DUA wanita dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam selepas mengalami komplikasi susulan proses bersalin.Kejadian itu mencetuskan kebimbangan baharu berhubung komplikasi selepas bersalin, menurut pihak berkuasa pada Ahad. Mangsa pertama, Reshma, 40, meninggal dunia pada malam Jumaat selepas mengalami komplikasi berkaitan buah pinggang susulan pembedahan Caesarean (C-section) keempatnya di Hospital Kolej Perubatan Baharu (NMCH) di Rajasthan, India, pada 14 Oktober lalu.Keluarganya mendakwa kematian itu berpunca daripada kecuaian perubatan serta sikap tidak prihatin pihak pentadbiran hospital.Satu lagi kematian dilaporkan sekitar tengah hari Sabtu di hospital sama, apabila seorang wanita, Roshan Bairwa, meninggal dunia selepas mengalami komplikasi susulan pembedahan Caesarean.Roshan dilaporkan mengalami pendarahan selepas bersalin yang teruk atau postpartum haemorrhage (PPH), selepas menjalani pembedahan pada malam sebelumnya.Jurucakap NMCH berkata, pasukan perubatan telah berusaha menghentikan pendarahan tersebut, termasuk memberikan pemindahan darah kepada mangsa.Bagaimanapun, usaha itu gagal menyelamatkan nyawanya apabila Roshan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 pagi Sabtu."Roshan merupakan pesakit berisiko tinggi yang dirujuk ke hospital ini dari sebuah pusat perubatan swasta pada petang Jumaat."Dia mengalami pendarahan teruk selepas bersalin. Walaupun pemindahan darah dilakukan, doktor tidak berjaya menghentikan pendarahan itu," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi wanita berusia 30 tahun, Anita, masih berada di bawah pemantauan doktor di unit kepakaran tinggi hospital berkenaan.Anita dilaporkan mengalami komplikasi buah pinggang selepas menjalani pembedahan Caesarean pada Rabu lalu.Menurut pihak berkuasa, keadaan wanita itu dilaporkan stabil dan masih dipantau oleh pasukan perubatan.Kejadian tersebut kembali mengundang perhatian terhadap insiden serupa yang berlaku di hospital sama pada Mei lalu.Dalam kejadian berkenaan, seramai 12 wanita dilaporkan mengalami komplikasi buah pinggang akut selepas bersalin, dengan lima daripadanya meninggal dunia. -Agensi