suria

Tak mudah, 3 tahun baru dapat lengkapkan misi! Dua sahabat raih pengalaman berharga kembara ke Indonesia naik Vespa

Johaniff (kiri) dan Zafari berjaya menyelesaikan misi kembara ke Indonesia pada Mac 2019. Foto Insan Instagram @Mohd Johaniff

KITA mungkin sering mendengar tentang jelajah atau ekspedisi menggunakan motosikal ke Thailand tetapi jarang pula dengar tentang kembara ke negara jiran, Indonesia.

Barangkali dari segi logistik dan kos yang tinggi membuatkan ramai rider lebih selesa memilih Thailand untuk melakukan kembara tetapi tidak bagi dua sahabat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Terperangkap di Tanzania akibat pandemik dan pergolakan politik, Cikgu Anita tetap bersemangat teruskan impian kembara 70 negara, dah berjaya hasilkan 4 buku!

Pertemuan di sebuah acara di Pulau Pinang pada 2015 telah mencetuskan idea 'gila' untuk menjelajah ke seluruh Indonesia menggunakan motosikal klasik Vespa.

Johaniff Zafari 10

Johaniff memberitahu segala urusan bersama Imigresen dilakukan sendiri sebelum memasuki Kalimantan.

Bercerita mengenai jelajah itu, Mohd Johaniff Mohamed Sohaimi, 36, memberitahu dia sudah lama bercita-cita untuk ke Indonesia bersama Vespa kesayangannya dan tidak menyangka sahabatnya, Zafari Zakaria, 28, berminat dengan idea itu.

"Saya masih ingat ketika itu saya ke sebuah program di Pulau Pinang pada 2015 dan pertemuan dengan Zafari telah membuka cerita mengenai impian kami untuk mengembara ke luar negara menggunakan motosikal Vespa.

"Zafari cita-citanya nak menjelajah ke Indo-China dan daripada perbualan itu timbul idea untuk menjelajah ke seluruh Indonesia kerana belum ramai rider dari Malaysia berbuat demikian.

"Kami bersetuju dan memulakan perancangan rapi selain mengajak beberapa rakan lain untuk ke sana namun akhirnya hanya saya dan Zafari yang meneruskan misi itu," katanya kepada mStar.

Johaniff Zafari 8

Dua sahabat ini melalui pelbagai cabaran dalam melengkapkan misi mereka.

Pada awalnya kata Johaniff, mereka bercadang untuk melengkapkan jelajah di Sabah dan Sarawak namun timbul idea untuk memasuki Indonesia menerusi Kalimantan Barat.

Johaniff memberitahu jelajah itu memakan masa selama tiga tahun untuk dilengkapkan atas beberapa faktor namun mereka berjaya melengkapkan fasa pertama kembara itu selama dua bulan iaitu pada Januari sehingga Februari 2016.

Sebelum memulakan perjalanan, kedua-dua sahabat itu menerbangkan motosikal Vespa kesayangan mereka ke Sabah dan memulakan ekspedisi mereka dengan menjelajah negeri di bawah bayu itu selain memasuki Brunei.

Sebelum memasuki Indonesia melalui Kalimantan Barat, kedua-dua sahabat itu meneruskan kembara ke Sarawak terlebih dahulu dan misi melengkapkan ekspedisi ke seluruh Malaysia berjaya.

Saya masih ingat, kehadiran kami bagaikan sudah disebarkan oleh komuniti Vespa di sana dan sambutan mereka terhadap orang luar cukup mengagumkan.

Mohd Johaniff Mohamed Sohaimi

"Kami memasuki Indonesia menerusi Kalimantan Barat dan seterusnya menempuh perjalanan ke Pontianak sebelum menaiki feri untuk ke Semarang.

"Dari situ, kami meneruskan perjalanan dengan menunggang Vespa menempuh perjalanan yang panjang sehingga ke Jakarta," katanya.

Jelas Johaniff, perancangan dan semua kos kembara itu tidak ditanggung oleh mana-mana pihak sebaliknya mereka menggunakan simpanan sendiri.

Bercakap mengenai kembara itu, Johaniff memberitahu dia bersama Zafari menjelajah ke Sumatera, Jawa, Bali, Lombok, Sumbawa, Sulawesi, Sumba, Flores dan banyak lagi destinasi menarik dan memberikan pelbagai pengalaman sepanjang perjalanan itu.

Johaniff Zafari 4

Pemandangan indah bersama Vespa yang dirakamkan.

Persediaan motosikal sebelum berangkat

Sebagai persiapan sebelum memulakan kembara itu, Johaniff memberitahu paling utama adalah memastikan Vespa yang digunakan berada dalam keadaan baik kerana perlu menempuh perjalanan jauh.

Meskipun menunggang motosikal klasik, Johaniff berkata ia bukan satu masalah sebaliknya lebih selesa menggunakan motosikal kesayangannya itu meskipun terdapat perkhidmatan sewa kenderaan itu di Indonesia.

"Kalau guna Vespa sendiri, kita bukan sahaja sudah selesa dengannya tetapi jika berlaku sebarang masalah pun, kita boleh tahu apa yang tak kena.

"Apa paling penting, sebelum berangkat saya pastikan motosikal dalam keadaan baik selain membawa serba sedikit kelengkapan penting untuk kegunaan kecemasan.

Johaniff Zafari 5

Jelajah ini juga telah mempertemukan dua sahabat ini dengan ramai orang yang gemar membantu.

"Selebihnya saya tidak risau sangat kerana di seluruh Indonesia terdapat banyak bengkel dan rakan-rakan dengan minat sama... apa-apa berlaku memang ramai akan menawarkan bantuan," ujarnya.

Ambil keputusan pulang ke Malaysia, tak putus asa lengkapkan kembara!

Johaniff memberitahu tiada perancangan lengkap selain beberapa faktor seperti wang mereka ditipu telah membuatkan dia dan Zafari mengambil keputusan untuk melupakan seketika kembara tersebut dan pulang ke Malaysia pada akhir Februari 2016.

Meskipun berat hati namun keputusan itu paling realistik yang perlu dilakukan dan meninggalkan motosikal kesayangan mereka di Jakarta sebagai pemangkin semangat untuk kembali membawa pulang Vespa itu ke tanah air.

"Apabila pulang, hati itu belum rasa puas sebab masih belum melengkapkan kembara kami tetapi saya dan Zafari ambil peluang ini untuk membuat perancangan dengan teliti sebelum menyambung misi kami.



Johaniff dan Zafari anggap kembara yang dilakukan cukup mengujakan.

"Informasi tentang kembara ke Indonesia tidak banyak kerana tidak ramai rider dari Malaysia ke sana dan kami perlu mengkaji sendiri dan membuat perancang yang betul.

"Alhamdulillah pada fasa pertama kembara, kami sudah kenal ramai rider dari Indonesia dan mereka yang banyak tolong kami," katanya.

Maka pada akhir bulan Disember 2018, Johaniff dan Zafari sekali lagi berangkat ke Jakarta untuk menyambung kembali misi mereka dan kali ini dalam keadaan lebih bersedia.

Hanya dalam tempoh tiga bulan, kedua-dua sahabat itu berjaya melengkapkan perjalanan dari Jakarta ke Bali, Lombok, Flores dan seterusnya ke Edanjaya, Sulawesi.

Johaniff Zafari 7

Feri antara pengangkutan paling banyak dinaiki mereka untuk merentas pulau di Indonesia.

Dari situ, mereka menuju ke Baka Belintung, Sumatera sebelum menuju kembali ke Pontianak seterusnya ke Kalimantan dan memasuki semula Malaysia pada Mac 2019.

"Paling penting dalam kembara kali ini, kami betul-betul mengkaji peta perjalanan dan pengangkutan awam di sana memandangkan Indonesia terpecah kepada beberapa pulau dan perlu menggunakan feri untuk menyeberang.

"Bayangkan hendak sampai ke Papua kami perlu menaiki 20 feri! Itu belum lagi keadaan cuaca dan kami pernah tersadai di Pulau Sumbawa Besar ketika hendak ke Flores.

"Tetapi Alhamdulillah dengan perancangan teliti kali ini, perjalanan lebih mudah apatah lagi bertemu dengan banyak rakan di sana yang menawarkan pelbagai bantuan kepada kami berdua," jelasnya.

WhatsApp Image 2021-10-28 at 2.22.55 PM (2)

Bersama sahabat-sahabat di Indonesia.

Jauh berjalan, luas pemandangan

Ditanya pengalaman berharga sepanjang kembara itu, Johaniff memberitahu semangat persaudaraan yang ditunjukkan komuniti dan masyarakat setempat di sana mengagumkan mereka.

Meskipun pernah ditipu oleh orang tempatan, Johaniff berkata, pengalaman buruk itu tidak mencerminkan secara keseluruhan pengalaman kembara mereka malah menganggap ia kenangan berharga.

"Saya masih ingat, kehadiran kami bagaikan sudah disebarkan oleh komuniti Vespa di sana dan sambutan mereka terhadap orang luar cukup mengagumkan.

"Ada sampai kami tidak dibenarkan tidur di hotel dan mereka layan kami dengan cukup baik. Berjumpa dengan komuniti di sana juga pengalaman berbeza apatah lagi banyak benda yang dikongsi," ujarnya.

Johaniff Zafari 6

Antara program yang dihadiri Johaniff di Indonesia.

"Dari segi pengalaman kembara, sebenarnya terdapat pelbagai destinasi yang cukup indah di Indonesia seperti di Timur Sumbawa. Pemandangannya cukup mengagumkan," kongsinya.

Berharap pandemik segera berakhir, Johaniff memberitahu dia sudah bersedia untuk kembali mengembara bersama Vespa kesayangannya.

Impiannya kali ini, mengelilingi dunia!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain