Pelancong asing mengembara tidur di masjid curi perhatian guru, “Tak kira sesiapa pun, saya tetap akan tolong” - Viral | mStar

Pelancong asing mengembara tidur di masjid curi perhatian guru, “Tak kira sesiapa pun, saya tetap akan tolong”

Wan Shahriza bersama dua orang pelancong yang menjelajah Malaysia sebagai 'hitch haker'. Foto: Instagram muslim_bacpacker_my.

“TIDAK kira mereka orang tempatan, Bangla atau ‘mat salih’ saya tetap akan beri bantuan jika ternampak mereka memerlukan pertolongan di tepi jalan,” ujar Wan Shahriza Wan Ab Rahman.

Guru di Maktab Rendah Sains Mara, Kuantan di Pahang itu menjelaskan mengenai dakwaan segelintir netizen kononnya dia memilih ‘orang’ untuk dibantu.

Dakwaan itu timbul minggu lalu apabila Wan Shahriza membantu dua pelancong asing yang mengembara secara 'hitch hiker' di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Berbasikal Dari UK Ke Malaysia Untuk Sebarkan Mesej Kemanusiaan

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Pernah Puas Lawat Bosnia, Wanita Ini Kongsi Pengalaman Memukau Mata!

Dua pengembara ini mendapat perhatian seorang guru untuk membantu mereka menuju ke Chukai.

Ketika itu, Wan Shahriza dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sg Soi selepas mengambil anaknya pulang dari sekolah.

"Ketika melalui Peramu, ternampak di tepi jalan, dua anak muda bangsa asing, dengan gaya ‘hitch-hiker’, sedang mengangkat 'placard' bertulis Chukai.

"Saya tidak sempat berhenti. Terlepas kedua mereka. Tetapi pemandangan itu mengganggu saya.  Jalan Tanjung Lumpur itu menghala ke Pekan, atau Rompin, atau paling jauh pun mungkin ke Johor Bharu. Tetapi tentu sekali tidak Chukai.

"Sampai minggu depan pun belum tentu ada orang akan berhenti untuk menumpangkan mereka ke Chukai,” kongsinya memulakan bicara kepada mStar.

Masjid menjadi tempat persinggahan dua pengembara dari Jepun dan Perancis.

Wan Shahriza yang pernah berkelana di Amerika Syarikat (AS) ketika menyambung pengajian sebelum ini mengakui senario seperti itu sudah biasa baginya.

“Saya dan beberapa rakan pernah mengalami pengalaman sama ketika berada di AS.

“Ketika itu kereta kami rosak dan menunggu orang datang membantu. Tidak mengambil masa lama, ada sahaja orang datang membantu walaupun ketika itu kami merantau di bumi orang.

“Jadi apabila melihat situasi begitu di tempat sendiri, tidak salah untuk kita membantu, lebih-lebih lagi mereka berdua mencari Nur llahi.

“Rupa-rupanya kedua-dua mereka beragama Islam. Seorang dari Perancis, seorang lagi dari Jepun.

“Yang dari Perancis memang sejak asal beragama Islam kerana ibunya berbangsa Maghribi, manakala seorang lagi  baru memeluk Islam enam bulan lalu tempoh dia berada di Malaysia.

Wan Shahriza berkongsi pengalamannya membantu dua pengembara dan mendapat lebih 2,000 perkongsian di Facebook.

“Mungkin dia diberi hidayah untuk menerima Nur Islam di negara ini dan dalam misi mendekati Islam.

“Mereka berkelana sebagai ‘backpackers.’ Dari masjid ke masjid,” jelasnya.

Menurut Wan Shahriza, dia berkongsi pengalamannya itu di Facebooknya dan mendapat lebih 2,000 perkongsian.

“Sememangnya bukan budaya kita mengambil hitch hikers. Tetapi  jangan pernah memperkecilkan apa jua kebaikan yang dibuat orang lain.

“Ada yang menganggap saya memilih orang untuk dibantu, tetapi bagi saya, tidak kira sesiapa yang berdepan dengan situasi seperti itu, saya tetap akan tolong.

“Tidak ada istilah negara mana atau sebagainya.

“Saya pernah bantu tumpangkan siapa saja, sama ada dari negara dunia pertama, kedua, ketiga, waima ke 15 sekali pun, jika kebetulan dan tidak nampak seakan ancaman, saya bantu sahaja dengan berlapang dada.

“Malah ada Bangla pekerja kontrak yang terlepas bas akhir untuk ke stesen bas di bandar, di tangannya ada sebungkus makanan untuk dibawa pulang, pakaian kotor comot dan bau busuk kerana bekerja sepanjang hari, itu pun saya tak ada masalah tumpangkan mereka,” ujarnya.

Hitch hikers , malaysia , guru

Artikel Lain