suria

KPKK Mahu Merakyatkan Muzik 'Jazz'

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan merakyatkan muzik Jazz di negara ini sebagai satu usaha untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata genre muzik Jazz dilihat mampu menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini kerana ia mempunyai ramai peminat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Oleh kerana muzik Jazz ramai peminat, kita harus cuba untuk merakyatkannya selaras dengan matlamat kementerian iaitu mahu merakyatkan seni dan budaya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program sambutan Unesco: Hari Jazz Antarabangsa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini, Isnin.

Katanya bagi memastikan hasrat untuk merakyatkan muzik Jazz dalam kalangan rakyat dapat dicapai, Bahagian Muzik KPKK telah diminta menyediakan satu kertas kerja untuk dipertimbangkan.

Terdahulu dalam ucapannya Kamaruddin mencadangkan supaya Festival Muzik Jazz Kuala Lumpur diadakan sebagai satu langkah untuk merakyatkan irama muzik itu dan pada masa sama menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Malaysia.

"Sebagai contoh, Pesta Jazz Borneo yang dianjurkan sejak tujuh tahun lalu di Sarawak merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat Jazz di seluruh dunia," katanya.

Katanya acara tersebut yang akan berlangsung pada 12 dan 15 Mei depan mampu menjana pendapatan sampingan terkumpul sebanyak RM15 juta kepada penduduk Sarawak khususnya di Miri.

Dalam pada itu Kamaruddin berkata tanggapan bahawa pembangunan muzik Jazz di negara masih di peringkat awal adalah tidak tepat kerana ia sebenarnya telah lama wujud.

Beliau berkata ia dapat dilihat dalam filem-filem tempatan sekitar tahun 50-an seperti dalam filem Labu Labi di mana Allahyarham Saloma menyanyikan lagu Jazz 'Jelingan Manja'.

Hari Jazz Antarabangsa yang disambut buat kali pertama tahun ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan muzik Jazz dalam menyebarkan nilai-nilai sejagat.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain