suria

Diugut, diludah tapi wanita ini tak nak mengalah... hari pertama buka kedai dah buat laporan polis, kalau lemah dah lama terjun bangunan!

May berdepan pelbagai dugaan sebagai peniaga kedai kek dan roti.

BIDANG perniagaan adalah antara cabang pekerjaan yang seringkali menjadi pilihan ramai terutama sekali yang baru kehilangan pendapatan.

Ada juga yang menceburi bidang ini disebabkan “terpengaruh” apabila melihat perkongsian kereta mewah atau pulangan wang besar yang dikongsikan rakan peniaga di media sosial.

Namun apa yang mungkin ramai orang tidak sedar adalah dugaan serta cabaran berterusan yang dihadapi peniaga bukan calang-calang.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sedih campur keliru! Anak bongsu yang dinantikan suami tak kenal bapa sendiri, jika ‘dirapatkan’ bimbang nanti kena tinggal lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Alamak, kena gigit! Dah depan rumah pelanggan, pengusaha surprise delivery panik strawberi pada gubahan hilang separuh

Berkongsi dugaan hidupnya sebagai seorang peniaga, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai May berkata, dia tidak pernah menyangka bahawa tekanan yang bakal dihadapinya sebagai seorang peniaga jauh lebih hebat dari cabaran sewaktu dirinya bergelar jurutera.

“Sebelum ni akak dah meniaga di Johor Bahru sejak tahun 2008 tapi akak mula aktif dalam bakeri sejak tahun 2012.

“Sebelum meniaga akak kerja sebagai jurutera tapi akak berhenti sebab stres kerja, rupanya stres meniaga lebih hebat.

“Masa tahun 2018 suami akak kena buang kerja, masa tu lagi dua minggu nak raya jadi akak ajak di berpindah ke sebuah negeri di pantai timur dan kami buka kedai kek di sana,” katanya kepada mStar.



May membuka kedai kek dan roti di sebuah negeri di Pantai Timur. (Gambar File)

Menurut May, negeri tersebut dipilih kerana suaminya sudah lama merancang untuk pulang semula menetap di negeri tersebut yang juga tempat kelahirannya selepas bersara.

Tidak tunggu lama, dugaan pertama terpaksa dihadapi May dan suaminya hadir sejak hari pertama mereka memulakan perniagaan.

“Masa hari pertama buka kedai akak dah terpaksa buat laporan polis sebab terima ugutan dari seorang baker perempuan ni, asalnya akak join kelas PJJ (Pengajian Jarak Jauh) dia tapi dalam kelas tu akak tegur sebab dia ajar sambil lewa.

"Jadi dia tak puas hati, dia remove akak dari group kemudian dia personal mesej marah-marah, sebelum kena remove tu akak dah minta maaf tapi dia masih tak puas hati.

"Dia ugut "Jaga ko, ko datang tempat aku berani kau tegur aku! Aku datang kedai kau, aku nak tengok siapa lagi hebat, kau orang luar, ini bukan tempat kau," kongsinya.

Pernah juga ada owner kilang masuk kedai dia tanya “kenal tak dia siapa? Kami memang tak kenal, dia cakap kilang dia jual lagi murah dari kedai akak lepas tu dia ludah betul-betul depan pintu kedai akak.

MAY

Tidak cukup dengan itu, kedai mereka turut diludah individu-individu yang tidak berpuas hati dengan perniagaannya.

“Pernah ada seorang lelaki tua yang datang nak beli donat tapi dia minta diskaun, dia beli 5 biji je jadi staff tak bagi la diskaun sebab harga memang dah murah, staf pun cuma ikut arahan je, iaitu kalau beli lebih 10 baru ada diskaun.

“Jadi dia marah, dia terus start enjin motor sambil cakap, "donat mahal nok mapuh!" (donut mahal nak mampus) Lepastu dia ludah depan kedai sambil cakap “Demo nok gi haji balik hari ke?” (kamu semua nak pergi buat haji balik hari ke?).

“Kemudian pernah juga ada owner kilang masuk kedai dia tanya “kenal tak dia siapa? Kami memang tak kenal, dia cakap kilang dia jual lagi murah dari kedai akak lepas tu dia ludah betul-betul depan pintu kedai akak,” katanya.



May menjual donat gula pada harga RM1 sebiji.

Selain donat yang merupakan jualan sampingan di kedainya, May turut menjual pelbagai jenis roti dan kek.

Menurut May, walaupun kecewa dengan sikap pihak terbabit, dia menganggap ini semua adalah dugaan buat dirinya.

“Allah bagi akak dugaan yang macam-macam, kalau tak kuat memang dah lama dah terjun bangunan.

“Tapi ye la, demi mencari sesuap rezeki yang halal untuk anak-anak, akak kuatkan diri je.

“Apa-apa orang cakap, akak ambil untuk perbaiki diri akak,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
dengki, perniagaan, cabaran, dugaan,

Artikel Lain