suria

Tiga bulan dalam pajak gadai, wanita terkejut tebus cincin emas palsu! Ujian magnet pun tak boleh kesan

Penggadai terkejut barang kemas yang dipajak selama tiga bulan, diperoleh palsu.

KEBANYAKAN individu yang mempunyai barang perhiasan daripada logam emas akan 'mencairkannya' jika sumber kewangan mereka tidak mencukupi.

Maka tidak hairanlah apabila premis pajak gadai sama ada berteraskan syariah atau konvensional akan sering dikunjungi.

Bagaimanapun baru-baru ini seorang wanita berusia lingkungan 30-an dikejutkan dengan situasi tidak diingini apabila mendakwa barang kemas yang diambil selepas pajakan selama tiga bulan di sebuah premis di Alor Setar, Kedah, didapati palsu.

Lebih mengejutkan apabila barang kemas yang diperoleh itu mempunyai cop GP iaitu gold pleated atau emas saduran.

Perkara tersebut didedahkan Pengurus Cawangan Emas Faiz Alor Setar, Kedah, Mohd Hafiz selepas wanita berkenaan membawa barang kemasnya untuk membuat pemeriksaan.

"Pelanggan ni minta tolong periksa barang kemas yang dia baru tebus dari pajak gadai sebab barang kemas tersebut ada cop GP.

"Disebabkan runsing melihatkan cop tersebut, dia datang ke kedai kami dan bila kita test dengan asid memang bukan emas," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Hafiz, wanita itu mula mengesyaki kedai tersebut telah menukar barang kemas yang dipajaknya dengan barang palsu yang mempunyai rekaan sama.

Katanya lagi, barang yang dipajak adalah sebentuk cincin belah rotan dan loket berbentuk petak yang mempunyai batu putih dengan anggaran berat melebihi 12 gram.

Loket emas palsu yang diperoleh sama seperti yang digadai.

Loket emas palsu yang diperoleh sama seperti yang digadai. - Gambar hiasan

"Pelanggan itu mengakui yang dia tidak sedar bahawa barang kemas tersebut adalah palsu ketika mengambilnya kerana kelihatan sama dan ia hanya disedari selepas memeriksanya di rumah.

"Dia tebus pada waktu pagi dan petang itu terus ke kedai saya untuk buat pemeriksaan sebab berasa was-was.

"Semasa membuat ujian menggunakan magnet, barang kemas tersebut tidak melekat. Malah apabila gores di batu hitam pun ia berwarna kuning, cuma tidak berkilat," ujarnya lagi.

Kasihan dengan situasi yang menimpa wanita berkenaan, Hafiz menyarankan agar dia kembali ke premis berkenaan bagi mendapatkan kepastian.

Dia turut menyarankan supaya laporan polis dibuat sekiranya tiada tindakan lanjut daripada pihak premis.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi beberapa tips dan tindakan yang perlu dilakukan penggadai ketika membuat urusan gadaian di mana-mana premis.

Semasa membuat ujian menggunakan magnet, barang kemas tersebut tidak melekat. Malah apabila gores di batu hitam pun ia berwarna kuning, cuma tidak berkilat.

MOHD HAFIZ

"Kalau nak pajak, carilah tempat yang betul-betul dipercayai atau patuh syariah dan sebelum melakukan pajakan sebaiknya meminta staf terbabit menangkap gambar pada penimbang terlebih dahulu.

"Ia bagi membolehkan penggadai mengetahui sama ada barang yang digadai adalah sama ketika mengambilnya selain dijadikan bukti sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

ARTIKEL BERKAITAN: Emas 916 luntur warna! Cangkuk gelang tukar jadi putih... Penjual salahkan losyen, ramai pula tak puas hati

ARTIKEL BERKAITAN: Sayangilah emas anda! Ini 4 tip elak barang kemas mudah kusam, calar

"Untuk makluman, barang kemas asli dan palsu mempunyai berat yang berbeza. Penggadai juga perlu meneliti barang kemas yang diambil sebelum kaki melangkah keluar dari premis pajakan," ujarnya sambil menambah barang kemas asli tidak mempunyai cop GP.

Penggadai dinasihatkan supaya memeriksa barang kemas sebelum keluar premis pajakan.

Penggadai dinasihatkan supaya memeriksa barang kemas sebelum keluar premis pajakan.

Namun katanya, terdapat juga beberapa kes barang kemas palsu tidak mempunyai cop GP namun kualiti 'emas' kelihatan tidak berkilat.

Tambahnya, barang kemas tiruan pada masa ini juga sudah menggunakan teknologi canggih yang mana kekemasan juga lebih teliti serta cantik.

Perkongsian yang dibuat menerusi video di aplikasi TikTok turut mendapat maklum balas daripada netizen dan ada yang menyatakan pernah berdepan situasi sama.

"Adik saya pun pernah kena... bekas tunangnya pulang balik cincin yang kelihatan sama tetapi rupanya emas palsu.

"Saya pernah kena juga, dapat cincin palsu.

"Dulu kawan pernah pajak, bila nak jual baru dapat tahu yang kedai tersebut potong dan sambung dengan emas pound... sejak tu tak pernah masuk pajak tepi jalan," ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain