suria

Syukuri nikmat kelahiran Rasulullah SAW... Maulidul Rasul cara kita kenang, rai keagungan Nabi Muhammad

Sambutan Maulidur Rasul bertujuan untuk mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik. -FAIHAN GHANI/The Star.

TANGGAL 12 Rabiulawal dalam kalendar Hijrah pastinya diingati setiap umat Islam di seluruh negara kerana tarikh keramat itu merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sempena memperingati insan agung dan mulia ini, pelbagai bentuk program kerohanian seperti pembacaan qasidah, selawat, berzanji dan perarakan diadakan meskipun sebahagian ulama menyatakan hukum sambutan Maulidurrasul adalah bid’ah.

Bagaimanapun, menerusi Bayan Linnas Siri ke-80: Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memetik pandangan Syeikh Abu Shamah atau nama sebenarnya, Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik): Adalah dibolehkan sambutan Maulidurrasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil (salah satu wilayah di Iraq).

ARTIKEL BERKAITAN: Maulidur Rasul tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW... Ambil tahu 8 sebab kenapa menyambutnya, faham dan amalkan

Para ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin. Maka Baginda menjawab: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.” (Riwayat Muslim, no. 1162).

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa.

Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi umatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.

Sabda Nabi SAW:Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala daripada orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”. (Riwayat Muslim, no. 1017)

Perarakan sambil berselawat antara pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul di Malaysia.

Perarakan sambil berselawat antara pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul di Malaysia.

Berdasarkan pendapat para ulama, maka Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa sambutan Maulid Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama.

Menjelas mengenainya, antara pengisian yang perlu diadakan dalam sambutan adalah tazkirah dan ceramah.

"Selain itu, setiap aktiviti yang dilakukan hendaklah tiada percampuran antara lelaki dan perempuan. Manakala kaum hawa perlu menutup aurat dengan sebaiknya.

"Penganjuran juga tidak berunsurkan maksiat di samping bertujuan untuk mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik daripada tahun ke tahun.

"Pada masa sama perlu memberi penekanan kepada keperluan mengikuti Sunah Rasulullah SAW.

Begitu juga memahami fiqhnya seperti Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Kitab Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban," jelasnya.

Program sambutan juga hendaklah disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW.

Umat Islam juga disyorkan untuk meraikan kegembiraan dan kesyukuran kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah kepada fakir miskin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain