suria

Isteri dalam pantang menjerit cemas satu bilik berasap gara-gara tungku usia 38 tahun, cadar dan tilam terbakar... apa suami dah buat?

Foto kiri kesan terbakar balutan kain pada tungku, kanan Hisyam memegang tungku.

LAIN yang hendak dibuat, lain yang jadi.

Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila balutan kain pada tungku yang digunakan isterinya untuk rawatan ketika berpantang selepas bersalin, terbakar.

Keadaan yang berlaku secara tiba-tiba itu turut mengakibatkan sebahagian kain cadar dan tilam di biliknya turut terbakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak meragam sepanjang lebuh raya sampai muka pucat, bapa berkorban dodoikan sebelah tangan dalam kereta - "Tak kan kami tak buat sesuatu"

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tinggal 2 anak, isteri sarat hamil di rumah... suami suka keluar malam dapat pengajaran, satu hari terdetik nak balik awal - "Rasa macam tak berguna jadi ayah"

Bercakap kepada mStar, lelaki berkenaan, Hisyamuddin Kamarudin berkata, kejadian berlaku di rumahnya di Bertam, Kepala Batas di Pulau Pinang, kira-kira dua minggu lalu.

Suami berusia 34 tahun itu memberitahu, ketika kejadian isterinya sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat pada 19 Oktober.

"Sebelum kejadian saya ke dapur untuk panaskan tungku besi di tingkat bawah. Selama ini saya buat tak ada masalah pun.

"Lepas dipanaskan, saya bawa tungku tu dibalut dengan dua kain yang diletakkan daun mengkudu di dalamnya, ke bilik di tingkat atas dan letak atas katil.

"Saya kemudian sambung buat kerja di tingkat bawah. Tiba-tiba isteri menjerit panggil saya dan saya bergegas naik semula dan tengok satu bilik mula berasap," katanya ketika dihubungi.

tungku panas 2

Dua lapisan kain yang terbakar.

Hisyammuddin atau lebih mesra disapa Hisyam berkata, dia segera mengangkat tungku yang berbalut dengan kain itu dan meletakkannya di tandas.

"Masa bungkus dua lapisan kain yang dimasukkan daun mengkudu bersama tungku, okay je. Bila saya bawa ke tandas, saya terdengar macam bunyi daun terbakar dari dalam.

"Bila saya buka balutan kain, nampak daun mengkudu dan kain terbakar macam bara api. Habis terbakar kain yang balut tungku tu," tambahnya.

tungku panas 3

Tungku besi berusia 38 tahun yang digunakan turun-temurun.

Mengakui panik dan terkejut kerana insiden seumpama itu berlaku pertama kali, bapa empat anak itu bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa isteri dan anaknya yang baru lahir.

"Alhamdulillah tiada yang cedera, anak pun tak menangis. Kejadian berlaku sebab tungku terlalu panas. Isteri mulanya pegang balutan kain okay je sebab ia ambil masa untuk terbakar di bahagian dalam," katanya.

Alhamdulillah tiada yang cedera, anak pun tak menangis. Kejadian berlaku sebab tungku terlalu panas.

HISYAMUDDIN KAMARUDIN

Perunding hartanah itu bagaimanapun mengakui kejadian berpunca daripada tungku yang digunakan isterinya untuk rawatan ketika berpantang, dipanaskan terlalu lama di dapur.

"Biasanya sebelah bahagian tungku tu saya panaskan selama kira-kira 10 minit, dan kemudian saya terbalik untuk panaskan sebelah bahagian lagi untuk 10 minit.

"Kali ini saya terlupa sebab leka buat kerja sampai sebelah bahagian tungku saja dibiarkan atas dapur selama 30 minit. Itu yang membuatkan tungku terlalu panas," katanya.

tungku panas 4

Hisyam merupakan perunding hartanah.

Dalam pada itu, Hisyam yang yang juga ejen jualan produk kesihatan mendedahkan tungku besi tersebut merupakan turun-temurun yang digunakan oleh ibunya sejak 38 tahun lalu.

"Sejak kakak sulung saya lahir 38 tahun dulu ke saya sehinggalah anak-anak yang pertama hingga keempat ni guna tungku yang sama. Tungku lama, tapi tak pernah bermasalah.

"Masa anak-anak pertama hingga ketiga lahir, isteri berpantang di rumah ibu saya di Tasek Gelugor di Seberang Perai. Kali ini untuk anak keempat baru berpantang di rumah kami.

"Sama ada di rumah ibu atau rumah sendiri, saya jaga isteri sebab kerja saya yang fleksibel. Cuma kalau di rumah ibu... ibu sentiasa ingatkan tungku dah panas ke, dah angkat dari dapur ke.

"Tungku tu masih boleh pakai, yang terbakar cuma kain. Selepas ini kalau nak guna memang akan tunggu sehingga tungku dipanaskan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain