suria

"Formula Kehidupan" 6ixth Sense

6ixth Sense dengan album terbaru mereka. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
6ixth Sense dengan album terbaru mereka. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
6ixth Sense dengan album terbaru mereka. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

KUMPULAN 6ixth Sense yang ingin memperluaskan lagi empayar muzik mereka mempertaruhkan album ketiga yang dilihat satu eksperimen yang akan melonjakkan nama mereka dalam persada seni.

Album yang menggunakan formula +, -, x, / (tambah, tolak, darab dan bahagi) itu adalah sebagai simbolik bagi mengupas mengenai isu-isu kehidupan, di mana sembilan lagu yang termuat adalah berkisar tentang perhubungan sesama manusia, alam dan Tuhan.

Menurut 6ixth Sense yang diwakili oleh Adi (vokalis) dan Gjie (gitaris utama) semasa ditemui pada majlis pelancaran album itu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengisian dan persembahan album ketiga tersebut berbeza dan lebih besar berbanding dua album terdahulu.

"Pemilihan 'formula kehidupan' adalah simbolik kepada kisah dalam kehidupan kita. Kami berharap agar peminat dapat memahami mesej di sebalik lagu-lagu dalam album ini supaya dapat menambah perlakuan baik, menolak segala sifat jahat, menggandakan usaha dalam mencari rezeki dan juga dalam mengagihkan hasil itu untuk orang lain.

"Selain itu persembahan muzik dan lagu-lagu dalam album ini juga adalah eksperimen kami untuk mengetengahkan pelbagai jenis muzik bagi menarik lebih ramai peminat. Album ini juga memperlihatkan kematangan kami dalam muzik," kata Adi.

Memandangkan lagu-lagu dalam album ini masih seperti lagu cinta seperti kisah hubungan sepasang kekasih, Gjie lantas diminta untuk mengulas di manakah relevannya pemilihan subjek kehidupan, manusia, alam dan Tuhan seperti mana yang dicanangkan.

Kata Gjie, walaupun kebanyakan lagu dalam album ini masih berkisar tentang cinta, namun isu cinta yang diketengahkan kali ini bukan sekadar cinta antara kekasih, malah turut menjangkaui skop lebih luas termasuk cinta kepada Tuhan dan manusia.

"Bukan semua lagu dalam album kali ini berkisar tentang cinta antara kekasih saja. Lagu Khatimah Cinta dalam album ini bukan mengenai cinta antara kekasih, sebaliknya mengenai cinta kepada Tuhan. Malah, lagu-lagu lain seperti Haruskah, Yang Sempurnakanku, Cinta Yang Sempurna juga mengupas mengenai cinta dan hubungan kemanusiaan.

"Cuma sebagai pemuzik, kita tidak boleh lari daripada penghasilan lagu-lagu cinta yang digemari oleh pendengar. Sebab itu, walaupun pada luarannya cerita sesebuah lagu itu kedengaran seperti kisah cinta antara kekasih, tapi maksud di sebaliknya menjangkaui cinta kepada manusia sejagat, alam dan Tuhan," jawabnya.

Album +, -, x, / yang merupakan karya sepenuhnya oleh kumpulan itu telah berada di pasaran sejak 14 April 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain