Nasib si tukang beli! Makanan dikirim kawan ‘selamat’, juadah untuk diri sendiri terendam dalam teh ais, “Dah la duit tengah kurang” - Viral | mStar

Nasib si tukang beli! Makanan dikirim kawan ‘selamat’, juadah untuk diri sendiri terendam dalam teh ais, “Dah la duit tengah kurang”

Juadah berbuka Mustaqim yang diletakkan dalam kotak simpanan motor pecah menerusi kejadian pada Ahad lalu.

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, pasti ramai yang berduyun-duyun ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.

Namun, malang menimpa pemuda ini apabila juadah berbuka puasa yang dibelinya 'terburai' sebelum sempat untuk dinikmati, Ahad lalu.

Menurut Mustaqim Hud, kejadian berlaku sewaktu dia menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Bazar Ramadan Meru, Klang ke tempat kerjanya di Setia City Mall, Setia Alam, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau ke bazar Ramadan, salah satu juadah 'wajib' ini pasti akan dibawa pulang... anda beli yang mana?
ARTIKEL BERKAITAN: 
Nak berbuka dengan hidangan tradisional tak perlu balik kampung, jom serbu 9 bufet Ramadan sekitar Lembah Klang

"Makanan saya letak dalam kotak simpanan di bahagian belakang motor. Bakul depan dah tak muat, penuh dengan makanan yang kawan kirim.

"Sampai kawasan parking masa nak simpan topi keledar, tengok makanan saya dah pecah terburai. Melayang duit saya RM16. Dah la duit tengah kurang.

"Jalan kat sana memang berlubang dan tak rata. Ada pembinaan, nak elak lubang ni, terlanggar lubang lain pula," ujar pemuda berusia 20 tahun ini sewaktu dihubungi mStar.

Takkanlah nak makan ayam dengan teh ais, jadi saya beli roti sahaja. Kawan-kawan tawarkan makanan mereka, tapi tak apa lah. Mereka pun beli nasi, macam mana nak kongsi.

MUSTAQIM HUD

Pada hari kejadian, Mustaqim membeli nasi kukus ayam, teh ais serta ayam goreng untuk dinikmati sewaktu berbuka di tempat kerjanya.

Malangnya, ketiga-tiga hidangan ini tidak dapat dinikmati kerana nasi kukus dan ayam goreng terendam di dalam takungan teh ais yang bungkusannya pecah.

Akibat kejadian itu, rakan-rakannya turut menawarkan makanan mereka untuk dikongsi, namun dia memilih untuk berbuka dengan roti sahaja.

Juadah berbuka Mustaqim yang pecah terburai pada Ahad lalu.

"Takkanlah nak makan ayam dengan teh ais, jadi saya beli roti sahaja. Kawan-kawan tawarkan makanan mereka, tapi tak apa lah. Mereka pun beli nasi, macam mana nak kongsi.

"Kemudian selepas habis syif pukul 10 malam, saya balik kerja dan makan kari daging yang mak dah masak kat rumah," katanya lagi.

Mustaqim, anak bongsu daripada tiga beradik menetap di Kapar, Klang bersama ibu bapanya.

Kata Mustaqim, dia terpaksa berbuka dengan roti sahaja sebelum pulang ke rumah selepas kerja untuk menjamah lauk masakan ibunya.

Penuntut bidang Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) di Politeknik Shah Alam ini sedang bercuti sehingga 1 Julai depan.

Dalam pada itu, video perkongsian Mustaqim mengenai kejadian itu turut tular di laman Instagram.

Malah, ia turut dimuat naik semula oleh beberapa laman Instagram lain sehingga menerima puluhan ribu tontonan.

Artikel Lain