suria

“Kakak nak balik... cakap bye” - Homesick dari Form 1 tapi tak pernah menangis, pelajar nak balik asrama akhirnya ‘tewas’ dengan kucing

Qistina mengalirkan air mata ketika ibu dan Bella menghantarnya pulang ke asrama.

"NANTI Bella datang tengok lagi."

Itulah kata-kata seorang ibu untuk memujuk si anak yang sedang menangis.

Rakaman video yang dimuat naik oleh wanita berkenaan menunjukkan anaknya meraung kerana tidak mahu berpisah dengan kucing kesayangannya yang diberi nama Bella.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahan berjauhan, gadis ini bawa kucing kesayangan tinggal di kolej... sanggup menyewa di luar selepas kantoi! - “Saya menangis dan merayu”

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi! Kucing garang bertukar manja hanya selepas dipanggil ‘sayang’ - “Suami saya hadiahkan, tapi dia pun takut Ciko”

Bercakap kepada mStar, Juliana Seth, 41 berkata, video tersebut dirakam ketika dia mahu menghantar anak keduanya Yuzlia Qistina Alya Mohd Yuzafi yang berusia 15 tahun ke Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya pada pagi Ahad lalu.

Jelasnya, setiap ibu bapa perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghantar anak-anak pulang semula ke asrama.

"Sekolah tidak membenarkan ibu bapa keluar dari kereta untuk salam anak, jadi Qistina minta berhenti di tepi jalan depan sekolah untuk bersalam dan peluk saya.

"Memang saya nak rakam momen dia balik ke asrama, tiba-tiba dapat pula rakam 'part' dia meraung. Sebab saya mengusik Qistina, saya kata Bella tu kakak nak balik...cakap bye.

IMG_2322

Bella dibeli dan dibela oleh keluarga Juliana sejak ia berusia tiga bulan.

"Tiba-tiba je dia menangis! Sebelum keluar rumah lagi Qistina ada pesan mama tak payah bawa Bella, rupanya dia tak boleh tahan sedih," katanya yang menetap di Persint 17, Putrajaya.

Lebih mesra disapa Juliana, katanya, dia terkejut melihat reaksi anak keduanya yang terlalu sedih apabila terpaksa berpisah dengan kucing kesayangan itu.

Tambahnya lagi, dia membeli Bella ketika usianya tiga bulan daripada seorang kawan sebagai hadiah hari lahir untuk anak bongsunya pada April lalu.

Video berdurasi 16 saat itu meraih hampir 600,000 tontonan di aplikasi TikTok.

"Qistina tak pernah macam tu, memang dari tingkatan satu dah homesick tapi tak pernah lagi dia menangis meraung setiap kali saya hantar pulang ke asrama.

"Berkali-kali saya pujuk Qistina supaya dia berhenti menangis. Kali ni nampak dia benar-benar sedih kerana air matanya mengalir masa peluk Bella.

IMG_2325

Bella dibeli oleh Juliana sebagai hadiah hari lahir anak bongsunya (gambar kanan).

"Pagi Isnin dia ada mesej saya dan bertanya tentang keadaan Bella. Saya balas dengan menghantar gambar dan video Bella kepadanya.

"Sebenarnya dulu anak saya takut dengan kucing. Tapi bila dah sayang, Bella gigit tangan dia pun dah tak kisah langsung," ujarnya yang bekerja sebagai seorang penjawat awam di Putrajaya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, mereka pernah mengalami insiden lucu dengan kucing tersebut ketika sekeluarga pulang ke kampung yang terletak di Batu Pahat, Johor.

"Dua minggu lepas kami balik kampung bawa Bella, pagi tu anak sulung saya cari Bella tapi tak jumpa. Kami risau sebab Bella tak biasa berada di tempat lain, tiba-tiba terdengar kucing bergaduh dan saya jenguk dari tingkap.

Saya tak cakap sekolah lain di luar itu tidak bagus, tapi anak-anak lebih berdisiplin dan berdikari apabila berada di asrama.

JULIANA SETH

"Waktu itu saya tak pakai cemin mata dan ingatkan kucing yang sedang bergaduh tu Bella. Menjerit- jeritlah saya dari jauh sebab takut Bella cedera, tapi anak-anak dah ketawa sebab rupa-rupanya Bella ada di bawah meja dalam rumah mak saya.

"Malu saya dibuatnya sebab ramai orang tengok saya panik. Anak-anak kata mama panik macam anak dia sendiri yang bergaduh," katanya berseloroh.

Juliana yang berasal dari Johor itu merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai hubungan rapat dengan kesemua anak perempuannya.

Dia berpisah dengan suaminya pada Mei 2020 setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga.

"Walaupun 'sakit' melihat anak-anak menangis nak masuk asrama, kita kena kuat demi masa depan mereka.

"Saya tak cakap sekolah lain di luar itu tidak bagus, tapi anak-anak lebih berdisiplin dan berdikari apabila berada di asrama.

der

Juliana (berkaca mata) merupakan seorang ibu tunggal yang mempunya empat cahaya mata perempuan.

"Bagi pecinta haiwan pula, setiap binatang mempunyai perasaan dan begitu juga dengan kucing. Bila kita sayang dan menjaganya dengan baik, pasti si comel akan sayang kita semula.

"Sebab kasih sayang yang saya rasa tak ada sempadan bila kita ikhlas menyayangi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain