suria

Permintaan lakukan hubungan intim ditolak, remaja 18 tahun ‘ambil nyawa’ jurutera perisian... Siap bakar rumah demi hapus bukti

Perbuatan membunuh dengan niat adalah satu jenayah serius. -Gambar hiasan

SEORANG remaja berusia 18 tahun tergamak mencekik dan membakar rumah jirannya, selepas permintaan untuk mengadakan hubungan intim ditolak.

Dalam kejadian di sebuah apartmen di Bengaluru, India itu, mangsa yang dikenali sebagai Sharmila Kushalappa, 34, ditemukan maut di dalam kediamannya kira-kira seminggu yang lalu.

Berdasarkan laporan pada Isnin, pihak berkuasa pada awalnya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian akibat kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di dalam rumah mangsa.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat dan pemeriksaan forensik mendedahkan mangsa yang bertugas sebagai jurutera perisian maut akibat dilemaskan sebelum kebakaran bermula.

Malah, kebakaran tersebut dipercayai sengaja dicetuskan oleh suspek untuk menghapuskan bukti jenayahnya.

Hasil maklumat jiran, suspek didakwa menceroboh masuk ke rumah mangsa melalui tingkap gelang (sliding window) kira-kira pukul 9 malam.

Sebaik berada di dalam, suspek didakwa meminta mangsa melakukan hubungan seksual.

Namun selepas permintaan tersebut ditolak, suspek dipercayai bertindak agresif sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Dia akhirnya ditahan dan membuat pengakuan penuh kepada pihak polis berhubung tragedi pembunuhan tersebut. -Agensi

Artikel Lain