MISTERI penemuan seorang bayi perempuan di hadapan rumah seorang penduduk terungkai apabila polis mengenal pasti wanita berusia 21 tahun dipercayai ibu kepada bayi berkenaan. Siasatan awal mendapati wanita tersebut sengaja meninggalkan bayi berkenaan di hadapan rumah keluarganya sendiri di Desa Ngaglik, Kecamatan Srengat, Kabupaten Blitar, Indonesia, dengan harapan tangisan si kecil didengari oleh ibunya. Polis mengesahkan wanita tersebut yang merupakan seorang mahasiswi, merupakan anak kepada pemilik rumah yang menjumpai bayi berkenaan.Menurut polis, keluarga wanita itu sebelum ini tidak mengetahui bahawa dia sedang hamil, dipercayai kerana statusnya yang masih bujang dan masih menuntut di universiti.Buat masa ini, pihak polis belum dapat menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap wanita itu yang masih menerima rawatan selepas melahirkan anak di Hospital Daerah Srengat (RSUD Srengat).Polis memaklumkan siasatan akan diteruskan selepas keadaan kesihatan wanita berkenaan bertambah baik.Pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut, termasuk gunting berwarna hijau, seluar pendek biru, baju-T hitam, tuala merah serta beberapa barangan lain.Menurut polis, pihaknya masih menyiasat sebab wanita itu bertindak meninggalkan bayinya, termasuk maklumat mengenai lokasi dan cara dia melahirkan anak berkenaan.Sebelum ini, penduduk Desa Ngaglik dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan di hadapan sebuah rumah.Bayi berkenaan ditemukan tanpa kain pembungkus, manakala sebuah beg plastik yang mengandungi tali pusat turut dijumpai di lokasi kejadian.Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Blitar Kota, AKP Rudi Kuswoyo, sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi tersebut daripada seorang wanita berusia 53 tahun. Susulan laporan itu, polis bergegas ke lokasi sebelum membawa bayi berkenaan ke Hospital Daerah Srengat untuk mendapatkan rawatan. -Agensi