suria

“Kursus kahwin dulu sesi premium ke?” - Sweet habis... suami layan isteri pantang macam permaisuri, siap buat air booster

Najib atau Abang Sejuk mengambil cuti dua minggu untuk menjaga isteri yang sedang berpantang.

SEORANG isteri pastinya bersyukur apabila pengorbanannya mengandung sembilan bulan dan melahirkan anak dihargai suami.

Begitulah apa yang dilakukan oleh Mohd Najib Mohd Ariffin, 26, apabila bukan hanya memikul tangungjawab menjaga isterinya, Farahdila Rokman, 25, ketika proses berpantang malah turut menjaga anak-anak.

Berkongsi kisahnya dengan mStar, Najib yang lebih terkenal dengan kisah 12 bersaudara di TikTok ini berkata dia secara sukarela menjaga isterinya ketika berpantang tanpa bantuan ibu mahupun ibu mentua.

"Bila saya post video ni ramai ingat saya jaga anak pertama. Jadi mereka cakap 'anak pertama bolehlah buat'. Padahal ini merupakan anak ketiga saya lepas sudah masuk enam tahun kami berumah tangga.

"Minggu pertama kena bangun awal, lepas solat subuh dah kena uruskan mandi dan hantar anak ke sekolah. Untuk dua minggu pertama memang saya tak benarkan isteri mandi sendiri. Saya yang akan uruskan dia mandi A-Z lepas hantar anak ke sekolah.

"Waktu inilah sebenarnya kita berpeluang tundukkan ego sebagai seorang suami. Bukanlah bermaksud kita takut pada isteri tetapi ihsan terhadap dirinya yang sedang sakit," ujarnya yang lebih senang disapa Abang Sejuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dalam pantang menjerit cemas satu bilik berasap gara-gara tungku usia 38 tahun, cadar dan tilam terbakar... apa suami dah buat?

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Bakal ibu buat kejutan hadiah Lamborghini RM2 juta strategi ‘ikat’ suami, harap diberi lebih perhatian ketika berpantang

Menurutnya yang menetap di Sungai Petani, Kedah, setelah merasai sendiri cabaran dan pengalaman menguruskan isteri, barulah dia faham akan kepayahan yang diharungi setiap ibu yang berpantang sendirian tanpa bantuan orang lain di sisi.

Anak ke-11 daripada 12 beradik ini turut berkongsi mengenai bagaimana dia dapat membahagikan masa antara kerjaya dengan tugasan menjaga isteri di rumah.

Dalam perkongsian video itu, Abang Sejuk yang bekerja sendiri dalam bisnes pendingin hawa menunjukkan bagaimana dia akan memastikan segala keperluan buat anak-anak dan isteri disiapkan sebelum keluar mencari rezeki termasuklah membuat sendiri minuman 'booster' susu ibu.

"Lepas saya alami sendiri pengalaman menguruskan isteri berpantang, saya tak dapat bayangkan macam mana perasaan ibu berpantang sendirian kalau suami tak mainkan peranan mereka. Bila kita dah alami sendiri baru kita faham betapa hebatnya seorang wanita.

Najib dan isteri sudah berumah tangga lebih enam tahun.

"Semua ilmu dan pengalaman ni banyak saya dapat daripada adik beradik. Mereka banyak ajar cara nak uruskan anak termasuklah cuci najis. Arwah ibu juga banyak ajar kami adik beradik bab berpantang termasuklah bertungku.

"Mak mentua pada mulanya nak datang duduk di rumah kami dua minggu untuk jaga isteri. Tapi bila dia tengok saya uruskan isteri dengan baik sampai bahan mandian pun boleh sediakan, jadi dia serahkan saja tugasan tu pada saya. Katanya 'kalau macam ni beranak setiap tahun pun tak apa' pada saya secara berseloroh," katanya.

Mengakui tugas menjaga isteri berpantang ini susah, Abang Sejuk turut menitipkan pesanan serta nasihat buat para suami atau lelaki di luar sana agar bersabar dalam menjaga isteri sedang sakit berpantang.

Arwah ibu Najib (kanan) dan kakaknya yang banyak beri tunjuk ajar cara menjaga isteri berpantang.

Hal ini bukan sahaja dapat meringatkan bebanan isteri malah dapat mengurangkan beban serta tekanan isteri agar mereka tidak didatangi pelbagai jenis penyakit lain termasuklah meroyan.

"Bagi saya, ibu berpantang selama 44 hari ni perlu dilayan seperti permaisuri. Keadaan tubuh isteri yang tidak cukup rehat dan sakit memerlukan bantuan penuh seorang suami. Mereka memerlukan bantuan kita apatah lagi dalam keadaan menanggung kesakitan lepas beranak.

Tapi bila dia tengok saya uruskan isteri dengan baik sampai bahan mandian pun boleh sediakan, jadi dia serahkan saja tugasan tu pada saya.

MOHD NAJIB

"Anak yang dilahirkan adalah anak bersama jadi kita sebagai suami perlu bantu saat isteri tengah lemah berpantang. Ketika ibu berpantang haruslah dijaga supaya mereka dapat jalani proses ini dengan tenang agar mereka tidak meroyan.

"Kalau bercakap bab susah jaga isteri berpantang ni banyak... tapi bila kita ajar dan latih diri lama kelamaan akan jadi terbiasa dan mudah. Bab nak masak untuk ibu berpantang pun susah sebab ada makanan tidak boleh dimakan sebab takut bernanah pada bahagian luka. Tapi ada juga perkara saya tak boleh buat seperti mengurut jadi saya upah tukang urut," katanya.

Berikutan perkongsiannya di TikTok yang menjadi tular, rata-rata netizen memuji sikap dan kebaikan yang dilakukan oleh Najib terhadap isterinya.

Najib (barisan kedua, dua dari kanan) bersama adik beradik yang lain.

Malah, terdapat warga maya yang berseloroh pada video yang meraih lebih 700,000 jumlah tontonan dengan memberikan komen 'Abang, kursus kahwin dulu pergi sesi premium ke?' di ruangan komen.

"Pada pendapat saya, menjaga isteri berpantang ni adalah perkara wajib bagi setiap lelaki. Inilah yang dikatakan sebagai salah satu nafkah batin. Jadi para suami perlu ada ilmu pengetahuan.

Adik beradik perempuan dan kakak-kakak ipar Najib.

"Bila saya dapat pujian atas perkongsian di TikTok, semua itu berbalik kepada Sang Pencipta. Saya tak mengharapkan pujian tapi niat di hati adalah untuk menyampaikan info sahaja. Segelintir lelaki yang minta saya kongsikan lagi video sebab isteri mereka pun nak bersalin.

"Untuk yang komen 'saya pergi kursus kahwin premium ke' tu, walaupun itu hanya sekadar gurauan tapi bagi saya ada betulnya juga untuk masukkan perkara sebergini dalam kursus kahwin supaya lebih ramai lelaki dan perempuan belajar mengenai perkara penting ini," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain