suria

Siti Nurhaliza Tukar Konsep Album Sesuai Dengan Imej

Siti Nurhaliza sedang bercuti panjang sehingga penghujung Mac.
Siti Nurhaliza sedang bercuti panjang sehingga penghujung Mac.
Siti Nurhaliza sedang bercuti panjang sehingga penghujung Mac.

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza akan menukar konsep album terbaharunya bersesuaian dengan imejnya yang kini bertudung.

Siti, 34, bagaimanapun berkata, perubahan itu bukan bererti beliau hanya menumpukan kepada lagu berbentuk kerohanian sahaja sebaliknya bersikap lebih selektif dari segi lirik dan gubahan lagu.

"Perubahan ini bukanlah secara drastik kerana saya masih membawakan lagu-lagu seperti mana yang disukai peminat cuma mungkin lagu yang rancak akan dikurangkan kerana ia kurang sesuai untuk dipersembahkan dikhalayak dengan imej bertudung.

"Sebab itu saya akan lebih selektif terhadap pemilihan lagu dan lirik supaya ia bersesuaian dan dapat diterima oleh peminat," jelasnya kepada mStar Online.

Siti dijangka memulakan proses rakaman album terbarunya itu pada April depan selepas bercuti panjang kerana menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu.

Dalam pada itu, Siti berkata, beliau tidak melihat keputusannya menutup aurat akan menjejaskan kerjaya seninya dan peminat sangat menyokong dengan keputusannya itu.

Tambah Siti, penyanyi seperti Yuna dan Shila Amzah telah membuktikan bahawa dengan memakai tudung juga mereka mampu memikat hati peminat di luar negara.

Sementara itu, Siti berkata, buat masa ini beliau tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang tudung dibawah jenama namanya walaupun terdapat permintaan daripada peminat.

Siti menjelaskan ada di kalangan peminat yang memintanya membuat tutorial mengenai cara pemakaian tudungnya yang semakin menjadi ikutan para peminatnya.

"Tiada cara khusus sebenarnya tetapi jika ada yang berminat boleh menghubungi pereka fesyen Siti untuk mendapatkannya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Siti bakal tampil dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 11 April depan.

Tiket dijual pada harga RM3,500 hingga RM5,500 untuk sebuah meja dan RM350 hingga RM550 untuk seorang.

Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket orang ramai boleh menghubungi Farah Halim di talian 03-26889688 (sambungan 500) atau Rizal Van Geyzel di 03-26889688 (sambungan 253).

Artikel Lain