suria

Alahai mak ayah... Usah tipu pendapatan bulanan demi tagih bantuan kerajaan, risau anak belajar tak berkat

Terdapat ibu bapa yang menipu jumlah pendapatan demi mendapatkan bantuan kerajaan.

TIDAK dinafikan mereka yang bekerja sendiri atau secara umumnya 'tiada slip gaji' cenderung untuk memanipulasikan maklumat pendapatan demi mendapatkan bantuan kerajaan.

Iyalah tiada maklumat hitam putih yang dapat membuktikan sumber kewangan semasa, terutama mereka yang menjalankan perniagaan secara tunai.

Dek kerana itu, ada yang sewenang-wenangnya declare pendapatan bulanan sekitar RM700 hingga RM1,500 walaupun hakikatnya hidup mewah.

Seperti perkongsian di laman Facebook baru-baru ini, seorang individu mendedahkan bahawa terdapat segelintir ibu bapa bekerja sendiri yang berbohong tentang maklumat diri berkaitan jumlah pendapatan.

Maka, apabila perkiraan dibuat oleh para guru, anaknya didapati layak untuk menerima semua bantuan kerajaan antaranya rancangan makanan tambahan (RMT); Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP); bantuan RM100 setiap anak dan sebagainya.

"Tapi apabila pergi ke rumah, rupanya ada kereta mewah. Ada pula kereta kedua malah ketiga... motosikal pula dua tiga buah. Rumah milik sendiri yang agak besar juga.

"Duit poket anak pun mampu beri hingga RM5 sehari. MasyaAllah, tidak ada sedikit rasa bersalahkah dalam hati mereka-mereka ini? Menipu pendapatan untuk sedikit bantuan dan mengambil benda yang bukan hak kita," luahnya.

Mengambil contoh RMT, individu terbabit kemudiannya mempersoalkan status halal makanan kerana bantuan sarapan pagi itu disediakan untuk murid yang betul-betul memerlukan.

"Makan benda yang bukan hak ini memberi kesan. Tidak hairanlah bila belajar anak susah faham dan hidup tidak berkat walau dikelilingi duit yang banyak... itu belum dikira pembalasan di hari akhirat.

"Usah tamak bantuan yang sedikit, usah gelojoh dengan peluang yang bukan milik kita. Tidak berbaloi hanya kerana sedikit bantuan yang kita peroleh secara haram, kesannya besar pada anak-anak dan keberkatan hidup sepanjang zaman," ujarnya.

KWAMP antara bantuan untuk murid miskin yang diberikan kerajaan.

KWAMP antara bantuan untuk murid miskin yang diberikan kerajaan.

Isu seperti ini pernah menarik perhatian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya, jika seseorang itu tidak ada ruang untuk menyelamatkan diri melainkan terpaksa mengambil hak orang lain, hendaklah mereka melakukannya mengikut kadarnya sahaja.

Pun begitu, tegas beliau, ia hendaklah benar-benar berada dalam keadaan darurat yang boleh mengancam nyawa atau hampir memusnahkan diri atau keluarga mereka.

"Selain itu, mana-mana pihak yang berkemampuan khususnya pihak pemerintah dan mereka yang berkeupayaan hendaklah membantu bagi memastikan rakyat tidak sampai pada tahap terpaksa mengambil barang-barang di kedai orang lain tanpa kebenaran.

"Sekiranya keadaan ini tidak dikawal sehingga menjadi berleluasa, maka ia boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak menentu dalam negara ini sehingga orang lain yang tidak berkeperluan pun akan mengambil kesempatan, yang akhirnya membawa kerosakan sistem perundangan dan pentadbiran negara," jelas beliau.

Terdahulu, Dr Zulkifli menerangkan ayat 188 daripada Surah al-Baqarah yang bermaksud "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Mengulas mengenainya, ujar beliau, ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kita memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain.

Selain itu, janganlah kita menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan tahu perkara itu adalah haram untuk melakukannya.

Ia disusuli dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.” Riwayat Muslim (2564)

Justeru, secara asasnya, setiap individu muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain