suria

Gosip Hamil, Ibu Raja Farah Terguris

SHAH ALAM: Ibu Raja Farah, Farizah Abu Samah mengakui terguris dengan dakwaan mengatakan anaknya yang juga aktres terkenal tempatan itu telah hamil sebelum nikah dengan Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria.

Walaupun Farah tidak tinggal bersama-sama keluarga sebaliknya menyewa bersama rakannya, namun Farizah sentiasa memerhatikan dan mengambil berat tentang anak perempuan tunggalnya itu.

“Saya selalu perhatikan Farah setiap hari, memang badannya naik mendadak bermula Mac lalu kerana dia seorang yang berselera makan.

“Tak sangka pula orang boleh tohmah dia seperti itu. Sebagai seorang ibu, apabila badan dia berisi saya tengok perutnya tiada pula apa-apa perubahan,” ujarnya kepada mStar Online ketika majlis kesyukuran dan doa selamat sempena pernikahan Farah dan Megat pada 12 November lalu di Tropika, Bukit Jelutong di sini.

Tambahnya: “Mentang-mentanglah kita buat perbincangan perkahwinan senyap-senyap, terus orang buat cerita seperti itu. Semasa perbincangan dibuat, hanya keluarga dan jiran tetangga yang tahu.

“Biar apa pun orang katakan, Farah sangat cekal. Tetapi sebelah pihak lelaki mesti berasa malu. Bonda Megat ada mengatakan fitnah yang dilakukan itu merupakan suatu dosa besar berbanding membunuh. Jadi, siapa yang melakukan fitnah itu kena tebus semula dosa yang dilakukan.”

Bagaikan mahu menutup kepedihan yang dirasai, Farizah sebaliknya lebih memanjat kesyukuran kepada Allah kerana dia sendiri tidak menyangka jodoh Farah sampai awal.

Dia juga kagum dengan sikap Farah yang melakukan semua persiapan kahwin secara sendiri dengan bantuan Megat.

“Walaupun sibuk penggambaran, apabila dia tidak bekerja, dia pergi mencari barang hantaran. Semuanya dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya.

Megat Bashirun Qhuyum merupakan menantu pertamanya memandangkan dua abang Farah belum berkahwin dan adik lelakinya masih menuntut di tingkatan lima.

Apabila melihat kesungguhan dan keserasian Megat terhadap Farah, terus dia berkenan untuk menjadikan pemuda itu sebagai menantu.

Kedua-dua pasangan itu pertama kali berkenalan di Melaka ketika adik bongsu Farah menyertai pertandingan gimnastik Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) mewakili Selangor pada Mac lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain