suria

Tabahkanlah hati memandu sepanjang Ramadan, ini sebenarnya waktu terbaik guna jalan raya!

Keadaan lalu lintas sepanjang Ramadan memang boleh menguji kesabaran.

BULAN Ramadan bukan sahaja tentang berpuasa tetapi mengajar kita tentang erti kesabaran yang tinggi.

Bagaimanapun kesabaran itu boleh juga tercalar terutamanya apabila anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika mahu pulang berbuka puasa bersama keluarga.

Tapi jangan bimbang, aplikasi Waze ada untuk membantu anda agar sentiasa berada dalam keadaan tenang dan merancang perjalanan anda sepanjang Ramadan.

1. 8 pagi hingga 11 pagi waktu paling sesak

Waze menjangkakan sepanjang Ramadan keadaan trafik bermula pukul 8 hingga 11 pagi akan sesak. Jadi kepada yang bangun sahur sepanjang Ramadan apa kata selepas solat terus bersiap dan keluar ke pejabat sebelum 8 pagi. Jangan tidur balik!

2. Waktu terbaik dan terburuk berkunjung ke restoran

Jika anda merancang untuk berbuka puasa bersama teman-teman di luar adalah lebih baik mengelak keluar daripada pejabat di antara pukul 4 petang hingga 7 malam... barangkali boleh berbuka puasa dengan kurma dan air terlebih dahulu dan bertemu rakan-rakan anda selepas itu!

Sekitar pukul 9 malam ke atas adalah waktu paling sesuai untuk keluar terutamanya pada waktu tengah malam hingga 5 pagi untuk bersahur.

3. Waktu terbaik dan terburuk berkunjung ke pusat beli-belah

Selain berbuka puasa, ramai di antara kita akan berkunjung ke pusat beli-belah bagi membeli kelengkapan hari raya tetapi tahukah anda, orang ramai berkunjung ke tempat itu di antara pukul 12 tengah hari hingga 4 petang? Patutlah susah cari parking!

Pukul 5 petang hingga 6 petang juga orang ramai berpusu-pusu ke pusat beli-belah untuk menikmati makan malam dan berbuka puasa.

Adalah disarankan anda berkunjung ke pusat beli-belah selepas pukul 7 malam.

4. Waktu terbaik dan terburuk ke bank

Tahukah anda, 7 pagi hingga 9 pagi adalah waktu paling ramai orang ke bank untuk mengeluarkan wang di mesin ATM? Keadaan itu bertambah teruk sehingga ke pukul 4 petang apabila orang ramai datang ke bank atas pelbagai urusan di kaunter.

Waktu paling baik untuk keluar wang adalah selepas waktu kerja, jadi sebelum balik ke rumah apa kata melencong ke bank terlebih dahulu okey?

5. Waktu terbaik dan terburuk untuk mengisi minyak

Jika anda keluar ke tempat kerja sebelum pukul 8 pagi adalah waktu terbaik untuk mengisi minyak kerana bermula 9 pagi menunjukkan pertambahan kenderaan sehingga adakalanya anda perlu menunggu lama.

Pukul 3 petang hingga ke 6 petang juga menunjukkan orang ramai suka mengisi minyak dan stesen kembali lengang selepas pukul 7 malam melainkan kerajaan mengumumkan harga petrol naik!

Waze

Artikel Lain