratnya supaya tidak tersasar dari ketetapan yang telah digariskan oleh syarak.

Namun, baru-baru ini timbul isu berkaitan baki kurang lima sen daripada penjual dengan alasan juruwang tidak mempunyai baki yang mencukupi untuk diberikan kepada pelanggannya.

Tetapi, pelanggan menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada juruwang tersebut sehingga haknya dikembalikan.

Asasnya, penetapan harga lima sen dalam jualan dibenarkan kerana kebiasaan di Malaysia ianya masih diguna pakai. Dalam situasi ini, penjual masih meletakkan harga pada kadar yang betul.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh isu baki 5 sen, Zus Coffee lancar siasatan... Bukan kes ‘tak cukup’, akan ambil tindakan

Menurut konsep muamalat Islam, sifat harta mestilah sesuatu yang dianggap berharga dalam kalangan masyarakat umum.

Demikian, lima sen itu masih dianggap harta yang bernilai pada mereka. Justeru, penjual seharusnya melunaskan hak pembeli. Namun, ianya berbeza sekiranya pembeli meredai baki tersebut tidak diberikan.

Namun begitu, ada segelintir peniaga dengan sengaja meletakkan harga seperti RM9.95 dengan harapan pembeli akan meredai baki lima sen yang dibayar tanpa mengembalikannya.

Hal ini meletakkan pembeli dalam keadaan terpaksa merelakan baki tidak dipulangkan dengan alasan kekurangan syiling.

Sekiranya hal ini dilakukan dengan niat sengaja maka ianya termasuk dalam perkara menganiaya pelanggan.

Penganiayaan adalah perkara yang dilarang dalam Islam seperti mana yang termaktub dalam surah al-Nisa’, ayat 29 di atas. Bayangkan keuntungan ‘atas angin’ peniaga hasil daripada paksa rela pelanggan sekiranya dihitung dalam masa yang panjang.

Islam memandang persetujuan antara penjual dan pembeli sebagai penentu kepada kesahihan sesuatu proses jual beli. Tanpa persetujuan salah satu pihak, maka jual beli tersebut terbatal.

Bahkan, terdapat larangan untuk mengurangkan timbangan dalam perniagaan seperti disebutkan dalam Surah Al-Isra’, ayat 35:

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah takaran apabila kamu menakar, dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah Al-Isra’: ayat 35]

Resit pembelian dan rakaman litar tertutup sebuah kedai kopi ternama yang tular.

Resit pembelian dan rakaman litar tertutup sebuah kedai kopi ternama yang tular.

Sejarah Islam merekodkan beberapa sahabat yang terlibat sebagai usahawan yang berjaya seperti Abu Bakar As-Siddiq, Uthman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf.

Tidak dinafikan, para sahabat ini mengutamakan keredaan dan keberkatan Allah dalam perniagaan yang dijalankan.

Baginda Rasulullah menekankan bahawa para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan yang berdosa kecuali mereka yang berbuat kebaikan dan jujur. Baginda SAW bersabda:

Maksudnya: “Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.” [HR Tirmizi, 1210]

Oleh itu, terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan supaya perniagaan kita diberkati:

1. Amanah dan jujur

Kejujuran dan amanah adalah perkara yang penting dalam perniagaan. Sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.” [HR Tirmizi, 1209]

Jauhi sifat menipu dalam perniagaan kerana ianya akan membawa kepada perniagaan yang tidak keberkatan. Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami (umat Muhammad SAW) siapa yang menipu”. [HR Abu Daud, 3452)

2. Sentiasa senyum

Salah satu daya penarik supaya pelanggan selesa dan senang hati dengan penjual, rajinkan diri memberi senyuman ketika melayan pelanggan. Galakkan senyum secara umum disebut dalam hadis.

Maksudnya: “Janganlah engkau meremehkan kebaikan sedikit pun, meskipun hanya dengan bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri.” [HR Muslim, 2626].

3. Bersyukur dengan rezeki dan nikmat

Perniagaan dapat mendidik diri dan hati kita supaya menjadi seorang yang sabar, tabah, dan tidak putus asa. Rezeki akan bertambah jika kita sentiasa bersyukur terhadap keuntungan walaupun ianya sikit. Firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” [Surah Ibrahim: Ayat 7]

4. Menjaga kebersihan

Penjual hendaklah sentiasa memastikan tempat perniagaan bersih bagi mengelakkan terkena sebarang penyakit yang tidak diingini. Tambahan pula, pelanggan akan suka dengan keadaan tempat yang bersih daripada segala kotoran.

Terdapat hadis yang menggalakkan umat Islam sentiasa menjaga kebersihan seperti berikut;

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi." [HR. Tirmizi, 2799]

5. Niat yang baik dan istiqamah

Istiqamah ini besar maknanya. Bagi mereka yang istiqamah dalam perniagaan dan jujur padanya pasti mendapat ganjaran pahala yang besar lebih-lebih lagi jika perniagaan yang dilakukan dengan niat membantu menyara diri dan keluarga.

Kesimpulannya, jadilah orang yang sentiasa berakhlak ketika berada dalam urusan jual beli. Jika terdapat salah faham, selesaikan dengan cara yang elok dan betul antara penjual dan pembeli.

Semoga Allah meredai hidup kita dan memberkati perniagaan yang dilakukan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain