suria

Muzzy Pinjam Nama Noh Hujan

ORANG baru yang bergelar Muzzy ini masih terlalu asing di kalangan penggemar muzik tanah air. Mungkin dari sisi lain, laluan untuknya membina nama tidak sesukar pendatang baru yang lain kerana adik kandungnya iaitu Noh (Hujan) sudah punya aura tersendiri di kalangan peminat.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu, dia mengakui tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan adiknya itu. Biarpun ia kedengaran begitu klise, Muzzy sebenarnya tidak kisah meminjam jenama si adik demi untuk membina tapak di persada muzik.

Cuma, sebolehnya dia lebih senang jika kehadirannya ini direstui menerusi perjuangan yang didukungnya, bukan kerana populariti si adik semata-mata.

“Apa yang hendak dikisahkan pun jika orang menganggap saya menumpang populariti Noh untuk dikenali ramai jika itu adalah hakikatnya. Saya harus akur kerana Noh terlebih dahulu menembusi bidang ini.

“Cuma adalah lebih baik jika orang menyedari kehadiran saya menerusi perjuangan muzik yang saya tampilkan dan bukan bergantung kepada perkaitan itu semata-mata,” tuturnya.

Tambah Muzzy, perjuangan muzik yang bagai sudah sebati dalam darah dagingnya itu adalah berbeza dan segar daripada mana-mana muzik yang pernah ditawarkan oleh mana-mana penyanyi sedia ada.

Bukan mahu menongkat langit, sebaliknya pengalaman sepanjang 11 tahun menyanyi di serata kelab dan pengamatannya terhadap arus muzik di Malaysia ini membuahkan keyakinan bahawa kehadirannya ini bukan sekadar ingin menambahkan angka penyanyi tanah air tetapi menghidangkan wadah muzik yang berbeza.

“Sepanjang menyanyi di pelbagai kelab, saya mendalami ilmu muzik dan mengamati perkembangan muzik di Malaysia.

“Jika sekadar ingin bergelar penyanyi, mungkin saya sudah lama menjadi penyanyi sebelum Noh muncul dengan Hujan lagi.

Namun, saya ingin tampil sebagai penyanyi yang berbeza menerusi impak muzik yang belum ditawarkan di Malaysia. Sebab itulah saya bermula agak lewat dalam bidang nyanyian,” katanya.

Ujar Muzzy lagi, kelainan yang akan ditawarkan adalah kemampuannya untuk menyanyi secara langsung dalam durasi yang panjang berdasarkan pengalamannya menyanyi di kelab selama ini.

Justeru itu, sebagai orang baru Muzzy sebenarnya tidak sabar untuk memperdagangkan muziknya.

Sebagai pertaruhan sulung, penyanyi yang turut berkebolehan bermain instrumen dan menggubah lagu ini bakal tampil dengan album penuh berjudul Destinasiku dalam sedikit masa lagi.

Mempertaruhkan tiga lagu pengenalan iaitu Hingga Akhir Nafasku, Destinasiku dan Ingin Sekali Aku, tawaran muzik Muzzy yang menjurus kepada jalur punk rock ini sememangnya berbeza daripada perjuangan Noh.

Artikel Sebelum

Wardina Ajak Guna Produk Halal

Artikel Berikut

Artikel Lain