suria

Fouziah Gous Tambah Manis Rambut Ala Fringe

Wajah terbaru Fouziah dengan potongan rambut gaya fringe. - Foto oleh Fouziah Gous
Wajah terbaru Fouziah dengan potongan rambut gaya fringe. - Foto oleh Fouziah Gous
Wajah terbaru Fouziah dengan potongan rambut gaya fringe. - Foto oleh Fouziah Gous

JIKA sebelum ini, aktres jelita Fouziah Gous sanggup tampil melekat persis kembar Siam dengan pasangannya, Yasmin Hani dalam filem 2 Hati 1 Jiwa demi tuntutan skrip filem itu.

Terbaru, aktres yang cukup sinonim dengan identiti rambut panjang mengurai dan serba ayu itu sekali lagi membuat kejutan untuk filem terbarunya, Hantu Bukit Cina.

Menurut Fouziah, dia sanggup memotong mahkotanya semata-mata kerana watak Johanna dalam filem seram itu.

"Saya baru saja memotong rambut saya dengan potongan ala fringe untuk watak Johanna. Tapi saya tidak potong begitu pendek, cuma sedikit potongan di bahagian depan dan belakang rambut sahaja.

"Itu pun untuk mendapatkan imej baru yang lebih segar dan bersesuaian dengan kehendak watak itu," kata pelakon siri seram Penunggu Gunung Raya yang sedang bersiaran di TV3 ini.

Bercerita lanjut, aktres yang bakal menginjak usia 28 tahun pada Disember depan itu berkata, keputusan memotong rambut adalah inisiatifnya sendiri dan bukan diminta produksi filem.

Bagi Fouziah, watak Johanna perlu tampil dengan imej ranggi dan lebih muda, jadi sesuailah rambutnya dipotong pendek.

"Saya memotong rambut minggu ini sebelum sesi penggambaran bermula. Sebagai pelakon, adalah penting untuk melakukan apa jua perubahan pada fizikal saya sekalipun terpaksa memotong rambut yang sangat saya sayangi ini.

"Saya perlukan pembaharuan dan tampil lebih segar. Lagipun, rambut ini sesuai dengan watak Johanna yang ranggi dan sempoi," ujar Fouziah yang kini 'berkampung' di Machang, Kelantan untuk penggambaran filem itu.

Ditanya mengenai reaksinya dan krew produksi filem tersebut terhadap potongan rambut baru itu, Fouziah mengakui, pada awalnya dia sendiri agak kekok melihat wajah barunya dengan potongan sedemikian.

Memandangkan dia sudah sekian lama tampil dengan rambut panjang, imej baru ini jelas membawa perubahan yang ketara pada paras wajah gadis berdarah kacukan Melayu, Cina dan Pakistan ini.

"Pada awalnya, saya akui agak kekok melihat rambut baru saya di depan cermin. Maklumlah, sudah bertahun-tahun saya tampil dengan rambut panjang.

"Potongan rambut baru ini menampilkan perubahan ketara pada wajah saya. Namun, saya semakin selesa dengan imej baru ini.

"Malah, penerbit dan krew produksi juga gembira dengan rambut baru ini. Mereka tidak sangka saya sanggup membuat perubahan pada rambut demi watak itu," cerita Fouziah yang telah menyimpan rambut panjangnya selama lima tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain