suria

Baru sebulan kahwin, isteri diminta kerja di Arab Saudi... suami menangis di KLIA selepas 11 bulan berjauhan – “Honeymoon pun belum”

Foto kiri Ra sejurus tiba di KLIA disambut suami, foto kanan Ra (kanan) dan suami berkahwin pada November 2020.

BALAI ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan drama air mata sepasang suami isteri.

Diiringi sejambak bunga, ia merupakan pertemuan mereka buat pertama kali selepas hampir setahun terpisah.

Namun, siapa sangka pasangan ini sebenarnya baru saja mendirikan rumah tangga sebelum masing-masing terpaksa berjauhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 9 bulan pendam rindu, si kecil luah emosi sebenar saat melihat ibunya pulang dari Arab Saudi - "Dia tak pernah menangis tengok saya"

ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar pulang selepas 2 tahun berjauhan, isteri jimat RM400 suami buat sendiri je rak idaman... 'upahnya' candle light dinner di hotel!

Bercerita kepada mStar, Siti Aisyah Razali memberitahu, dia bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi dan baru pulang ke tanah air pada 1 November lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, dia berjauhan dengan suaminya sejak 11 bulan lalu, sebulan selepas berkahwin pada 7 November 2020.

"Sebenarnya saya dapat tawaran bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi pada 2019 dan masa tu belum kahwin. Sepatutnya saya berlepas ke Arab Saudi pada Mac 2020.

"Tapi segala proses tertunda disebabkan pandemik Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Hanya selepas sebulan kahwin, baru saya diminta melaporkan tugas di Arab Saudi," katanya ketika dihubungi.

ppj baru kahwin 2

Bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.

Lebih mesra disapa Ra, katanya, dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat memahami meskipun menjalankan perhubungan jarak jauh (PJJ).

"Sebelum saya kahwin, saya dah beritahu awal-awal kat suami yang saya nak pergi Arab Saudi sekianya menerima tawaran bekerja di sana.

"Dia izinkan. Mula-mula saya pergi ke Arab Saudi, saya okay. Cuma menjelang tiga bulan terakhir sebelum rancang nak pulang bercuti di Malaysia, terus rasa sedih dan rindu sebab lama tak jumpa," ujarnya sambil menambah suaminya bertugas sebagai tentera laut.

ppj baru kahwin 5

Suami Ra berkhidmat sebagai tentera laut.

Ra yang berpengalaman sebagai jururawat sejak lapan tahun lalu menyifatkan Ogos lalu merupakan detik paling emosi apabila suaminya disahkan positif Covid-19.

"Bila saya dapat tahu suami positif Covid-19 dengan keadaan dia tidak begitu sihat seperti deman dan batuk, membuatkan saya sangat susah hati.

"Saya menangis sampai rasa nak balik ke Malaysia untuk jumpa suami. Tapi saya tahu dia di pusat kuarantin dan saya berfikiran positif dan berdoa agar keadaannya bertambah baik," katanya yang bersyukur suaminya yang juga atlet silat itu telah sembuh daripada wabak itu.

ppj baru kahwin 4

Panggilan video menghubungkan suami isteri yang berjauhan.

Mengimbas kembali detik sebelum mereka bertemu semula, penerbangan selama 12 jam dari Arab Saudi ke Malaysia termasuk empat jam transit di Jeddah begitu mendebarkan bagi Ra.

"Bila sampai kat KLIA, rasa makin berdebar-debar. Tapi mula-mula tu sabar dan bertenang lagi. Jumpa suami, tiba-tiba dia menangis dulu.

"Tengok suami menangis, saya tak dapat tahan dan menangis juga. Terharu suami tunai janji untuk tunggu saya balik Malaysia," katanya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Tengok suami menangis, saya tak dapat tahan dan menangis juga. Terharu suami tunai janji untuk tunggu saya balik Malaysia

SITI AISYAH RAZALI

Menurut Ra, perkara pertama yang telah dirancang sebaik tamat menjalani kuarantin pada 7 November adalah meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama.

"Seterusnya nak pergi honeymoon! Masa baru kahwin honeymoon pun belum sempat sebab saya sibuk uruskan dokumentasi untuk ke Arab Saudi," katanya yang merancang untuk berbulan madu sama ada di Pulau Langkawi atau Pulau Pinang.

ppj baru kahwin 6

Ra (kiri) dan suami menyambut ulang tahun perkahwinan pertama pada bulan ini.

Mengakui perhubungan jarak jauh dengan suami bukannya mudah, namun Ra berkongsi tip untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa.

"Apa-apa pun di dunia ini, kita kena utamakan Allah. Tak kisahlah couple ke kahwin ke, kena banyak berdoa. Solat itu penting dan berdoa kepadaNya serta mohon supaya hubungan kita dengan pasangan kuat dan dipermudahkan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain