suria

Hanya suka ‘main-main gambar’, tapi hasil fotografi setanding jurugambar UK! Jurutera bongkar identiti di sebalik nama ‘Terengganu Celup’

Foto kiri Pijie meminati fotografi, manakala foto kanan dirakamkan Pijie di Pantai Penunjuk Kijal di Kemaman, Terenggani.

PERKONGSIAN hasil fotografi dua jurugambar di dua benua, menerusi laman Twitter menimbulkan pelbagai reaksi.

"Kiri Lelaki UK, Kanan Lelaki Terengganu," tulis seorang pemuda menerusi satu ciapan yang memaparkan dua tangkap layar galeri fotonya dan gambar yang dirakamkan seorang jurugambar dari United Kingdom, Luke Stackpoole, sehingga diulang kicau lebih 6,800 kali.

Rata-rata netizen kagum dan memuji karya kedua-dua individu berkenaan yang dilihat menggunakan teknik fotografi dan suntingan yang kelihatan sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto 'Mowgli Malaysia' menang lagi! Jurugambar buat pengakuan ikhlas cemburu dengan Syukur Khamis - "Dia bukan berlakon, memang ikhlas"

ARTIKEL BERKAITAN: Niat asal nak hiking... jurugambar tak pulang tangan kosong! Foto dekat Rawang Bypass buat ramai lapar tengok 'hutan brokoli'

Siapa sangka di sebalik kehebatan hasil rakaman, anak tempatan ini sebenarnya bukanlah jurugambar profesional, apatah lagi menjadikan fotografi sebagai kerjaya.



Perkongsian Pijie di laman Twitter menjadi perhatian.

Pemuda berusia 32 tahun itu, Muhammad Hafizi Abdul Rahman berkata, dia sebenarnya merupakan jurutera yang menetap di Kemaman, Terengganu.

"Saya suka main-main gambar. Fotografi menjadi minat saya sejak tiga tahun lalu. Saya sebenarnya bertugas di sebuah syarikat minyak dan gas.

"Perbandingan dengan jurugambar dari UK itu sekadar untuk menunjukkan bahawa anak Malaysia juga mampu menghasilkan fotografi setanding jurugambar antarabangsa," katanya kepada mStar.



Foto kiri adalah galeri karya jurugambar UK, Luke Stackpoole (instagram: withluke), manakala kanan adalah galeri karya Pijie (instagram: pijie_mhar)

Lebih dikenali sebagai Pijie, dia juga mendedahkan dirinya bukan anak kelahiran Terengganu sebagaimana yang dinyatakan menerusi ciapan yang tular itu.

"Saya sebenarnya berasal dari Bagan Serai, Perak. Saya sendiri menggelarkan diri saya sebagai 'Terengganu Celup' di status profil Twitter.

"Tapi saya kini menetap di Kemaman bertahun-tahun apabila bertugas sebagai jurutera sejak 2014. Sebab itulah kebanyakan gambar pemandangan yang saya rakam di Pantai Timur terutama Kemaman. Saya suka kehidupan di Terengganu," ujarnya yang telah berumah tangga.



Fotografi udara menunjukkan rumah api di Telaga Simpul, Kemaman.

Menurut Pijie, dia terharu apabila perkongsiannya itu dipuji netizen memandangkan rakyat Malaysia kurang menggemari foto-foto dengan tona warna yang kurang menyerlah.

"Kebanyakan gambar yang saya ambil menggunakan teknik fotografi jurugambar UK itu. Saya menjadikan hasil karyanya sebagai rujukan.

"Tapi apabila gambar-gambar pemandangan diambil adalah mengenai Malaysia, jadi ia lebih dekat dengan diri mereka sehingga menyukai karya saya," katanya sambil menambah dia gemar merakamkan fotografi di pantai, pulau dan air terjun.

Perbandingan dengan jurugambar dari UK itu sekadar untuk menunjukkan bahawa anak Malaysia juga mampu menghasilkan fotografi setanding jurugambar antarabangsa.

PIJIE

Dalam pada itu, dia mengakui turut ditawarkan beberapa kali untuk melakukan kerja-kerja fotografi termasuk mengambil gambar-gambar majlis perkahwinan.

"Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya buat masa ini kerana jadual kerja yang tidak menentu selain tuntutan tugas saya di offshore dalam tempoh yang lama," katanya yang turut membuat rakaman video selain fotografi.



Foto kiri dirakamkan Pijie di Monica Bay, Kuala Kemaman dan foto kanan di Tasik Puteri, Bukit Besi.

Pijie juga berkongsi pengalaman apabila dron miliknya bagi fotografi udara tersangkut pada sebatang pokok yang tinggi ketika membuat rakaman pemandangan air terjun di Tasik Puteri dekat Bukit Besi di Dungun.

"Kejadian berlaku tahun lalu. Masa buat rakaman secara reverse, saya tak sedar ada pokok tinggi sehingga dron tersangkut. Memang sangat tinggi kira-kira 20 meter, kawasan sekitar pula agak tinggi kerana berbukit.

"Saya terpaksa minta bantuan penduduk di situ untuk ambil. Itupun dia panjat separuh pokok, dan guna galah panjang yang mempunyai sauk di hujungnya untuk mengambil dron.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Dia tak letak bayaran, tapi saya bayar RM250 sebab tolong panjat pokok ambilkan dron. Kalau dron tu jatuh dan rosak, kos nak baiki lagi mahal," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain