suria

Lihat budak basah kuyup jual mangga asam boi, guru suruh ‘jalan terus’ - “Ingin aku duduk dalam ribuan penonton dengar kisah perjuangan kau”

Seorang anak muda menjual mangga asam boi di persimpan lampu isyarat dekat Gombak, Selangor. Foto Facebook Mohd Fadli Salleh

BUKAN mudah untuk mencari rezeki, dan wang tidak turun dari langit.

Dugaan ketika bertugas juga datang dalam pelbagai cara, termasuk cuaca panas dan hujan.

Seorang anak muda, walaupun basah kuyup tetapi tidak patah semangat untuk berniaga ketika hujan lebat.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau berduit, takkanlah dia duduk di kaki lima jual roti canai segera" - Pelanggan akui peniaga kecil ini malu disapa, tapi perlu teruskan hidup

ARTIKEL BERKAITAN: Yuran tertangguh malu nak minta mak ayah, nasib baik anak Tuaran ini kreatif... duit jual gelang penyelamat pelajar UPSI

Keadaan yang cukup sayu itu disaksikan oleh seorang guru semasa dalam perjalanannya untuk berjumpa seorang rakan di Selayang, Selangor.

"Beberapa hari lepas, hujan lebat mencurah membasahi bumi. Dari kejauhan kelihatan seorang anak muda berdiri di tengah pembahagi jalan dalam kebasahan.

"Di tangannya ada dibimbit beberapa bekas mangga asam boi," tulis Mohd Fadli Salleh di halaman Facebooknya.

Sewaktu kereta berhenti di persimpangan kerana lampu isyarat merah, Mohd Fadli berkata, anak muda itu berjalan tanpa menghiraukan hujan dan pakaiannya yang lencun.



Remaja lelaki berkenaan terus berjalan menjual mangga asam boi dalam keadaan basah kuyup.

Menurutnya, terdapat ‘bunting’ digantung pada leher budak lelaki itu yang tertera maklumat lengkap mengenai produk yang dijualnya.

"Aku buka tingkap dan panggil dia datang, 'Bak sebekas dik'. Laju dia datang. Sebekal mangga dihulur, bayaran lebih aku bagi.

"Yang lebih tu hadiah. Semoga terus maju jaya dik," ujarnya sebelum disambut ucapan terima kasih, menerusi perbualan cukup singkat iaitu kurang seminit.

Usaha keras anak muda tanpa mengira cuaca hujan dan berpanas di persimpangan lampu isyarat itu memberi kesan mendalam kepada guru berkenaan.

"Aku cukup-cukup suka orang sebegini. Aku suka melihat anak muda berusaha. Tak kisah dapat berapa, asalkan terus berusaha.

"Hujan, panas, barang tak laku, kena marah, kena maki, kena sindir. Tapi mereka jalan terus. Ini golongan yang aku respek. Mereka muda, mereka tidak duduk saja.

"Mereka tahu kehidupan ini kejam. Kadang-kala memeritkan. Mereka tahu saat poket kekosongan, kepala kusut dan berserabut lebih pada sabut kelapa," tambahnya.



Perkongsian Mohd Fadli di laman sosial.

Mohd Fadli berkata, walaupun perit, tetapi mereka tidak merungut apatah lagi menyalahkan sesiapa dan menempuh semua cabaran demi sesuap makan.

"Aku percaya insan sebegini akan berjaya menjadi jutawan atau sekurang-kurangnya orang yang sangat berjaya suatu hari nanti.

Hujan, panas, barang tak laku, kena marah, kena maki, kena sindir. Tapi mereka jalan terus.

MOHD FADLI SALLEH

"Tidak mustahil lima tahun, 10 tahun dari sekarang, adik ini dan rakan-rakan sepertinya akan kita dengar mereka bercerita dari pentas yang gemilang tentang perjuangan mereka untuk berjaya.

"Hari ini dik, aku tolong tulis kisah kau. Suatu hari nanti, saat kau berjaya berada di puncak, ingin aku duduk di barisan ribuan penonton mendengar segala kisah perjuangan kau," ujar gurut itu.



Mohd Fadli respek dengan semangat anak muda itu mencari rezeki.

Tambah Mohd Fadli, semangat perjuangan seperti anak muda itu yang harus dipupuk dalam diri masing-masing demi kelangsungan hidup.

"Jangan berhenti kerana hujan, jangan mengeluh saat kepanasan. Jangan merungut kerana kesempitan, jangan lagi duduk bermalasan.

"Bangkit, usaha, doa. Jalan rezeki akan terbuka. Yakinlah!" katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain