suria

Laksamana Upin & Ipin Popularkan Semula ‘Stereoscopic 3D ’

Hasil daripada penggunaan teknologi stereoscopic 3D dalam filem Laksamana Upin & Ipin. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN
Hasil daripada penggunaan teknologi stereoscopic 3D dalam filem Laksamana Upin & Ipin. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN
Hasil daripada penggunaan teknologi stereoscopic 3D dalam filem Laksamana Upin & Ipin. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN

DI Hollywood, teknologi stereoscopic 3D telah lama diaplikasikan. Misalnya menerusi filem popular seperti Avatar dan Shrek Forever After.

Teknologi tersebut bukanlah perkara baru di Hollywood kerana ia telah wujud sejak tahun 1838 hasil ciptaan Sir Charles Wheatstone.

Industri perfileman tempatan tidak pernah mengaplikasikan teknologi yang menonjolkan maklumat teknologi tiga dimensi yang lebih hebat untuk sektor audio visual.

Dengan kepakaran anak muda tempatan, tidak mustahil industri kita boleh bergerak seiring dengan kemajuan industri perfileman Hollywood.

Buat julung kalinya, Les’ Copaque Production (LCP) akan menerbitkan filem animasi stereoscopic 3D pertama berjudul Laksamana Upin & Ipin yang ditayangkan pada tahun 2012 nanti.

Sebelum ini, LCP pernah menghasilkan filem pertama animasi 3D berjudul Geng Pengembaraan Bermula dan berjaya mengaut kutipan mencecah RM 6,314,526.

Menurut pengarah seninya, Mohd Faiz Mohd Hanafiah, 25, stereoscopic 3D digunakan bagi menghasilkan ilusi yang timbul di mana ia memberikan satu ilusi jarak antara objek belakang dan depan yang dirakamkan dengan menggunakan dua buah kamera video serentak untuk menyampaikan cerita.

Terdapat pelbagai cara untuk menonton visual stereoscopic 3D iaitu dengan menggunakan shutter glass, complementary color anaglyphs dan polarized glasses.

Teknologi yang paling hebat iaitu tanpa menggunakan cermin mata untuk menonton visual stereoscopic 3D dipanggil auto 3D iaitu ilusi yang dirakam menggunakan lapan buah kamera video.

“Selepas kejayaan filem Avatar yang mengutip AS$1.841 bilion, kami merasakan sudah tiba masanya untuk kita mencontohi kejayaan filem itu kerana pihak pelabur mula membuka mata.

“Bayangkan, filem tersebut telah berjaya mengalahkan jualan tiket filem terlaris Titanic yang mengutip AS$1.242 bilion.

“Ekoran daripada itu, permintaan teknologi ini dalam pasaran juga semakin tinggi,” katanya dalam satu temubual kepada mStar Online.

Menyentuh tentang kos, Faiz berkata stereoscopic 3D memerlukan penambahan 20 peratus kos berbanding penerbitan filem biasa.

“Untuk menghasilkan filem ini, kita menganggarkan sebanyak RM6 juta yang akan dibelanjakan termasuk teknologi. Bukan sahaja kos yang bertambah, malah proses produksi juga bertambah. Proses mewarna akan bertambah selama enam bulan ibarat kita menghasilkan dua buah filem sekaligus,” ujarnya lagi.

Seramai 70 orang tenaga produksi tempatan yang berusia antara 20 hingga 27 tahun yang akan menghasilkan filem kedua LCP itu di bawah arahan pengarah Muhammad Usamah Zaid Yasin. Mereka akan memulakan projek filem itu pada Ogos ini.

Kata Faiz, mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyiapkan filem tersebut kerana proses produksinya juga lama dan mempunyai cabaran yang tersendiri terutama untuk mengaplikasikan stereoscopic 3D.

“Kita perlu meneliti ukuran kedalaman yang terlalu banyak. Jadi, agak sukar untuk melihat jarak antara satu karakter dengan satu karakter yang lain.

“Selain itu, prosesnya tidak sama seperti menghasilkan filem biasa. Semua visual yang dihasilkan perlu sharp dan tidak boleh blur,” beritahunya mengenai filem yang menggunakan perisian Autodesk Maya itu.

Apabila menonton filem Laksamana Upin & Ipin dengan teknologi stereoscopic 3D, Faiz yakin penonton akan menikmati suatu pengalaman baru dan kesan ‘wow’nya.

“Kalau ada yang pernah menonton filem Jurassic Park, kita akan rasakan seperti berada dalam cerita itu.

“Saya pasti stereoscopic 3D akan menjadi trend semasa pada masa akan datang. Malah, pengeluar televisyen LCD juga sudah ramai yang mengeluarkan televisyen menggunakan teknologi itu.

“Teknologi ini mempunyai baik buruknya seperti lebih seronok ditonton untuk genre aksi berbanding drama. Misalnya, untuk filem Laksamana Upin & Ipin, kita merasakan teknologi ini lebih sesuai bagi menvisualisasikan pengembaraan di laut. Kita nak penonton terhibur dan berpuas hati apabila keluar dari pawagam,” ceritanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain