suria

“Kalau berduit, takkanlah dia duduk di kaki lima jual roti canai segera” - Pelanggan akui peniaga kecil ini malu disapa, tapi perlu teruskan hidup

Seorang kanak-kanak menjual roti canai segera di atas lantai di pintu sebuah pasar raya di Kota Bharu. Foto ihsan Nik Muhammad Amirul Mustaqim Nik Abd Rashid

BERNIAGA tidak mestinya memerlukan minat, tapi apa yang penting adalah kesungguhan seseorang itu untuk mencari rezeki demi menyara kehidupan.

Melihatkan seorang kanak-kanak perempuan yang duduk bersimpuh sambil berniaga di atas lantai di pintu sebuah pasar raya mengundang sebak.

“Dikhabarkan anak yatim, umur lingkungan sekolah rendah lagi. Datang ke Kota Bharu naik bas semata-mata nak jual roti canai segera,” tulis seorang pemuda menerusi perkongsian di laman sosial yang menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Yuran tertangguh malu nak minta mak ayah, nasib baik anak Tuaran ini kreatif... duit jual gelang penyelamat pelajar UPSI

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak tahu berapa jumlah duit syiling tapi bunyi keceng, keceng” - Guru sebak pelajar duduk rumah papan ‘biasa-biasa’ derma bantu 3 beradik yatim piatu

Pemuda berkenaan, Nik Muhammad Amirul Mustaqim Nik Abd Rashid berkata, dia pernah melihat kanak-kanak itu dari jauh berniaga di dua pasar raya di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini, tapi baru tergerak hati untuk mendekatinya baru-baru ini.

Perkongsian Nik di laman sosial mengenai budak yang menjual roti canai segera.

Anak muda berusia 25 tahun itu memberitahu, dalam pertemuan secara spontan dan singkat, kanak-kanak itu kelihatan malu dan lebih banyak mendiamkan diri.

“Saya mula nampak dia semasa saya dan rakan-rakan membuat kerja-kerja sukarelawan memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan dan kurang berkemampuan di sekitar Kota Bharu.

“Pada usianya yang sepatutnya menjadi murid sekolah rendah dan belajar di kelas seperti kanak-kanak lain, dia bersungguh-sungguh menjual roti canai segera,” katanya kepada mStar.

Nik mula terserempak dengan kanak-kanak itu semasa melakukan projek sukarelawan.

Lebih mesra disapa sebagai Nik, pemuda yang berasal dari Kota Bharu itu berkongsi perasaannya ketika bertemu dengan kanak-kanak perempuan itu.

Nik berkata dia merupakan anak sulung daripada lapan adik-beradik dan kesemua tujuh adiknya adalah perempuan termasuk seorang yang belajar di sekolah rendah.

“Apabila saya tengok wajah dia yang nampak tenang dan kadang-kadang sedih pun ada, saya teringat adik-adik perempuan saya.

“Ya Allah, tak sanggup saya bayangkan adik saya macam tu. Sedangkan dia yang bukan adik sendiri buat saya sebak, apatah lagi dengan adik kandung,” ujarnya.

Kanak-kanak berkenaan dapat pulang ke rumah awal sekiranya roti canai segeranya habis dijual.

Walaupun tidak mengetahui latar belakang kanak-kanak perempuan itu, Nik yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) percaya budak itu bukan daripada keluarga yang berada.

Namun katanya, apa yang lebih baik adalah bersangka baik dan mendoakan kesejahteraan kanak-kanak itu.

Kalau dia datang daripada keluarga yang berduit, takkanlah dia duduk atas lantai di kaki lima dan jual roti canai segera

NIK MUHAMMAD AMIRUL MUSTAQIM

“Kalau tak nak sumbangkan makanan dan minuman, berilah sokongan pada bisnes adik ni atau sekurang-kurangnya mendoakan dia.

“Kalau dia datang daripada keluarga yang berduit, takkanlah dia duduk atas lantai di kaki lima dan jual roti canai segera. Dia kata kalau cepat habis jual, cepatlah dia balik dan jika tidak, begitulah sebaliknya,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Bina itu sambil menambah kanak-kanak itu berasal dari Melor di Kota Bharu.

Nik menggesa orang ramai agar menyokong bisnes kanak-kanak tersebut.

Nik berpendapat bahawa kanak-kanak itu sebenarnya tidak sesuai untuk berniaga kerana pada usianya itu seharusnya mengutamakan pelajaran.

“Saya jumpa dia berniaga masa hari persekolahan. Tapi kita kena bersangka baik, mungkin keluarga dia tak mampu untuk sekolahkan dia. 

“Siapa pun adik ni, kita doakan yang baik-baik buat kanak-kanak ini agar segala urusannya dipermudahkan dan dimurahkan rezeki,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
roti canai, Kota Bharu, sulung

Artikel Lain