suria

Doktor nak buat TikTok minta restu... mulanya kecewa, masuk bulan ke-2 cecah 300,000 followers! - “Berbisa betul doa mak”

Dr Ahmad Samhan mula memuat naik video di TikTok sejak Disember lalu. foto tiktok Dr.Samhan

RAMAI yang tersalah anggap aplikasi popular, TikTok hanya sekadar menayangkan aksi tarian terkinja-kinja semata-semata.

Mereka yang mempunyai tanggapan itu sebenarnya silap kerana selain hiburan, pelbagai manfaat dan maklumat yang berguna turut dikongsikan di platform media sosial itu.

Buktinya, ramai figura pelbagai latar belakang dan kerjaya, malah golongan doktor juga mula menjadikan TikTok untuk menyampaikan informasi dan nasihat berkaitan dengan perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan TikTok biasa-biasa... habis semua pingat, piala sejak usia 5 tahun ditayang remaja aktif ini - "Saya ni kadang-kadang pelupa..."

ARTIKEL BERKAITAN: Zaman berubah, ustazah main TikTok mahu pikat murid belajar Iqra - "Dulu saya belajar rasa susah sangat"

Salah seorang daripada mereka adalah Dr Ahmad Samhan Awang, doktor viral yang sering berkongsi pengalaman mengenai dunia kedoktoran, perubatan dan kemasyarakatan.



Antara tips yang dikongsi Dr Ahmad Samhan di TikTok.

Walaupun sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata, doktor berusia 35 tahun itu tetap merendah diri dengan mendapatkan restu daripada ibunya.

"Ma, abe nak buat Tiktok. Ma doakan ok? Apa benda pula Tiktok?

"Itulah aku. Tiap kali nak buat sesuatu aku minta Ma doakan. Biarpun aku tahu, satu benda pun Ma tak faham pasal Tiktok," tulisnya di halaman Facebook milik beliau.

Namun, beliau tetap menjelaskan kepada ibunya mengenai aplikasi itu dengan kebanyakan pengguna membuat video tarian.

"Kenapa nak kena joget. Tak payah jogetlah, ” ujar ibu Dr Ahmad Samhan.

"Mana ada nak joget. Nak buat video kongsi ilmu, Ma. Ma doakan ramai yang follow. Makin ramai follow makin ramai dapat belajar dan dapat manfaat.

"Kalau gitu Ma doakan followers abe 150,000 bulan ni. Ah sudah. Tepuk dahi. Ni Ma betul-betul tak faham pasal Tiktok ni. Mana lojiknya orang follow ramai tu dalam sebulan," kata doktor yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).



Aksi Dr Ahmad Samhan memberi penerangan.

Menurut Dr Ahmad Samhan, beliau memuat naik video pertama di TikTok pada 1 Disember lalu dan bermula secara konsisten sebanyak satu video dimuat naik setiap hari.

Beliau bagaimanapun kecewa kerana jumlah pengikutnya ketika itu kurang daripada 100 orang.

Tiap kali nak buat sesuatu aku minta Ma doakan. Biarpun aku tahu, satu benda pun Ma tak faham pasal Tiktok

DR AHMAD SAMHAN AWANG

"Ma, dah seminggu abe post video. Tak ramai pun follow.

"Jangan bimbang. Betulkan niat. Tengok nanti hujung bulan ni. 150,000 yang follow. Bulan depan jadi 300,000," ujar beliau yang mengimbas kembali perbualan bersama ibunya.



Ibu kepada Dr Ahmad Samhan. foto facebook Ahmad Samhan

Tanpa disangka-sangka jumlah pengikut beliau di TikTok mencecah 150,000 orang pada 31 Disember, dan ia meningkat sekali ganda kepada 300,000 pengikut pada 31 Januari.

"Tak kurang seorang tak lebih seorang. Sebiji macam yang Ma cakap. Termenung kejap aku. Berbisa betul doa mak ni.

"Sebab itulah kalau aku harapkan sesuatu, aku minta Ma Abah doa. Pasti ada keajaiban berlaku. Benar, doa ibu ayah tiada hijab. Allah makbul.

"Ya Allah, panjangkan usia ibu dan ayahku kerana disitulah terletaknya keberkatan hidupku," katan Dr Ahmad Samhan yang kini menghasilkan lebih 85 video berkaitan kesihatan di TikTok.

Setakat ini juga Dr Ahmad Samhan menerusi akaun Dr.Samhan di TikTok mempunyai lebih 319,000 pengikut dan meraih lebih 1.5 juta likes (tanda suka).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain