suria

Uyaina Arshad batalkan majlis malam berinai, pelamin hanyut dibawa banjir

Uyaina dan Raja Syahiran berlapang dada dengan apa yang berlaku sebelum majlis nikah mereka. Kredit foto: @CSTproduction

MALANG tidak berbau apabila gudang yang menyediakan pelamin asal untuk majlis akad nikah pasangan selebriti Uyaina Arshad dan Raja Syahiran musnah akibat hanyut dibawa banjir pada Ahad lalu.

Biarpun pelamin idaman tidak dapat dipasang, namun pemilik nama Saidatul Naseha Uyaina Arshad ini tetap meneruskan pernikahan mereka dengan bantuan perancang perkahwinan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Uyaina Arshad dah ‘off market’, sah bergelar isteri Raja Syahiran

"Sepatutnya malam berinai diadakan pada malam tadi dengan tema 'arabian night' tapi terpaksa dibatalkan. Bukan itu sahaja, pelamin saya juga musnah.

"Pelamin asal yang sepatutnya dipasang pada pagi ini tidak dihantar gara-gara hanyut dibawa banjir pada Ahad lalu.

Uyaina 2

Uyaina dan Syahiran selamat bernikah pada pagi, Selasa.

"Kami terpaksa berlapang dada... nasib baik ada perancang perkahwin lain yang jadi bidan terjun walaupun pada saat-saat akhir.

"Sejujurnya kami tidak berasa terkilan pun sebab yang penting ijab kabul dan dikelilingi keluarga dan rakan terdekat," katanya kepada mStar.

Uyaina selamat bergelar isteri kepada penyanyi berusia 28 tahun itu dengan sekali lafaz pada pukul 9.03 pagi Selasa di Colony by KLCC, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa ini menerima rombongan merisik keluarga Syahiran pada Julai 2019.

Lagipun keluarga saya dekat sana pun ada dijangkiti virus tersebut.

RAJA SYAHIRAN

PENYANYI

Dalam pada itu, Uyaina yang juga pengacara memberitahu biarpun pelbagai 'drama' berlaku sebelum majlisnya namun ia tidak membuatkan dirinya berasa sedih.

"Ikutkan rumah Syahiran di Subang pun terjejas akibat banjir. Kami berdua saling ketawa apabila mengenangkan pelbagai drama yang berlaku sebelum majlis ini dapat dijalankan.

"Saya tidak menangis langsung apabila keadaan begini terjadi sebab sepanjang proses Syahiran sentiasa ada bersama. Kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan," ujarnya.

uyaina7

Uyaina dan Raja Syahiran reda perancangan awal pernikahan mereka tidak menjadi.

Sementara itu, Syahiran turut mendedahkan mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk berbulan madu di Eropah berikutan varian baharu Covid-19.

"Sepatutnya kami akan terbang ke Eropah untuk berbulan madu pada Khamis tapi terpaksa membatalkan hasrat itu. Ikutkan tiket dan semua perancangan sudah dibuat.

"Ia berikutan varian baharu Covid-19 yang kini menyerang. Lagipun keluarga saya dekat sana pun ada dijangkiti virus tersebut.

"Nak cakap anggaran kerugian itu, saya rasa tidak sesuai untuk dikongsi dalam keadaan sekarang. Ramai lagi yang lebih terkesan dengan bencana sedang melanda negara sekarang," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain