suria

Kalau ke bazar Ramadan, salah satu juadah 'wajib' ini pasti akan dibawa pulang... anda beli yang mana?

Murtabak sentiasa menajadi pilihan pengunjung setiap kali ke bazar Ramadan.

SETIAP kali berkunjung ke bazar Ramadan mata siapa yang tak rambang melihat pelbagai juadah yang dijual? Boleh kata semua makanan atau minuman yang anda teringin mesti ada dijual.

Tapi sebenarnya ramai antara kita yang seolah-olah mempunyai selera sama setiap kali bulan puasa dan juadah ini memang wajib ada... kalau tak ada rasa macam tak lengkap pula bulan puasa.

1. Air tebu dan soya


Gerai air tebu dan soya memang tak pernah surut dengan orang beratur dan kebiasaannya dua gerai ini kena serbu dulu... kalau lambat jawabnya kempunan.

Bagi yang berkeluarga, dua jag sudah pasti akan dibeli! Letak ais banyak-banyak... tuhan sahaja tahu nikmatnya.

2. Tepung pelita


Teksturnya yang lembut dan berbau harum menjadikan tepung pelita sebagai pembuka selera paling digemari ketika berbuka puasa.

Hirup terus dari bekas diperbuat daripada daun pisang sebelum ia mencair dalam mulut boleh buat anda lupa makanan lain di atas meja.

3. Murtabak


Rasanya paling banyak dijual di bazar Ramadan adalah murtabak cuma kena tahu mana yang sedap atau tidak sahaja.

Tanyalah sesiapa pun, murtabak memang kena ada... kalau tak ada boleh buat gaduh tau. Cicah dengan kari ataupun bawang cuka memang terangkat!

4. Roti John


Kombinasi daging dan telur yang disalut di atas roti panjang sebelum diletakkan pelbagai sayuran bersama cili sos dan mayonis memang buat mata sesiapa sahaja rambang.

Apatah lagi dapat melihat sendiri proses pembuatannya dengan mata membuatkan tanpa sedar terus beli sampai dua!

5. Ayam Percik


Baru turun kereta, benda pertama yang dapat dihidu adalah bau ayam percik yang sedang dipanggang dan nak tahu kedudukan gerai memang senang... mana ada asap berkepul tu, itulah ayam percik!

6. Popiah Basah


Ada tepung pelita yang manis, mesti nak juga kuih-muih yang pedas. Popiah basah yang paling menjadi perhatian setiap kali ke bazar Ramadan.

Campuran rasa pedas, manis dengan sayuran seperti sengkuang, taugeh dan udang kering membuatkan ia juadah yang bikin ketagih!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain