suria

Riezman Khuzaimi Mahu Mengarah Filem Komedi

Riezman Khuzaimi
Riezman Khuzaimi
Riezman Khuzaimi

PETALING JAYA: Sejak genre komedi dalam filem tempatan menjadi ikutan, pelakon Riezman Khuzaimi juga ingin mengarahkan filem berkonsepkan komedi.

Riezman berkata, dia percaya genre komedi bukan lagi satu selitan dalam sesebuah filem tetapi ia mampu berdiri dengan sendiri lebih-lebih lagi apabila masyarakat sudah semakin percaya dengan karya komedi tempatan.

"Buat masa ini saya ingin mengarahkan filem berkonsep komedi romantik kerana percaya masyarakat sudah dapat menerima karya-karya sedemikian.

"Dalam pada itu memandangkan saya masih baru dalam bidang pengarahan, biarlah filem yang diarahkan itu tidak terlalu berat," katanya kepada mStar Online.

Pada Mac lalu, Riezman baru sahaja menamatkan pengarahan filem pertamanya iaitu Mencari Cinta terbitan syarikat produksi miliknya, Madiera Red Movie Associates Sdn. Bhd.

Tambah pelakon filem Berani Punya Budak itu, walaupun agak lewat menceburi di bidang pengarahan, namun dia tidak kisah tentang hal itu kerana percaya tanpa keyakinan dan ilmu, sesuatu perkara yang dilakukan tidak mungkin akan berjaya.

"Memang saya tidak seperti rakan-rakan seperjuangan yang lain seperti Afdlin Shauki atau Hans Isaac yang sudah menerbitkan pelbagai jenis filem.

"Alhamdulillah, penggambaran Mencari Cinta yang dilakonkan oleh Rusdi Ramli dan Nora Danish itu sudah pun selesai dan kini ia sedang dalam pasca produksi.

"Sebagai orang baru yang pertama kali mengarah, saya bekerjasama dengan kakak saya, Shirin Khuzaimi untuk filem berkenaan dimana saya lebih menjaga pada aspek teknikal," tuturnya.

Ujar Riezman lagi, dia juga merancang untuk membawa filem Mencari Cinta ke festival-festival filem antarabangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain