suria

Yuka Kharisma akui bukan mudah bina kerjaya seni di Malaysia, perit berjauhan dengan keluarga di Bandung

Yuka berkahwin dengan Ahmad Jeffny pada Mei 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki.

BAHARU sahaja dua bulan melancarkan lagu Melihatmu Bahagia, penyanyi Indonesia Yuka Kharisma tidak menoleh lagi apabila kembali muncul dengan single baharu berjudul Tentang Rasa.

Menurut Yuka, lagu tersebut mempunyai nilai sentimantal tersendiri apabila ia mengingatkan perasaan indah yang sukar digambarkan ketika momen akad nikah bersama suaminya Ahmad Jeffny.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bencana di Indonesia bukan kerana dosa” - Yuka Kharisma kesal kenyataan pendakwah tempatan

ARTIKEL BERKAITAN: Yuka Kharisma sanggup keluar bajet sendiri

“Lagu ini sudah lama saya ciptakan, bahkan sebelum saya menikah lagi. Saya sangat suka dengan lirik dan melodinya yang sangat simple, romantik dan apa adanya. Ia ibarat sebuah rasa cinta yang tulus dan murni tanpa ada maksud tersembunyi, hanya menyayangi dengan sepenuh hati.

“Tentang Rasa menceritakan tentang sebuah rasa kepada seseorang yang sangat murni, jujur, dan tulus. Di mana sepasang kekasih tersebut saling mengisi dan melengkapi satu sama lain.

Perjalanan saya bukannya mudah, ditambah pula dengan keadaan berjauhan dari keluarga tercinta terutamanya ibu yang berada di Bandung, Indonesia.

YUKA KHARISMA

PENYANYI

“Saya memperuntukkan tempoh seminggu bagi menyiapkan lagu ini dan terima kasih buat suami, Ahmad Jeffny, yang banyak membantu dan turut bertindak sebagai penulis lirik dan komposer bersama.

“Sepanjang proses rakaman berlangsung, saya tersenyum ketika menyanyikan Tentang Rasa kerana ia membawa kembali memori manis masa-masa nak menikah dulu,” katanya.

Yuka, 34, berkahwin dengan pemuzik profesional Ahmad Jeffny Kamar, 36, pada Mei 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki Ahmad Avisenna yang kini berusia empat tahun.

YUKAYuka muncul dengan single terbaharu berjudul Tentang Rasa.

Lebih 10 tahun menetap di Malaysia, Yuka mengakui perjalanan seninya ibarat bahtera melayari laut yang berombak dan ada pasang surutnya.

Bermula sebagai peserta separuh akhir Indonesian Idol musim ke-5 sehinggalah berlabuh di sini pada tahun 2008, laluannya pernuh dugaan terutamanya perlu berjauhan dengan keluarga di Bandung, Indonesia.

“Banyak yang telah saya lalui sepanjang bergelar anak seni. Perjalanan saya bukannya mudah, ditambah pula dengan keadaan berjauhan dari keluarga tercinta terutamanya ibu yang berada di Bandung, Indonesia, kadang-kadang memeritkan.

“Namun saya temui kebahagiaan di sini (Malaysia) apabila mendirikan rumahtangga dengan orang Malaysia, indah bukan aturan jalan Tuhan itu,” ujarnya.

Sementara itu, video muzik (MV) Tentang Rasa menceritakan sebuah kisah romantis yang berkisar tentang dua teman baik di bangku sekolah yang terpaksa berpisah disebabkan jarak, namun kekuatan dan ketulusan cinta mereka berdua mempertemukan mereka kembali.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain