suria

Air tangan Mural Man ‘menjadi’ lagi, kali ini bukan di dinding tapi secangkir kopi atas jalan! - “Cuaca panas terik, kena pasang khemah”

Lukisan 3D cawan karya Hatta Hashim menjadi sebutan ramai selepas tular di media sosial baru-baru ini.

SIAPA sangka, lelaki ini yang bertahun-tahun bekerja di pelantar minyak sanggup meninggalkan kerjayanya demi meneruskan minat dalam bidang seni lukis.

Bermula dengan lukisan mural biasa di dinding-dinding, lelaki bernama Hatta Hashim atau lebih dikenali sebagai Mural Man kemudian mengembangkan bakatnya dengan menghasilkan lukisan mural tiga dimensi (3D).

Antara karya 3D hasil tangannya yang menjadi sebutan adalah lintasan pejalan kaki di Dapo Pata, Tok Jembal dan perahu lama di Gong Badak, tiga tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Alang-alang kena langgar, bapa suruh anak ‘conteng’ kereta! Selepas 45 minit, hasilnya tak macam karya kanak-kanak biasa umur 9 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Kembali jadi lorong belakang! Walau sebak mural potret pemimpin negara dipadam, pelukis tetap bersemangat berkarya – “Tak kan nak touch up hari-hari”

Kini Hatta, 37, sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan karya 3D iaitu secangkir kopi yang dilukis di atas jalan.

Karya tersebut menjadi tular selepas dikongsikan di beberapa laman Facebook serta medium media sosial lain sekaligus mengundang rasa kagum netizen dengan lukisan yang kelihatan begitu 'real'.



Lukisan 3D ini mengambil masa lima hari untuk disiapkan.

Berkongsi cerita di sebalik 'pembikinan' karya terbaharunya itu, Hatta berkata segala-galanya bermula selepas seorang rakan memintanya melukis mural di kafe miliknya, Nusuk Cafe di Gong Badak, Terengganu.

"Masa saya pergi ke kafenya untuk buat tinjauan, saya dapati dinding kafenya agak 'crowded' dan rasa tak sesuai nak lukis mural di dinding. Kemudian saya beri cadangan untuk lukis mural di atas jalan dan dia bersetuju.

"Sekarang ni trend kalau orang berkunjung ke sesebuah kafe, pasti mereka akan bergambar dengan lukisan atau apa jua hiasan di kafe dan berkongsi di media sosial. Jadi saya cuba hasilkan sesuatu yang buat pengunjung tertarik," katanya.



Lukisan 3D sampan hasil tangan Hatta sebelum ini turut menjadi sebutan.

Menurut Hatta, projek lukisan 3D tersebut dilakukan seorang diri dan mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkannya.

Antara cabaran yang dihadapi Hatta ketika menyiapkan karya tersebut adalah cuaca yang panas terik, selain dia juga perlu memastikan setiap sudut dilakar dengan tepat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Cuaca ketika itu panas terik, memang perlu pasang khemah. Selain itu, saya kerap kebelakang, kedepan, ketepi untuk tengok anggaran setiap sudut agar lukisan ni nampak real," ujar pelukis yang berpangkalan di Terengganu ini.

Bercerita serba sedikit mengenai latar belakangnya, Hatta berkata dia mewarisi bakat seni lukis daripada bapanya.

Mengenai teknik lukisan 3D, saya hanya mempelajarinya sendiri dengan melihat karya artis luar negara di YouTube dan sebagainya sebagai rujukan.

HATTA HASHIM

PELUKIS

"Mural pertama yang saya lukis ketika darjah enam. Kemudian bakat tu berkembang apabila selalu praktis. Selama lebih lima tahun bekerja di pelantar minyak, setiap kali cuti saya akan isi masa lapang dengan melukis.

"Mula-mula saya diminta melukis mural untuk sebuah tadika. Bermula dari situ, saya mula mendapat permintaan sebelum akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja dan menjadi pelukis mural. Kini dah empat tahun saya bergelar pelukis mural sepenuh masa.



Karya Hatta menghiasi dinding di jalanan sebagai tarikan pelancong.

"Mengenai teknik lukisan 3D, saya hanya mempelajarinya sendiri dengan melihat karya artis luar negara di YouTube dan sebagainya sebagai rujukan," kata pelukis ini yang karyanya turut mendapat perhatian agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Tidak menyangka namanya sekali lagi melonjak, Hatta berkata dia menganggap perkara itu sebagai rezeki untuk mengorak langkah lebih maju agar bakatnya setanding dengan artis luar negara.



Hatta sebelum ini bekerja di pelantar minyak, kini merupakan pelukis sepenuh masa.

"Terlalu banyak mesej yang saya dapat di Facebook dan Instagram, selain ucap tahniah, ramai juga yang luahkan hasrat untuk belajar.

"Sudah semestinya saya ada impian untuk membuka kelas. Untuk buka kelas ni kena ada ilmu mengajar dan kena buat persediaan.

"Buat masa ini juga saya bekerja seorang diri... saya berharap dapat bertemu dengan individu yang sama seperti saya dan melahirkan lebih ramai lagi pelapis," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain