suria

“Bukan satu success story“ - Peguam hartanah tak anggap orang muda mampu beli rumah satu pencapaian, ikut trend tapi tiada ilmu

Perkongsian seorang peguam mengenai beberapa kes lelong membabitkan pembeli muda membuka mata mengenai betapa pentingnya ilmu hartanah.

SIAPA sahaja yang tidak ingin memiliki kediaman yang dibeli dengan titik peluh sendiri?

Melihat pencapaian sesetengah individu yang mampu memiliki kenderaan dan kediaman sendiri pada usia muda sahaja sudah cukup membuatkan orang ramai kagum dan terinspirasi.

Tambahan pula baru-baru ini tular di Twitter mengenai perkongsian seorang pelayar yang menyenaraikan pencapaiannya memiliki aset pada usia yang sungguh muda, sekali gus membuatkan ramai netizen terkesima.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini semua untuk mama” - Gagal tunaikan permintaan ketika hayat, keluarga ini tetap sewa rumah impian selepas 9 bulan ibu tiada

ARTIKEL BERKAITAN: Bilik cantik sangat, tak fasal-fasal kena jadi ‘konsultan tak bertauliah’ - “Artis pun DM tanya pendapat, boleh jadi kawan pula”

Bagaimanapun, keputusan membeli kediaman pada usia yang muda sebenarnya mempunyai risiko yang besar sekiranya tidak dilakukan dengan perancangan yang betul.

Silap haribulan, rumah yang dibeli akan dilelong gara-gara pemiliknya tidak mampu lagi membayar ansuran bulanan mengikut perjanjian yang ditandatangani.

Sebagaimana perkongsian seorang peguam bidang hartanah, Nur Aimuni Mohamad Noor, beliau mendedahkan hakikatnya banyak kes lelong rumah melibatkan golongan muda kerana tidak mampu membayar hutang.



Nur Aimuni berkongsi tip dan pandangan mengenai kes lelong menerusi satu bebenang di Twitter.

"Sepanjang saya jadi peguam bidang hartanah ini, saya tak pernah anggap orang mampu beli rumah di usia muda sebagai satu pencapaian.

"Iya, ia satu 'milestone'. Sudah tentu setiap orang ada sasaran masing-masing tapi pencapaian yang sebenar adalah apabila anda boleh bebaskan diri anda dari bebanan hutang.

"Sebab bila beli rumah, ia datang dengan liabiliti. Liabiliti pinjaman 30 tahun yang anda kena fikir sebenarnya. Ia secara keseluruhannya bukan satu succes story.

"Kalau betul-betul nak kata pencapaian, kena ada ilmu pasal tu. Pencapaian hanya bila kita boleh dapatkan hartanah milik kita dengan keadaan bebas hutang dan tak menyusahkan waris kita misal kata kita meninggal dunia," katanya ketika berkongsi cerita dengan mStar.



Sebelum membeli sesebuah rumah, seseorang individu dinasihatkan untuk mengambil tahu serba sedikit ilmu hartanah. Foto: The Star

Nur Aimuni yang sudah tujuh tahun bergelar peguam dalam mengendalikan kes melibatkan hartanah dalam pada itu turut memberi satu contoh kes lelong rumah melibatkan pembeli golongan muda.

"Satu kes ini, dia dibuang kerja. Rumah dia kena lelong sebab dia dibuang kerja, pemilik ini tak ada simpanan, dia nak cari kerja baharu dalam masa tiga bulan tak dapat dan bank lelong rumah dia.

"Dia tak ada simpanan untuk bayar bulanan selama tiga bulan tu. Nak tak nak terpaksalah sebab ia dalam perjanjian," ujarnya.

Mereka rasa gaji mereka lepas dan terus beli rumah tanpa mereka tahu apabila beli rumah ni, mereka ada komitmen lain, tak buat perancangan rapi dan tak ada simpanan.

NUR AIMUNI MOHAMAD NOOR

PEGUAM HARTANAH

Malah ujar Nur Aimuni, berdasarkan beberapa kes yang pernah dikendalikannya, ada rumah yang terpaksa dilelong walaupun hanya baru dibeli dalam tempoh yang singkat.

"Saya bagi contoh, lelong tahun ini 2020, dan bila lihat perjanjian jual beli (SNP), dia beli rumah tu masa tahun 2017 atau 2018. Maksudnya beli dalam dua, tiga tahun dan rumah tu dah kena lelong.

"Kita boleh buat konklusi, sebenarnya orang-orang muda ni mereka tak ada kewangan yang kukuh untuk beli rumah.

"Seperti yang saya cakap dalam tweet saya, mereka rasa gaji mereka lepas dan terus beli rumah tanpa mereka tahu apabila beli rumah ni, mereka ada komitmen lain, tak buat perancangan rapi dan tak ada simpanan," ujarnya dengan panjang lebar.



Nur Aimuni telah terlibat mengendalikan kes berkaitan hartanah sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Nur Aimuni, ada beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan seseorang pembeli muda sebelum mengambil keputusan untuk membeli rumah, dan bukannya sekadar 'tangkap muat' atau mengikut trend semata-mata.

"Mesti ada kewangan yang teguh, dan bukan bermaksud ada banyak duit. Kita kena ada sekurang-kurangnya perancangan kewangan yang betul.

"Secara ringkasnya, mesti ada simpanan enam bulan hingga sembilan bulan. Itu untuk kecemasan kalau ada apa-apa terjadi kepada kita.

"Kebanyakan anak muda beli rumah, bila tak lepas (pinjaman), dia akan jadi dua nama. Yang nak beli seorang je tapi mak ayah atau pasangan terpaksa jadi peminjam.

"Implikasinya, misalnya dia tak bayar hutang. Bank nak lelong rumah dia tak ada masalah, rugi dia sahaja. Andai kata dia guna nama lain... dengan mak ayah, pasangan pun kena declare bankrup sebab peminjam," ulasnya lagi.



Kediaman jenis kondominium sering menjadi pilihan pembeli khususnya golongan muda kerana merasakan ia satu pelaburan yang baik. Foto: The Star

Justeru tambahnya, selain mempunyai kewangan yang stabil serta perancangan kewangan yang rapi, adalah penting untuk seseorang mempunyai ilmu berkaitan dengan hartanah sebelum membuat keputusan untuk membeli kediaman.

"Jangan tangkap muat. Jangan beli tanpa ilmu. Bimbang melibatkan orang yang tak ada kena mengena dengan rumah tu sendiri.

"Kita tak mahu waris tanggung hutang kita, berebut harta kita disebabkan satu harta yang kita ingat ia kejayaan tapi tidak, di mana ia boleh jadi bebanan, liabiliti dan masalah," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
muda, rumah, trend, pencapaian, lelong, bankrap

Artikel Lain