suria

Irma Hasmie Mahu Hidup Tenang

JANJI yang diikat di antara dua hati tidak semestinya berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Hakikat itu terpaksa di terima oleh pelakon Irma Hasmie dan Nabil Ahmad apabila cinta yang disulam itu terputus di tengah jalan.

Menerima dan pasrah dengan apa yang telah ditetapkan kedua-dua mereka menganggap perpisahan yang terjadi adalah suratan yang sudah tertulis dan perlu dilaluinya dengan tenang.

Sepanjang sesi fotografi bersama Mingguan mStar berlangsung, Irma cuba menyembunyikan kesedihan di sebalik gelak tawanya namun dari raut wajah wanita berusia 28 tahun ini, masih terpalit rasa kecewa.

Satu sahaja permintaannya agar tidak membicarakan soal bekas kekasihnya itu lagi. Ujar Irma, cukup-cukuplah apa yang sedang dihadapinya kini.

“Saya mahu hidup tenang, tidak mahu bercakap soal dia dan apa yang sudah terjadi di antara kami. Saya tidak menyalahkan takdir kerana apa yang berlaku saya anggap sebagai lumrah kehidupan.

“Itulah hidup, kadang kala kita suka dan kadang kala kita berduka. Saya terima dan cuba laluinya seperti biasa. Apa yang saya jalani sekarang sama seperti dahulu juga, bagi saya tidak ada satu pun aktiviti harian yang saya ubah selepas perpisahan ini,” katanya.

Tambahnya, dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Awan Dania untuk musim ketiga selain menjadi pengacara program Galaksi terbitan TV9.

Jelas anak jati Kuala Lumpur ini, dia tidak mahu lari daripada masalah, dia juga tidak merancang untuk bercuti panjang bagi menenangkan fikiran. Dia tidak mahu menoleh ke belakang dan mengenang kembali kisah lalu.

“Mungkin segelintir mereka yang putus cinta akan bercuti untuk menenangkan fikiran ketika menghadapi masalah ini tapi tidak saya. Bagi saya cara itu seperti mahu lari dari masalah.

“Saya dah tutup buku lama dan mulakan yang baru. Saya bersyukur kerana diberikan kekuatan di saat-saat ini. Jika sudah termaktub olehNya, saya terima dan reda dengan dugaan ini,” katanya.

Tiada kekasih baru

Setiap percintaan memerlukan sebuah pengorbanan, biarpun tidak dihargai atau disia-siakan. Bagi Irma tiada pengorbanan yang dilakukan buat si lelaki yang bergelar kekasih melainkan sudah sah menjadi suami.

“Sebagai seseorang yang masih belum berkahwin, pengorbanan saya hanya kepada keluarga dan diri sendiri. Tidak ada pengorbanan untuk lelaki yang bergelar kekasih melainkan kalau seseorang itu sah menjadi suami saya.

“Pengorbanan terbesar saya ialah untuk keluarga kerana ketika saya gembira atau bersedih mereka sentiasa berada di sisi memberikan sokongan,” katanya.

Bercerita mengenai pengganti kekasihnya itu, tegas Irma dia belum memikirkan perkara tersebut sebaliknya berharap cinta yang bakal menjengah hatinya itu biarlah datang dengan sendiri tanpa dipaksa.

“Setakat ini saya rasakan terlalu awal untuk bercakap tentang pengganti atau teman lelaki baru. Biarlah ia terjadi secara semula jadi. Saya tiada perancangan lagi tentang itu.

“Apa yang penting, saya tidak bersendirian ketika melalui situasi yang menyedihkan ini dan bersyukur keluarga dan teman-teman rapat banyak memberikan kekuatan serta nasihat untuk meneruskan kehidupan.

“Fasa baru dalam hidup saya ialah dengan mengisi masa lapang bersama mereka yang berada di sekeliling saya. Mereka melayan saya seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku,” ujarnya sambil tersenyum.

Tidakpernah menumpang Nabil

Pernah dituduh cuba menumpang kesenangan juara pertandingan Raja Lawak tersebut, Irma mengakui kesal dengan lemparan kata-kata itu.

Soalnya, mengapa dia perlu bersusah payah bekerja sepanjang hubungan mereka terjalin jika dia terpaksa bergantung harap kepada Nabil?

“Mereka hanya melihat dari jauh dan menganggap yang bukan-bukan. Jika saya menumpang kesenangan Nabil saya tidak perlu bekerja tetapi selama ini saya bekerja kuat untuk mencari rezeki.

“Semua perbelanjaan hidup, saya gunakan wang dari hasil titik peluh dan usaha saya sendiri. Insya-Allah sekarang ini saya juga dalam perancangan untuk membuka sebuah perniagaan sebagai persediaan masa depan,” katanya.

Solekan CHOMEL (012-6841591)

Pakaian EZUWAN ISMAIL (012-2646871)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain