suria

“Saya tak boleh terima ayah saya binatang” - Mengejutkan anak mangsa rogol tampil buat pengakuan, terharu ibu sudi tumpangkan rahim

Fahmi berkongsi kisah menimpa ibunya yang dirogol penjenayah yang memecah masuk ke kediaman mereka kira-kira 20 tahun lalu.

JARANG sekali kita dengar anak mangsa rogol berkongsi pengalaman ngeri dilalui mereka secara terbuka di media sosial.

Namun pengakuan seorang pemuda bahawa dia adalah anak hasil tragedi hitam menimpa ibunya kira-kira 20 tahun lalu amat mengejutkan netizen.

Pendedahan pemuda tersebut dilakukan semasa IG Live artis rap tanah air Caprice yang membahaskan isu kes rogol dan gangguan seksual bersama Fynn Jamal.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor tak akan lupa kisah wanita OKU diperkosa hingga lahirkan anak, bengang wanita dipersalahkan - “Mereka yang dirogol adalah mangsa, titik”

ARTIKEL BERKAITAN: “Siapa suruh tayang” - Kecoh lelaki tak boleh kawal nafsu tengok wanita tak tutup aurat, anggap pakaian punca kes rogol

Malah pemuda dikenali sebagai Fahmi Abdullah itu turut berkongsi pendedahan tersebut menerusi satu bebenang di Twitternya.

Rata-rata netizen meluahkan simpati dengan nasib menimpa Fahmi dan kagum dengan semangat ibunya dalam meneruskan kehidupan seharian.

Menurut pemuda berusia 20 tahun itu, dia terpanggil untuk membuat pengakuan tersebut kerana ingin mempertahankan ibunya yang juga mangsa jenayah rogol.



Pendedahan Fahmi mengejutkan ramai netizen.

"Ini pertama kali saya dedahkan kepada orang ramai. Orang terdekat juga terkejut akan hal ini, saya dan keluarga sembunyikan perkara ini. Saya beranikan diri dan tampil kerana saya fikir tentang ibu saya.

"Apabila ada segelintir yang menyatakan mangsa juga bersalah kerana tidak menutup aurat, ibu saya akan menangis. Dia akan down sangat, dia minta maaf kepada saya kerana dia 'kotor'.

"Saya fight ni untuk ibu saya. Saya tak nak dia merasakan dia kotor lagi. Saya tak nak dia menangis lagi. Saya nak apabila isu ini muncul, dia menjadi yakin dia tidak bersalah," katanya kepada mStar.

Menurut Fahmi lagi, ibunya menjadi mangsa rogol penjenayah yang memecah masuk ke kediaman mereka kira-kira 20 tahun lalu.

"Ketika itu umur ibu saya 26 tahun. Dia dah berkahwin dengan ayah tiri saya dan abang saya baru berumur lima tahun. Ayah terpaksa keluar outstation atas faktor kerja.

"Tengah malam tu, perompak masuk pecah rumah dan merogol ibu saya. Abang saya ketika itu bersembunyi. Sejak itu ayah tiri saya tak henti-henti memohon maaf pada ibu saya kerana gagal lindungi dia," kata anak kelahiran Selangor itu.



Kejadian berlaku semasa ayah tiri Fahmi bekerja di luar kawasan.

Malah Fahmi mengakui bukan mudah untuk dia menerima hakikat tersebut.

"Ibu cerita segalanya kepada saya. Sejujurnya pada awal-awal tu saya tak boleh menerima kenyataan. Saya tak boleh terima ayah (kandung) saya adalah binatang.

"Saya jadi marah, saya sedih hingga terduduk tapi lama-kelamaan saya sedar ibu saya adalah mangsa. Ibu saya berkorban nyawa dan emosi dia demi saya.

Tapi dia kuat untuk tumpangkan saya dalam rahim dia. Dia juga sayangkan saya seperti adik-beradik saya yang lain. Dia layan kami sama tak pernah ada jurang.

FAHMI ABDULLAH

Anak

"Ibu lahirkan saya dan ibu terpaksa ingat kembali peristiwa hitam itu. Saya tahu bukan salah ibu saya. Ibu saya hanya berada di rumah ketika itu," katanya.

Namun Fahmi turut meluahkan rasa terkilan dengan segelintir komen netizen yang menyalahkan mangsa sebagai punca insiden itu berlaku.

"Saya marah sangat kerana orang di luar sana hanya bercakap tanpa gunakan fikiran dan common sense. Tidak fikir perasaan mangsa.

"Bukan mudah ibu saya nak lupakan peristiwa hitam itu dan sukar untuk mengandungkan bayi yang bukan dia minta. Dua tahun air mata ibu saya tak pernah kering, dia selalu menangis.



Bukan mudah bagi Fahmi untuk menerima hakikat sebenar.

"Tapi dia kuat untuk tumpangkan saya dalam rahim dia. Dia juga sayangkan saya seperti adik-beradik saya yang lain. Dia layan kami sama tak pernah ada jurang," katanya.

Meskipun dia dilahirkan ke dunia tanpa diminta, Fahmi meluahkan rasa syukur kerana kehadirannya diterima keluarganya.

"Ayah tiri saya menemani ibu saat dia melahirkan saya, azan saya... cium dahi saya. Layanan mereka pada abang dan adik saya sama seperti layanan pada saya.

"Hingga saya lupa saya bukan anak kandung ayah saya. Ayah tiri saya sering panggil saya ‘anak ayah’ hingga hari ini. Duit kebajikan makan pakai saya, semua dia tanggung.

"Dia tak benarkan ibu saya guna duitnya sendiri untuk tanggung saya. Malah sejak saya lahir, ibu tak pernah panggil saya anak haram. Dia tak pernah cakap menyesal lahirkan saya," katanya.



Antara komen netizen yang simpati dengan nasib menimpa Fahmi dan ibunya.

Dalam pada itu, Fahmi turut menasihati mereka yang senasib dengannya supaya jangan berasa hina dengan diri sendiri.

"Kamu adalah mangsa, ibu kamu adalah mangsa. Kita berhak hidup melihat dunia. Sangat sukar untuk kita hidup apabila ada mentaliti segelintir yang memandang hina kepada kita, menyalahkan mangsa.

"Ibu... ibu kami tidak tidak minta untuk dirogol, binatang binatang itu yang pilih untuk merogol. Bagi mereka yang dibenci ibu sendiri, bangunlah kuatkan diri.

"Ramai lagi orang yang akan ada bersama kamu. Hargailah diri kamu. Kamu disayangi semua," katanya yang masih menyambung pengajian di sebuah instituti pengajian tinggi dalam negara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain