suria

Tiga kali masuk penjara, lelaki bertatu enggan ulangi kesilapan... dulu semua dicuri, kini nak cari rezeki sebagai hair stylist - “Hidup saya memang rabak”

Iskandar berkata dia sudah berubah dan enggan lagi mengulangi masa lalu.

APA yang berlaku pada masa lalu, biarlah ia menjadi pengajaran.

Begitulah yang diuangkapkan seorang jejaka Melayu berusia 33 tahun yang tular gara-gara memiliki tatu pada tubuhnya.

Menurut Iskandar, dia pernah meringkuk di dalam penjara sebanyak tiga kali, namun kini sudah berubah dan mahu fokus untuk mengejar impian dan masa depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pelajar Henry Gurney tak malu dedah kisah silam, mahu masyarakat beri peluang ke-2 - “Ada ketika terpaksa tidur depan tandas”

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin menonjol, semakin rancak dikecam! Anak teruna arwah Aziz Desa tak menyesal, mStar perjelas segalanya - “Paling ingat dituduh memalukan keturunan”

"Saya sebenarnya bekas banduan. Dulu saya pernah menyamun, curi motor dan banyak lagi kes jenayah lain. Tiga kali saya masuk penjara bermula tahun 2007, 2008 dan 2009.

"Saya masa tu budak lagi, tiada didikan agama, tiada siapa guide saya. Bila duduk dalam penjara, saya buat tatu secara handmade. Bila keluar, saya tengok gambar tatu tu buruk. Jadi saya touch up semula kat kedai tatu.

"Tapi itu dulu. Sekarang dah tak ada lagi. Selain lengan, saya juga ada tatu pada badan depan dan belakang," ujarnya kepada mStar.

Menurut Iskandar yang berasal dari Johor, dia menyesal dengan apa yang dilakukan dan enggan lagi menoleh selain dihantui pengalaman lampau.

iskandar4

Iskandar kini bekerja di Bedok, Singapura.

Disebalik hukuman tersebut, Iskandar sempat mempelajari kemahiran dandanan ketika di dalam penjara sehingga dia kini mampu mencari pendapatan dalam cabang kerja itu.

Malah, Iskandar juga ada berkongsi video-video menerusi TikTok sehingga viral, sekaligus membawa pelanggan baharu kepadanya.

Janganlah cuba-cuba buat jenayah. Sekali dah terjebak, susah nak patah balik.

ISKANDAR

"Saya tiada sijil apa-apa. Saya belajar gunting rambut ketika di dalam penjara. Lepas keluar penjara, saya kerja bengkel motor. Kemudian tahun 2015 saya masuk Singapura, saya jadi hair stylist di sana.

"Hari tu saya cuba kongsi video di TikTok untuk promosi tempat saya gunting rambut. Tak sangka dapat pelanggan baharu dari TikTok. Sejak Covid-19, bisnes agak perlahan.

"Sejak viral di TikTok, ramai yang datang bagi sokongan. Tak sangka boleh berkembang jadi macam ni. Kalau bukan rezeki duit pun, saya bersyukur dapat kawan-kawan baharu. Itu pun rezeki juga," ujarnya yang kini bekerja di Bedok, negara jiran di selatan tanahair.

iskandar3

Dedah Iskandar, dia dikecam kerana memiliki tatu pada tangan.

Di sebalik perhatian ramai yang diterima, Iskandar juga tak terlepas menerima kecaman gara-gara memiliki tatu pada badan.

Ujar Iskandar, dia pada awalnya agak terkilan, namun menerima segala kata-kata itu dengan hati terbuka.

Jelas Iskandar, dia tiada sebarang niat melainkan mahu memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak terjebak seperti masa lampaunya.

"Orang tak faham apa yang berlaku pada diri saya. Hidup saya memang rabak. Zaman muda memang tak pernah cari kerja, semua saya curi. Satu masa, nasib tak baik, Allah nak tunjuk, sebab tu kena tangkap.

iskandar2

Iskandar berharap kisahnya jadi pengajaran buat orang ramai.

"Kalau saya nak cerita kisah duduk penjara, menitis air mata. Tapi saya bersyukur, dalam penjara saya belajar solat, belajar disiplin, belajar gunting rambut.

"Saya baru empat minggu main TikTok. Mula-mula saya stres kena kecam. Tapi ramai lagi yang doa baik-baik kepada saya. Sebenarnya saya dah biasa dengan benda macam ni, dengan orang sekeliling. Sebab tu saya tak cepat nak marah-marah.

"Saya dah tinggal dunia dulu. Saya dah bersih. Saya juga bersyukur keluarga bagi sokongan. Ini kisah benar, bukan saya reka cerita. Apa yang saya kongsi boleh jadi pengajaran.

"Nasihat saya kepada anak muda, janganlah cuba-cuba buat jenayah. Sekali dah terjebak, susah nak patah balik," ujar Iskandar lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain